Perbezaan usia 17 tahun tidak menjadi penghalang buat pelakon jelita, Intan Ladyana dan Harris Alif disatukan sebagai suami isteri. Majlis pernikahan pasangan ini diadakan di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Kuala Lumpur menyaksikan Harris sah bergelar suami dengan sekali lafaz.
Majlis pernikahan berlangsung sederhana dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang hanya dihadiri 14 ahli keluarga.
Acara akad nikah disempurnakan Penolong Pengarah Jawi, Muhammad Azlan Marukum selaku jurunikah dan wakil wali. Turut hadir menyaksikan penyatuan Harris dan Intan adalah Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nasir Abdullah.
Pada majlis itu, Harris menyerahkan mas kahwin berupa set perhiasan barang kemas dan sebentuk cincin berlian. Sembilan dulang barang hantaran pengantin perempuan berbalas tujuh dulang tidak dibawa bersama sebagai mematuhi SOP ditetapkan.
Sama cantik, sama padan pasangan ini mengenakan busana tradisional Melayu berwarna ‘off white’ sekali gus menaikkan seri pengantin pada keduanya.
Intan dan Harris sebelum ini merancang untuk melangsungkan majlis perkahwinan pada Mac ini namun terpaksa dipercepatkan kerana kekangan tertentu.
Memetik laporan Berita Harian Online, Harris melafazkan syukur kerana majlis pernikahan dipermudahkan, walaupun terpaksa dilakukan sehari awal.
“Alhamdulillah, saya dan Intan selamat disatukan dalam keadaan sekarang. Apa yang penting, akad nikah. Mengenai perancangan majlis resepsi dan bertandang terpaksa ditangguhkan dahulu selepas situasi pandemik COVID-19 pulih.
“Kami sepatutnya bernikah esok, tetapi terpaksa dipercepatkan sehari ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Apa yang penting, saya lega dan gembira apabila semuanya selesai.
“Saya hanya ingin menikmati momen hari ini dengan gembira, tidak mahu kusutkan fikiran dengan perkara lain. Selepas ini saya perlu fikirkan tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai ketua keluarga,” katanya dalam sidang media secara virtual yang diadakan Sony Music usai diijabkabulkan.
Intan bersyukur majlis pernikahan berjalan dengan baik, walaupun pelbagai rintangan terpaksa dilalui akibat COVID-19.
“Bagi kami, paling utama melakukan apa yang wajib terlebih dahulu. Tidak dinafikan, segala-galanya menjadi sukar dan kami tidak boleh membuat perancangan beriya-iya dalam keadaan COVID-19.
“Apa pun, saya bersyukur semuanya berlangsung dengan lancar hari ini,” kata Intan.
Sumber:Berita harian Online Gegar , Sony Music Malaysia
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club