Seorang warga emas bergelut melawan penyamun yang menyamun rumah mereka di Muar kerana bimbangkan keselamatan cucunya yang ketika itu berada di rumah bersama pembantu rumah.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Tay, 60, berkata ketika kejadian cucunya berusia tiga bulan berada di rumah bersama pembantu rumah, manakala ahli keluarga lain keluar.
Menurutnya, mereka kemudian menerima mesej memaklumkan kediaman dimasuki dua lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan parang di Taman Sri Treh sebelum bergegas pulang.
“Kami lawan mereka (penyamun) kerana bimbang bayi dalam rumah menjadi mangsa.
“Apabila tiba di rumah, kami lihat penyamun sudah berada di dalam lalu cuba melawan kerana bimbang bayi diapa-apakan.
“Pada masa sama, suami dan anak lelaki bertindak menghalang kenderaan yang digunakan ketika kedua-dua penyamun mahu melarikan diri,” katanya berkongsi.
Akibat dari situasi getir itu, tangan suaminya cedera parah terkena parang namun sudah diberikan rawatan.
“Akibatnya, suami saya parah di kedua-dua tangan kerana terkena parang dan dibawa ke hospital bersama anak lelaki,” katanya ketika ditemui, di sini.
Dalam kejadian 6.20 petang itu, sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dimasuki dua penyamun memakai pelitup muka.