
Khabar duka daripada pelakon Ashraf Muslim apabila ayah tercinta sedang bertarung nyawa akibat Covid-19 tahap 5.
Menerusi muat naik terbaru di Instagram miliknya, Ashraf memohon agar para peminatnya mendoakan bapanya.
Muslim Bulat, 67, dijangkiti Covid-19 tahap 5B dan dirawat dengan bantuan mesin pernafasan di Unit Rawatan Separa Kritikal Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
Ya Allah. Hari ni bangun tidur rasa sangat-sangatlah sayu.. puas pujuk hati ni tapi gagal jgak pagi ni. Memang pagi ni saya paksa diri saya utk sampaikan berita ini.
Saya mohon maaf kepada semua dan meraih doa dari sahabat semua mendoakan ayahandaku Hj Muslim bin Bulat. Diberi kekuatan dan kesembuhan kepadanya.
Dalam hidup terlalu byk pengorbanan yg telah ku lakukan tapi yaAllah aku belum sedia lagi utk terima perkara yang tak diingini berlaku terhadap ayahandaku.
Apa yang diharapkan skrang ialah keajaiban yg berlaku terhadap ayah kembali sihat seperti biasa. Allahuakbar.. ya Allah.. bantulah kami semua.

Sumber: Ashrafmuslim
Bukan Tamak Tapi Nak Nasib Terbela, Isteri Kena Tahu Prosedur Tuntutan Harta Pusaka Suami. Peguam Ini Jelaskan Sebabnya.

Ramai wanita yang kematian suami tidak mengetahui secara jelas prosedur tuntutan harta pusaka sehingga nasib diri dan anak-anak tidak terbela. Lebih menyedihkan apabila isteri tidak bekerja sehingga mengakibatkan proses tuntutan menjadi lama.
Bagi wanita ketahui hak anda demi anak-anak sebagai waris. Bukan ingin harta semata tetapi sebagai persediaan
Selanjutnya ikuti penjelasan peguam ini menerusi Roslina Sabiyah & Co mengenai hak-hak dan tindakan yang perlu isteri tahu setelah pemergian suami.
Wanita.. ketahuilah hak anda!
Jangan sampai ditendang ke sana sini umpama bola gara-gara tidak tahu prosedur yang betul menuntut harta pusaka suami yang dah meninggal. Jangan sampai maruah anda dipijak hanya kerana anda tak tahu nak membela dan mempertahankan hak anda sendiri!
Saya membelek senarai dokumen yang diserahkan seorang wanita yang baru setahun kematian suami. Saya perasan macam ada sesuatu yang tak kena. “Kamu dah uruskan insurans, akaun bank dan kereta ni semua?”
“Sudah puan.. saya sudah uruskan semuanya. Hampir 10 bulan saya uruskan tapi tak selesai-selesai lagi. Sekarang ini rumah pulak nak kena mohon. Urus pusaka memang macam ni ye puan? Saya dah penat..”
Saya menggeleng.. rasa terkilan sebab masih ramai wanita yang tak dapat maklumat yang lengkap untuk mengurus harta pusaka dengan betul. “Boleh ceritakan apa urusan yang puan dah buat?” Tanya saya sekadar nak tahu sejauhmana laluan ‘berliku’ yang dah dilaluinya..
“Suami ada tinggalkan wang simpanan di bank. Saya pergi ke bank untuk keluarkan duit. Pihak bank suruh saya pergi ke Amanah Raya untuk dapatkan surat Arahan. Saya pergi ke Amanah Raya. Pihak Amanah Raya pula suruh saya ke Mahkamah Syariah untuk mohon sijil faraid. Saya ke Mahkamah Syariah pula untuk mohon sijil faraid. Dah dapat sijil faraid saya hantar ke Amanah Raya. Saya pun dah ke JPJ untuk urusan yang sama. Dalam surat JPJ ada minta beberapa dokumen dan saya pilih untuk uruskan dengan Amanah Raya sahaja”.
Kalau dah berurusan di sana, kenapa baru sekarang puan nak jumpa peguam?
“Sebenarnya saya dah tanya ramai orang..kat mana saya nak uruskan harta pusaka ni. Tapi jawapan mereka berbeza-beza. Ada yang suruh saya ke pejabat tanah. Jadi saya ke pejabat tanah daerah. Pejabat tanah daerah suruh saya buat carian persendirian tanah tu di pejabat tanah negeri pula (sebab hakmilik tanah adalah HS.(D)). Saya dah buat carian dan pergi semula ke pejabat tanah daerah. Pejabat tanah daerah dah bagi saya borang permohonan pusaka..”
Kemudian? Kenapa tak teruskan permohonan? Tanya saya semakin tak sabar..
“Puan.. anak saya masih kecil. Suami cuma tinggalkan rumah ini sahaja untuk saya. Mak ayah mertua dah dapat pampasan insurans suami. Tak ada cara ke macamana saya boleh dapatkan rumah ini untuk saya dan anak? Sebab mak ayah mertua dah pernah bagitau.. rumah yang saya duduk ni atas nama anak mereka… “
Tak sempat habiskan ayat dia dah keluarkan sapu tangan dari dalam beg tangannya. Merambu air matanya. Mungkin dah lama sangat dipendam apa yang terbuku di hati.. usianya masih muda tetapi wajahnya jelas menggambarkan raut keletihan.. saya yang mendengar cerita pun dapat rasakan betapa letihnya dia mengurus semua seorang diri.
“… jadi mereka pun nak tuntut juga hak mereka atas rumah tu. Mak ayah mertua saya bukan orang susah puan. Mereka orang berada. Tapi sejak arwah hidup memang mak ayah mertua dan adik-beradik suami tak suka kami sebab kami bukan orang senang. Dia tak pernah pelawa cucu dia sendiri makan di rumah dia puan. Bila suami meninggal, dia dulu yang tuntut insurans suami. Tak bagi pun kat anak saya. Duit tu saya tak kisah sangat. Saya hanya nak rumah ini sahaja untuk tempat berteduh saya dan anak..”
Baru saya faham kenapa dia tak teruskan permohonan sendiri. Beliau rasa tak selamat untuk teruskan kerana ada isu yang beliau tak tau jalan penyelesaiannya.
Isteri tak tahu prosedur

“Puan tau tak, sebenarnya puan tak perlu pergi semua tempat tu. Jika arwah suami ada tinggalkan rumah atau tanah, puan sebenarnya hanya perlu mohon terus di unit pusaka kecil di pejabat tanah sahaja. Perintah dari pejabat pusaka tu nanti boleh digunakan untuk keluarkan duit di bank dan tukar nama kereta di JPJ dan juga untuk tukar nama pemilik rumah dalam geran. Jimat masa dan tenaga. Tak perlu mohon faraid pun sebab di pejabat pusaka tu dah ada pegawai yang mahir kirakan faraid”.
Terkejut dia dengar saya bagitau macam tu. “Patutlah saya rasa macam orang bodoh je puan. Tak ada siapa pun yang bagi maklumat macam tu. Suruh ke sana saya ke sana. Suruh ke sini saya ke sini. Kadang rasa macam bola kena tendang ke sana sini. Dahlah keluarga mertua langsung tak ambil kisah.. sekarang apa perlu saya buat puan?“ ada harapan dalam nada suaranya.
“Sebenarnya, urusan pusaka kecil ni puan boleh mohon sendiri. Tapi jika ada isu dengan waris-waris, puan kena lantik pihak ketiga sebagai orang tengah. Ini untuk memastikan, puan mendapat nasihat yang betul dan hak puan serta anak terbela.
Walaupun bahagian puan di atas rumah tu hanya 1/8, puan masih boleh mohon Hak Harta Sepencarian. Bahagian mak ayah mertua akan semakin kecil selepas ditolak dengan bahagian harta sepencarian.
Jika mak ayah mertua masih tak setuju melepaskan hak faraid atas rumah tu, minta bapa mertua tandatangan surat, “saya setuju mengambil duit pampasan ini sebagai bahagian faraid saya dari harta si mati dengan sepenuh kesedaran bahawa tanggungjawab untuk menanggung anak si mati iaitu cucu saya adalah di bawah tanggungjawab saya sebagai datuknya”.
Lepas ni kalau datuk tu senyap dan buat tak tahu pasal cucu tu, puan boleh failkan tuntutan nafkah untuk anak puan di Mahkamah Syariah. Faham?
“Alhamdulillah faham puan. Terima kasih puan. Saya memang tak tau langsung pasal hak saya. Kan bagus kalau ramai wanita yang tau hak mereka. Tak adalah mereka kena lalui apa yang saya dah alami..” ada sinar di matanya. Ada senyum di bibirnya. Alhamdulillah.. lega saya drama air mata kali ini tidak berpanjangan.
Sejenak saya terfikir. Aduhai wanita.. kalau kita sendiri yang tak mempertahankan hak kita siapa lagi?
Sumber: Roslina Sabiyah & Co.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Duduk Di Rumah Bukan Hanya Perintah Kawalan Pergerakan Tapi Perintah Kawalan Perbelanjaan Juga. Muhasabah Diri!

Penangan Wabak Conavirus atau COVID-19 benar-benar mengubah landskap ekonomi negara. Turut terkena tempias pastinya rakyat jelata. Justeru, setiap keluarga disarankan berjimat dan elakkan pembaziran.
Justeru, langkah penjimatan harus dilaksanakan bagi memastikan perbelanjaan keluarga dapat diseimbangkan. Ini antara saranan yang dikongsikan oleh puan Hajah Rohani binti Datuk Hj Mohd Shahir yang merupakan Pengasas serta Perunding Utama , HIJRAHWEALTH Management Sdn Bhd.
“Sewaktu wabak COVID-19 melanda, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac sebelum disambung lagi sehingga 14 April ini. Semua dinasihatkan berada di rumah. Waktu ini, minyak kereta dah kurang berjalan malah ramai yang tidak bekerja. Jadi, dianggarkan sekurang kurangnya setengah bulan punya perbelanjaan minyak dapat dijimatkan. Bukan hanya tidak keluar bekerja malah kurang sangat bersiar siar atau berkunjung ke luar negeri atau negara.
“Perbelanjaan makan di luar pun pasti berkurangan, jika dulu keluar setiap minggu pun, sekarang dah 2 hujung minggu tak maka di luar. Malah, perbelanjaan membeli belah semasa jualan murah di pusat membeli belah juga berkurangan sebab sudah tak keluar. Tetapi bahayanya duduk di rumah takut berbelanja “online”, ini harus dikawal juga bukan hanya perintah kawalan pergerakan tapi Perintah Kawalan Perbelanjaan juga.
Bagaimana nak pastikan duit perbelanjaan ada lebihan? Ini tak susah untuk dilakukan. Pindahkan duit gaji bulanan anda sekurang2 nya 10% pada awal bulan. Dapat saja gaji terus buat online banking pindah ke akaun pelaburan atau tabungan yang tidak ada kaedah pengeluaran melalui kad ATM.
“Apabila kita nak keluarkan duit seterusnya untuk berbelanja dah kena pandai “adjust” sendiri dengan apa yang ada. Secara tak langsung kaedah ini dapat membantu anda berjimat dan merancangkan kewangan keluarga,” Ujar Puan Rohani yang turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Khadijah International Waqf (L) Foundation & Naib Pengerusi Majlis Wanita Rahmah Malaysia (MAWAR/YADIM).
Tidak dinafikan, jika dibandingkan dengan kaum lelaki, kaum wanita ada kelebihan dalam bab berjimat dan menyimpan. Walaupun tidak semua, namun pendapat ini ada benarnya.
“Seperti yang kita sedia maklum suri rumah selalunya pandai menyimpan contohnya punyai duit sorok yang hanya dia tahu. Sekarang, ubah kaedah itu, selamatkan semua duit sorok anda dan masukkan dalam akaun SSPNi ke, Tabung Haji ke, atau akaun emas. Jika tidak dilakukan demikian takut kita yang pada awalnya sorokkan duit tu, pandai pula cari nya kembali.
“Fikirkan juga cara penjimatan dan ambil masa perintah “berkurung di rumah” sebelum ini untuk bersama pasangan dan senaraikan perbelanjaan untuk melihat “pattern” nya. Sekarang dengan system online banking mudah nak ikuti tren perbelanjaan .Muhasabah lah bersama di mana ada ruang penjimatan.
Jelas Puan Rohani lagi, ada beberapa bulan untuk dikumpulkan sedikit demi sedikit kewangan anda supaya tidak sesak kewangan nanti. Belajar menjahit melalui You tube atau buat kuih raya dan juadah raya.Panduan/tip berbelanja dengan berhemah di musim kegawatan ekonomi.
- Beli apa yang PERLU berbanding apa yang anda MAHU, bincang dengan ahli keluarga maksud kedua perkataan ini dan implikasi kewangannya.
- Elakkan dari mengganti sesuatu barangan jika masih boleh dibaiki-contoh kerusi sofa anda Nampak suram, mungkin boleh ditukar fabric nya dari membeli yang baru.
- Baju juga boleh ditambah hiasan yang dapat di seterika keatas untuk naikkan seri dari membeli baju baru,sama juga dengan kasut boleh ditambah aksesori.
- Elakkan dari terpaut ke jenama sehingga tudung anda pun tak boleh tukar jenama, ini satu pembaziran.
- Amalkan pemakanan sihat dan kurangkan makan diluar serta tingkatkan amalan berpuasa sunat.
HomeMade Jamu, Terbaik Untuk Buang Angin & Kempiskan Perut. Harus Cuba!

Bila perut sering terasa senak atau kembung mahu pun badan sengal-sengal, rasa tidak selesa dan lesu itu semua adalah tanda-tanda menunjukkan angin banyak dalam badan. Dan bila tidak dirawat akan menjejaskan kelancaran tubuh untuk melakukan aktiviti dengan sempurna.
Lebih-lebih lagi, bagi seorang ibu yang bekerja. Sememangnya menggalas terlalu banyak beban kerja seharian. Tidak hanya melunaskan kerja-kerja di pejabat semata-mata malah bila pulang daripada tempat kerja, masih ada kerja menanti di rumah. Hal ini memerlukan kaum ibu untuk memastikan tubuh kekal sihat dan bertenaga sepanjang waktu!
Oleh itu, untuk mengatasi masalah angin yang dihadapi, ada baiknya melakukan perubahan kecil dengan mengamalkan pengambilan jamu secara rutin. Banyak manfaat dan kebaikan yang akan dirasai jika mengamalkannya.
Malah jika rajin, ada baiknya juga ibu-ibu menyediakan sendiri bahan ataui ramuan jamu tersebut. Selain diyakini lebih selamat malah ia juga lebih menjimatkan. Memandangkan kebiasaannya ramuan jamu banyak menggunakan bahan-bahan tersedia di ruang dapur.
Untuk itu, Norliza Mohd Salleh telah berkongsi resipi untuk menyediakan jamu untuk buang angin dan kempiskan perut. Jom fahami cara dan kaedah membuatnya dan bolehlah diamalkan bersama.
Bahan-Bahan:
3cm halia
3 sudu besar halba
15biji lada hitam
3 ulas bawang putih
Cara-Cara Membuatnya:
1)Tumbuk halba sampai lumat.
2) Kemudian masukkan halia , bawang putih dan tumbuk lagi.
3) Akhir sakali masuk lada hitam dan ditumbuk hingga lumat.
4) Kemudian bulat-bulatkan dan keringkan.
5) Simpan di dalam bekas berpenutup.
Cara Pengambilan :
Makan 2 biji -4 biji setiap hari ikut ketahanan/keperluan badan.
[su_highlight background=”#9fbd45″ color=”#242121″]INFO : Bahan semula jadi tanpa perapat. Sesiapa yang banyak angin TERBAIK untuk amalkan selalu[/su_highlight]
Sumber : Norliza Mohd Salleh