‘Wira’ Bantu Banjir, Abang Viva Terima Sijil Adiwira Prihatin Musibah, Wargamaya Tumpang Bangga!

Share
Betapa ikhlas dan sucinya hati lelaki ini dalam membantu mangsa banjir. Merata tempat diredah untuk menyempurnakan misi menyelamat. Walhal dia hanyalah orang awam biasa, namun semangatnya cukup luar biasa.
Itulah dia Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai Abang Viva. Setelah namanya viral ramai juga yang ingin memberi ganjaran, upah, bahkan hadiah kepadanya namun ditolak secara baik olehnya.
Pun begitu baru-baru ini lelaki kelahiran Melaka ini telah diberikan sijil kepujian Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam 2021 (Adiwira Musibah Banjir) dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Anugerah itu diberikan atas jasanya menyelamat orang awam sepanjang berlakunya Monsun Timur Laut.
Perkara itu dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi APM.
ADIWIRA PRIHATIN MUSIBAH “ABANG VIVA”
“Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed menyampaikan ‘Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya’ kepada Azwan bin Omar (Abang Viva) atas keprihatinannya membantu mangsa banjir di Shah Alam dengan membawa sebuah bot atas bumbung kereta dari Melaka.
“Sijil disampaikan semasa lawatan beliau ke Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PDPA), Temerloh, Pahang pada Selasa,” katanya.
Meninjau di ruangan komen ramai yang mengucapkan tahniah dan turut berasa bangga dengan apa yang telah dilakukan olehnya dalam usaha membantu mangsa banjir kali ini.