Ya, Parut Itu Jadi Saksi Dari Perut Ni Lah Datangnya Zuriat. Kepada Suami, Hargailah Isteri. Ingat Semua Pengorbanan Mereka Lalui.

Share

Setiap pasangan yang berkahwin mendambakan kehadiran si kecil dalam rumah tangga mereka. Namun, hanya Allah sahaja yang tahu  kesakitan yang terpaksa dilalui oleh bakal ibu ketika fasa kehamilan sehinggalah melahirkan. Pengorbanan seorang isteri dan ibu yang tidak mampu dibayar dengan harta dan wang ringgit.

Perkongsian saudara Azlan Noor cukup menyentuh hati.


Dulu bila tahu berita nak dapat baby baru, saya happy teruk. Terbayang-bayang timang dia, cium pipi pau dia, siap pakej bau syurga yang…fuhh, Tuhan saja yang tahu perasaannya.

Tapi saya lupa untuk dapat semua tu, isteri terpaksa lalui satu fasa SENGSARA terlebih dahulu. Saya sedar semuanya bila ada satu malam, Surihati saya panggil.

“Pa, cuba tengok perut mama ni? Ada merekah tak?”

Saya mendekati. Duduk di sebelah dia. Saya tundukkan dan rapatkan muka ke perutnya. Dari tepi rusuk sampai ke tengah, jelas terlihat garis-garis rekahan. Kiri kanan sama.

Saya letakkan tapak tangan dan gerakkan perlahan-lahan mengikut garis itu. Kali ini saya dapat rasa betapa panjang, dalam dan berbekasnya parut tersebut.

Ya, parut tulah yang menjadi saksi dari perut ni lah datangnya zuriat saya.

Sungguh, bila isteri sendiri mengandung, baru saya sedar besar sekali pengorbanan seorang isteri.

Mula-mula rasa mual tekak. Pastu pening muntah sampai lembik. Tambah parah hidung mula jadi sensitif pada bau tertentu. Banyak bau jadi busuk. Ada kes yang tak boleh hidu bau badan suami. Sebab bau macam longkang.

Bayangkan dengan perut makin memboyot, tidur malam memang kacau. Pusing kiri, pusing kana. Tak selesa. Mula la tak cukup tidur, siang hari cepat penat. Ini yang buat ibu mengandung stress.

Sakit pinggang, lenguh kaki, betis tarik mengkarung tak payah cerita. Saya ingat lagi, beberapa kali jugak la dalam mengandung baby ketiga ni, tengah sedap membuta tiba-tiba dengar orang mengaduh,

“Papa! Papa! Tolong kaki cramp. Aduh..”

Berdesup macam lipas kudung aku bangkit pegang kaki dia. Sapu minyak, urut-urut. Regangkan otot dia. Dah macam main bola dah gayanya.

Senang cerita, jadi serba tak kena. Duduk sakit. Berdiri sakit. Baring sakit. Mengiring sakit.

Belum cerita baby dalam perut mula menendang dan mengeras. Mau senak pundi kencing mamanya. Nasib tak terkucil je.

Bab, sakit contraction, bab nak lahirkan baby tu pulak, saya rasa saya tak layak untuk ceritakan. Hanya Allah dan ibu ibu yang pernah lalui saja yang tahu. ( Siyesly, air mata saya keluar bila ingat saat ni. )

Bayangkan, semua kesengsaraan ni akan dilalui oleh ibu mengandung selama sembilan bulan. Non stop. Tanpa rehat atau cuti.

Allahu, saya tak mampu nak gambarkan semua keadaan yang dilalui seorang isteri. Cerita selepas bersalin, berpantang, menyusu anak, berjaga malam, sungguh saya tak mampu.

Tapi percayalah wahai ibu-ibu, anda sentiasa dalam peliharaan dan rahmat kasih sayang Allah.

Kerana,

Setiap urat yang putus,
Setiap otot yang sakit,
Setiap bahagian tubuh yang menderita,

Ada ganjaran besar yang telah Allah sediakan buat kalian.

Percayalah, kalian memang KUAT DAN GAGAH.

Kalau tanya saya mampu tak nak gantikan tempat isteri untuk ambil tugas mengandung dan melahirkan, awal-awal lagi saya dah serender.

Tanyalah pada lelaki paling gagah dalam dunia ni pun. Aci kerat jari, dia pun tak sanggup.

Sebab apa?

Sebab Allah dah bagi kepada orang perempuan, mengandung ni adalah keistimewaan mutlak kalian.

Kepada suami,

Ingat kembali semua pengorbanan yang telah mereka lalui untuk kandungkan dan lahirkan zuriat kalian.

Hargailah mereka.

Kerana hanya itu yang mereka perlukan dari seorang teman sesyurga idaman.

Sila FOLLOW & SEE FIRST –> Azlan Noor kerana saya akan kongsikan lagi kisah-kisah inspirasi keluarga seperti ini kepada anda.

Sumber: FB Azlan Noor