Kehilangan ibu, Akiko Okumura yang meninggal dunia pada Jumaat lalu meninggalkan kesan yang begitu besar buat anaknya, Sky Taizo Okumura dan suami, Ridzuan.
Menerusi sepotong video yang dikongsi, Sky dan bapanya dilihat bersahur buat pertama kalinya tanpa hidangan hebat saban tahun buat mereka.
Pun begitu bagi membolehkan Sky yang sudah terbiasa dengan makanan ibunya, pelakon Zarina Zainuddin turut menyediakan sahur makanan Jepun buat Sky.
Zarina dilihat menyediakan beberapa jenis juadah sahur Sushi khas untuk Sky dan buah seperti tembikai serta mangga. Sky yang berbaju merah pula dilihat cuba menikmati sahur yang telah disediakan.
Zarina memberitahu dia telah membeli Sushi untuk Sky pada malam berikutnya dan meminta maaf kerana tidak mampu masak makanan Jepun seperti ibu Sky.
Menerusi sesi live dan perkongsian video suaminya, Akiko bukan sekadar seorang ibu yang penyayang, tetapi juga seorang cef berbakat yang menjadi idola ramai wanita. Hidangan sahurnya bukan sahaja kreatif bahkan disajikan dengan penuh kasih sayang setiap tahun. Tidak hairanlah ramai yang ternanti-nantikan kemunculan pasangan ini setiap kali Ramadan.
Zarina yang juga anak saudara kepada Ridzokumura, tampil menggalas tanggungjawab berat ini.
“Assalamualaikum selamat berpuasa semua. Pertama kali bersahur bersama Sky dan pakcik saya. Semoga Allah permudahkan perjalanan Ramadan buat mereka tanpa Akiko di sisi.
“Saya belikan Sushi untuk awak malam semalam tapi kedai sudah hampir tutup,” katanya yang turut mempelawa nasi buatnya.
Dalam suasana penuh kasih sayang, Sky dan bapanya difahamkan bermalam di kediaman Zarina, memberikan mereka ruang untuk merasai kehangatan keluarga di bulan penuh keberkatan ini.
Terdahulu Jumaat lalu, Ridzuan mengumumkan pemergian isterinya, namun punca kematian tidak didedahkan. Jenazah Akiko telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, Selangor, pada hari Sabtu.