“Yang Sudah Dapat Tag Nama, Itulah Kenangan Ditinggalkan.” Cikgu Hidap Kanser Viral Ambil Tempahan Khat Meninggal Dunia

Share

Kisah lelaki ini pernah dikongsikan di laman media baru-baru ini. Dalam keadaan diri yang derita sakit kanser, Mohd Izzuddin Zainal, 33, penghidap penyakit kanser limfoma gigih mengambil tempahan tag nama tulisan khat dari katil hospital.

Kegigihannya mendapat perhatian warganet, rata-rata menghulurkan rasa simpati dan menurut isterinya tempahan yang diterima cukup menggalakkan. Namun menerusi Harian Metro semalam, cikgu Izzudin dimaklumkan sudah meninggal dunia. Berita tersebut dikongsikan oleh isterinya.

“SAYA minta maaf. Sesiapa yang sudah membuat bayaran untuk tempahan tag nama, saya akan pulangkan semula wang mereka.

“Mereka yang sudah mendapat tag nama, itulah kenangan ditinggalkan,” itu luahan Suzana Muhamad Tab, isteri kepada arwah Mohd Izzudin Zainal.

Kisah Mohd Izzudin berusaha mencari rezeki dengan mengambil tempahan membuat tag nama tulisan khat sehingga tular di media sosial, pernah dilaporkan Harian Metro pada 2 dan 7 November lalu.

Mohd Izzudin iaitu guru yang mengambil tempahan membuat tag nama tulisan khat dari atas katil hospital bagi menampung kos rawatan disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), 8.05 malam tadi.

Suzana, 34, ketika dihubungi Harian Metro, memberitahu doktor mengesahkan suaminya meninggal dunia kerana jangkitan paru-paru.

“Semalam, arwah masih berusaha menyiapkan beberapa tempahan tag nama walaupun dalam keadaan sesak nafas.

“Pagi tadi tahap oksigen arwah semakin menurun dan semua bacaan lain pada mesin mulai menurun.

“Sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, doktor tetap berusaha memberi bantuan pernafasan di depan saya,” katanya dalam keadaan sebak.

Allahyarham Mohd Izzudin meninggalkan dua cahaya mata lelaki, Sulaiman, 5, dan Isa, 3.

Jenazah akan disempurnakan dan disembahyangkan di Masjid Al-Khadijah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Dalam, pagi esok.

Sumber : Harian Metro