Setiap generasi ini ada sikap mereka yang tersendiri. Hakikatnya masing-masing ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Menariknya dalam memahami perbezaan setiap generasi itu sebenarnya sangat penting dalam hidup bermasyarakat. dari situlah kita kenal dan faham pendekatan dan corak pemikiran setiap genarasi yang ada disekeliling kita. Malah tidak dinafikan, memahami tentang generasi manusia hari ini akan menjadikan kita sebagai ibu bapa lebih faham dalam melayan perangai anak-anak kita.
Jurang perbezaan generasi ini seharusnya sama-sama disantuni agar membentuk persefahaman yang lebih harmoni dan untuk lebih memahami tentang generasi ini, ayuh kita baca perkongsian daripada Akhtar Syamir ini untuk info bersama.
Baru-baru ini, ada satu ayat baru yang sedang viral di internet iaitu “Ok Boomer”. Ia diucapkan kepada orang yang mempunyai pemikiran yang ketinggalan zaman dan tidak mahu meninggalkan mentaliti lama.
Sebelum itu, marilah kita fahami perbezaan nama generasi manusia setakat ini.
Baby Boomers: Lahir di antara tahun 1944 dan 1964. Sedang berumur 55-75 tahun.
Gen X: Lahir di antara 1965-1979. Sedang berumur 40-54 tahun.
Gen Y: Gen Y atau Millennials, lahir di antara tahun 1980 dan 1994. sedang berumur 25-39 tahun.
Gen Y terbahagi kepada dua iaitu :
Gen Y.1 = berumur 25-29 tahun dan
Gen Y.2 = berumur 30-39 tahun.
Gen Z: Generasi terbaru yang lahir di antara tahun 1995 and 2015. Sedang berumur 4-24 tahun.
Apakah signifikasi dari generasi ini? Bukankah umur itu sama apabila sampai ke tahap yang sama? Contohnya seseorang yang berumur 50 tahun, pastilah mempunyai pemikiran yang sama dengan orang lain yang sudah berumur 50 tahun pada 10 tahun dahulu bukan?
Jawapannya tidak. Pemikiran seseorang tidak diukur pada umur sahaja tetapi yang lebih pentingnya ialah melalui generasinya. Kenapa? Kerana mereka melalui zaman yang berlainan.
Sebagai contoh, 45 tahun akan datang, Gen Z yang berumur 15 tahun pada tahun 2019 ini akan berumur 60 tahun. Mereka akan ingat game PUBG, COD Mobile dan Fortnite. Tetapi tidak bagi Baby Boomers yang berumur 60 sekarang.
Kerana pada 40 tahun yang lalu, PUBG, COD Mobile dan Fortnite tidak wujud lagi. Mereka mungkin akan ingat penyanyi Sanisah Huri keluar dengan album yang baru pada tahun 1974.
Seterusnya, apakah kaitannya Baby Boomers dan pemikiran Dinasour?
Sebelum saya terangkan, perlu saya nyatakan yang saya tidak memandang rendah atau memperlekehkan sesiapa. Yang saya tekankan di sini ialah sikap orang lama yang tidak mahukan perubahan dan tidak sudi menerima perkara yang baru. Mereka mahu kekal dengan cara yang lama yang boleh dikatakan lapuk serta tidak relevan dan tidak cekap. Kita boleh kesan orang sebegini di dalam sesebuah organisasi atau di tempat kerja.
Tetapi, tidak semua Baby Boomers sebegini. Ramai juga yang saya kenal bersikap terbuka dan boleh menerima perubahan. Cuma, masih ramai juga yang liat dan mengekalkan Pemikiran Dinasour mereka. Ada kalanya, Gen X juga mempunyai tahap pemikiran sebegini. Walaupun kalau diikutkan umur, masa mereka belum sampai lagi.
Apakah Tanda-Tanda Pemikiran Dinasour?
1. Mempunyai mentaliti “banyak itu bagus”.
2. Tidak mahu percaya akan “online banking”.
3. Masih membayar bil dengan beratur di kaunter.
4. Masih membeli topup dari kedai walaupun duit ada di dalam bank.
5. Membayar insurans kereta di “booth” insurans berdekatan JPJ / pejabat Pos sedangkan ianya boleh dilakukan online.
6. Tidak rasa ada keperluan untuk mengubah cara kerja yang sudah berpuluh tahun dilakukan.
7. Mengutamakan banyak kerja dari kerja yang sikit tapi cekap dan cepat.
8. Masih menyimpan satu salinan “hardcopy” sedangkan salinan “softcopy” sudah ada.
9. Tidak boleh menerima kenyataan yang orang baru di tempat kerja lebih berpengetahuan dari dirinya yang sudah berpuluh tahun bekerja.
10. Menganggap orang yang boleh menyiapkan kerja dengan cepat dan cekap sebagai “tiada kerja” kerana hanya fokus kepada masa terhasil dari kepantasan kerja orang itu.
11. Masih mengutamakan tulisan tangan sedangkan ianya boleh ditaip.
12. Menganggap 5 langkah untuk menyelesaikan 1 kerja lebih baik dari 1 langkah untuk menyelesaikan 5 kerja.
13. Merasakan yang orang lain perlu ikut cara dia kerana dia lebih tahu.
14. Tidak kreatif tetapi tidak mahu menerima pandangan orang lain.
Dan banyak lagi. Jika anda tahu tanda-tanda yang lain, sila kongsikan di komen.
Nasihat saya buat Baby Boomers dan orang yang mempunyai Pemikiran Dinasour ini, berubahlah. Jika tidak mahu berubah, jangan menyekat orang lain untuk berubah. Perlu terima kenyataan yang zaman anda sudah berlalu, terlalu banyak perkara yang baru sedang dan telah berlaku. Konsep minimal itu sangat penting. Melakukan kerja dengan cekap jauh lebih penting dari melakukan kerja dengan banyak.
Kongsikan maklumat ini supaya lebih ramai yang sedar akan tahap pemikiran masing-masing.
Anda di generasi yang mana? Adakah anda sudah mula berfikiran Dinasour walaupun belum sampai masanya? Adakah anda kenal orang yang berfikiran Dinasour?
BroOhsem
Sumber : Akhtar Syamir