Warisi Kecantikan Mama, Fify Finalis Ratu Hijabista Bakal Bergelar Doktor

Share

Mendekati salah seorang Finalis Ratu Hijabista, Nurfiyanti Afrina Roslan, 23 tahun atau lebih mesra disapa Fify yang juga merupakan anak sulung daripada 4 orang adik beradik, nyata punya auranya yang tersendiri.

Tidak hanya bersandar pada rupa paras yang cantik, nyata Fify mempunyai pakej lengkap untuk menjadikan dirinya layak terpilih menjadi Finalis Ratu Hijabista 2020.

Bila diajukan soalan mengenai impiannya, siapa sangka gadis manis ini mengimpikan peluang untuk beraksi sebagai pengacara rancangan kesihatan dan perubatan.

Bertepatan dengan bidang yang dipelajarinya kini, Fify juga merupakan seorang pelajar di dalam bidang perubatan di UniKL Royal College of Medicine Perak (RCMP).

Bukan itu sahaja, anak kelahiran Pulau Pinang ini turut memasang niat untuk mengemudi majlis konvokesyen universitinya sebagai pengacara suatu hari nanti.

Nyata, gadis ini mempunyai semangat dan bakat yang hebat untuk membawa dirinya melangkah lebih jauh dalam membina kerjaya.

Manakala memahami erti ‘beauty with brain’, nyata anak sulung daripada empat beradik ini punya pandangannya yang tersendiri.

“Bagi Fify ‘beauty with brain’ adalah sesuatu yang seimbang. Tak bolehlah bila sudah cantik tak mahu belajar. Bila bijak, penampilan pula tak terjaga. Kena seimbangkan keduanya, rajin belajar dan kena juga jaga penampilan diri, dan kalau cantik itu adalah satu bonus.

Mengenali lebih rapat anak kepada pasangan Roslan Kamarudin, 49 dan Jammy Suzana Abdullah Adnan, 49, kecantikan yang dimiliki oleh Fify diwarisi daripada keluarga sebelah ibunya.

“Wajah Fify lebih iras wajah Mama dan lebih sama dengan arwah nenek. Sebenarnya Mama keturunan Arab, jadi sebab itulah wajah saya sama dengan mama berbanding ayah.

Begitu juga perwatakan, memang sama dengan Mama. Sampaikan tulisan pun sama dengan Mama. Mama juga seorang yang pendiam dan serius dengan kerja.

“Tak sangka juga, kerja Mama sebagai doktor turut Fify ‘warisi’, InsyaAllah. Mungkin sebab sejak kecil ikut mama pergi klinik, sudah terbiasa dengan persekitaran kerja sebagai doktor. Dan bila besar, dah belajar semua, alhamdulillah Fify memang minat dalam bidang perubatan.

Bercerita lanjut tentang karektor mama dan ayahnya yang menjadi insan terpenting mencorak kehidupannya kini, ada banyak kisah ingin dikongsikan olehnya.

“Kalau Mama lebih nak dengar masalah-masalah Fify dan ayah pula lebih push untuk bagi semangat untuk mencapai sesuatu hingga berjaya.

“Hakikatnya, pendekatan kedua-dua ni sangat membantu Fify. Andai ada masalah, Fify akan rujuk Mama dan bila nak semangat, Fify minta dengan ayah.

“Pun begitu Fify lebih rapat dengan ayah sebenarnya. Mungkin bila perwatakan Fify sama dengan Mama, kami bersifat serius, jadi mungkin susah sikit nak terlihat mesra berbanding ayah yang lebih happy go lucky.

“Jadi sepanjang menyertai Ratu Hijabista ni, sudah 3 bulan tak balik rumah. Rindu sangat rasanya nak balik rumah untuk sembang-sembang. Kalau hendak tahu, Fify banyak bercerita orangnya bila dengan keluarga.

“Sekarang, bila berjauhan sekadar berhubung melalui sosial media, jadi tidaklah syok sangat berbanding berdepan,” ujarnya sambil meluah rasa rindu pada keluarga tercinta di akhir perbualan.