Zaeda Buktikan Mampu Jadi Aktivis Masyarakat Biarpun Hilang Sebelah Kaki Akibat Kanser Tulang.

Share

Di sebalik senyuman manisnya siapa sangka wanita ini pernah dihujani ujian yang cukup berat. Bukan calang-calang orang yang boleh bertahan. Namun wanita yang dikenali dengan nama Zeeda Aziz mungkin cukup ‘istimewa’ sehinggakan terpilih oleh Dia.

Dilahirkan pada tahun 1979 di Kampar, Perak, Zeeda, 38 tahun yang kini menetap di Sungai Petani bersama suami dan anak-anaknya merupakan aktivis sosial yang banyak bergerak di sekitar kawasan utara semenanjung untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan tidak bernasib baik.

Selain dari melakukan kerja lawatan sosial, dia  juga dijemput ke sekolah dan juga program anjuran universiti, untuk memberi ceramah tentang masalah sosial dan juga slot motivasi.

“Projek terkini saya ialah mewujudkan program kumpulan sokongan tertutup untuk mangsa penderaan mental, fizikal dan seksual. Program ini memberi peluang kepada mangsa untuk mencari sokongan moral dan emosi dari aktivis dan juga sesama mangsa.

“Sebelum saya bergiat aktif dalam bidang sosial dan kemasyarakatan ini, saya pernah diuji hebat apabila disahkan menghidap kanser tulang selepas melahirkan anak yang kedua. Saya perlu melalui rawatan kemoterapi dan pembedahan membuang tulang yang rosak.

“Cabaran ini bermula pada tahun 2007 dan saya segera mendapatkan rawatan di hospital dengan lebih dari 10 kali pembedahan major. Akhirnya pada bulan Mei 2013 saya nekad untuk membuang sebahagian dari kaki kiri dan kini saya cacat fizikal kekal.

Alhamdulillah, setelah beberapa ujian klinikal dan imbasan dibuat, saya disahkan bebas kanser dan kini menjalani hidup yang aktif dengan memberi khidmat kepada masyarakat dan negara.

Saya mula berminat untuk menjadi seorang aktivis sejak saya menjalani rawatan di hospital. Sepanjang saya berada di wad, begitu ramai orang yang saya tak kenali menghulurkan bantuan tanpa diminta.

“Mereka ini membantu tanpa mengharapkan balasan. Niat mereka adalah untuk menggembirakan hati dan memudahkan urusan pesakit. Dari sinilah saya belajar bagaimana untuk memberi dengan ikhlas dan membentuk empati yang tinggi dalam diri.

Walaupun berada di dalam situasi yang tidak menyenangkan, saya sentiasa cuba berfikiran positif. Untuk menjadi seseorang yang positif, letakkan sahaja Allah di hadapan sebagai penunjuk jalan.

“InsyaAllah tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Dan di setiap kesulitan, ada kemudahannya. Itu janji Allah kepada semua hambaNya di dalam Surah Al Insyirah,” ujar Zeeda yang suka membaca dan menonton video yang memberi motivasi dan inspirasi.

Menurut Zeeda lagi, menerusi  pengisian beginilah dia belajar mengawal emosi dan pemikiran supaya setiap ujian yang dihadapi dapat dilalui dengan tabah, redha dengan apa yang dihamparkan, dan yakin bahawa Allah sentiasa ada untuk memudahkan jalan atau cara.

“Alhamdulillah setiap cabaran yang diberikan saya terima dengan rasa syukur kerana, tanpa ujian berat sebegini saya mungkin akan menjadi manusia yang khufur, iaitu tidak mensyukuri setiap nikmat kecil yang diberi olehNya.

“Cabaran hidup saya yang terbesar bukanlah kecacatan fizikal yang saya ada. Malah ianya menjadi perangsang untuk saya lebih berusaha mencapai matlamat yang disasarkan. Apa yang menguji kekuatan emosi saya buat masa ini ialah bagaimana untuk mendidik masyarakat supaya sedar bahawa masalah sosial adalah masalah semua, dan bukan lagi hal keluarga. Memecahkan stigma dan persepsi konservatif agak rumit kerana ianya sudah didoktrinkan sekian lama.

“Dalam usaha ini, saya mendapat sokongan penuh dari suami dan anak-anak. Sahabat aktivis dan juga rakan-rakan yang lain turut memberi semangat dan berkongsi idea sepanjang menjalankan misi fisabilillah ini.

‘Oleh kerana kerja yang saya usahakan ini menggunakan banyak masa di luar kawasan, urusan di rumah dipermudahkan oleh pembantu saya. Ada masanya saya akan bawa anak-anak ke lapangan untuk memahami kerja yang saya lakukan supaya mereka lebih faham tujuan kenapa usaha ini perlu dilakukan,”ujarnya lagi.

“Selain aktivis sosial, saya juga penulis di media sosial. Jadi saya kerap kali menaikkan status berunsur nasihat. Pada saya, jika kita rasa tidak berdaya, carilah kekuatan dari sumber yang baik contohnya bahan bacaan, video yang memberikan inspirasi atau merujuk hal yang berkaitan pada individu yang berilmu.

“Elakkan dari membuat keputusan sewaktu emosi mendahului akal. Wanita juga perlu persiapkan diri dengan ilmu pelbagai cabang supaya diri lebih matang dan sentiasa bersedia untuk cabaran akan datang,”ungkapnya lagi.

Terbaru Zaeda turut dijemput sebagai panelis di program Sembang Santai di Simpang Renggam

Malah baru-baru ini, dia membawa anak-anak yatim dari Rumah Perlindungan Al Haq bercuti di Langkawi sempena cuti sekolah.

“InsyaAllah cuti akhir tahun saya akan bawa anak² yatim dari rumah lain pula. Dalam perancangan.

“Dalam masa yang sama, saya akan  meneruskan program Jualan Amal Al Haq untuk meraih dana bagi meneruskan kerja kebajikan. Selain itu, saya juga bakal mengendalikan program Aku Ingin Hidup anjuran kumpulan Cancer Survivors Malaysia.