
Wanita umur 36 tahun miliki 11 anak, inilah ‘untungnya’ bila kahwin muda. Seorang wanita dari Subang, wilayah Jawa Barat menjadi perhatian pengguna media sosial kerana mempunyai 11 orang anak pada usia 36 tahun.
Wanita Umur 36 Tahun Miliki 11 Anak, Inilah ‘Untungnya’ Bila Kahwin Muda
Menerusi hantaran yang dimuat naik di platform TikTok, wanita bernama Liya itu menjelaskan bahawa dia bekahwin dengan seorang lelaki dari Jordan pada usia muda.
Menurut Liya, anak sulungnya berusia 16 tahun. Ini diikuti dengan anak kedua berusia 15 tahun, 14 tahun, 12 tahun, 10 tahun, sembilan tahun, tujuh tahun, enam tahun, empat tahun, dua tahun dan yang paling kecil berusia sembilan bulan.
Tambah Liya yang kini menetap di Jordan, dia hamil hampir setiap tahun sejak berkahwin pada 2007.
“Inilah keluarga besar saya. Sejak berkahwin, saya belum pernah pulang ke Indonesia kerana hampir setiap tahun hamil dan melahirkan anak.
“Doakan kami dapat pulang ke Indonesia dan tiada halangan,” ujarnya.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada warga maya.
Sumber: Merdeka.com
Baca artikel lain juga: Tip Packing Bercuti Untuk Anak Ramai, Bawa 3 Beg Besar Dah Cukup
‘Anak-Anak Jadi ‘Investment’ Di Akhirat Nanti!’ Neelofa Mahu Anak Ramai Seperti Satu Pasukan Bola
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Ayu Raudhah Bersyukur Mampu Susukan 5 Anak “Back To Back” Selama 8 Tahun

Isi Kandungan
ToggleAyu Raudhah bersyukur mampu menyusukan lima orang anaknya secara “back to back” sejak kelahiran cahaya mata sulung pada tahun 2014.
Suatu ketika dahulu nama pelakon Ayu Raudhah pernah rancak menghangatkan pentas lakonan. Bagaimanapun, Ayu atau nama penuhnya, Raudhah Che Wan yang aktif berlakon sejak tahun 2007 memperlahankan rentak seninya selepas berkahwin dengan pemain bola sepak Negeri Sembilan, Zaquan Adha pada tahun 2011.
Ayu memilih untuk membesarkan sendiri kesemua anak-anaknya Muhammad Aisy Qaiser, 8, Muhammad Aisy Aryann, 7, Laura Zuleykha, 4, Muhammad Aisy Khaliq, 2 dan Muhamad Aisy Al Jibreel, 10 bulan.
Paling membahagiakan apabila adik kepada pelakon terkenal Rozita Che Wan ini turut dikurniakan rezeki menyusukan kesemua anaknya dengan susu ibu sepenuhnya.
“Mula bersalinkan anak pertama sampai sekarang memang Ayu tak berhenti menyusukan anak. Kira back to back lah menyusukan lima orang anak. Paling lama dapat susukan anak selama dua tahun dan paling sekejap setahun lebih. Itu pun berhenti menyusukan anak sebab mengandung,” demikian beritahu pelakon berwajah keibuan ini.
Tip menyusu anak cara Ayu Raudhah
Sepertimana ibu-ibu lain, Ayu mengakui menjaga anak ramai yang masih kecil usianya memang sangat mencabar terutama apabila turut menyusukan anak dengan susu ibu.
“Biasalah jaga anak kecik memang banyak cabaran, bila menyusukan anak kita kena fikir nak pakai baju apa yang senang untuk menyusukan dia bila keluar rumah,” ujarnya yang sudah terbiasa lapan tahun ada situasi anak kecil sedang menyusu.
Bagaimanapun pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi filem Lagenda Budak Setan 3 di Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) bersyukur dikurniakan suami yang penyayang dan ringan tulang membantu menguruskan anak-anak.
Berkongsi tentang amalannya mudah menyusukan anak terutama di bulan Ramadan, Ayu berpesan agar semua ibu menyusu rajin minum banyak air dan makan banyak makanan berkhasiat di waktu sahur.
“Pemakanan waktu sahur tu penting untuk bagi kita tenaga seharian berpuasa. Bila menyusukan anak kita mudah rasa lapar dan letih. Banyakkan makan makanan tinggi protein berbanding karbohidrat untuk melancarkan susu kita.
Selain dari itu penting untuk tidur cukup enam jam tapi kena tidur awal ya supaya kita lebih bertenaga dan sihat,” demikian Ayu berkongsi tipnya untuk sentiasa tampil ceria dan bertenaga.
Ayu Raudhah suka anak ramai
Meskipun mengakui rasa rindu terhadap dunia lakonan sesekali datang bertandang, namun ibu anak lima ini bahagia memilih memberi tumpuan sepenuhnya kepada suami dan anak-anak.
Ditanya tentang jumlah anak yang diinginkan, Ayu dan suami sepakat tidak pernah target pun berapa jumlah anak yang diinginkan.
“Kalau ikut jumlah anak kami sepatutnya dah tujuh orang sebab Ayu pernah dua kali keguguran. Sekarang ada lima orang.”
Berseloroh menyahut kata-kata Ayu, balas Zaquan yang juga ketua pasukan bola speak Negeri Sembilan FC: “Tapi saya suka nombor lapan!”
Ayu yang pernah melalui proses pembedahan potong satu tiub fallopio disebabkan hamil luar rahim anak ketiga bersyukur kerana Allah tetap murahkan rezeki dengan kehadiran anak ramai. Jadi soal dikurniakan anak lagi tidak pernah merunsingkannya dan diterima dengan hati yang terbuka.
“Saya meletakkan keluarga prioriti dalam kehidupan, saya gembira dengan anak ramai dan kami berdua pun dibesarkan dalam adik-beradik yang ramai jadi rasa okey dan dah terbiasa,” demikian kata wanita yang bakal menginjak usia 37 tahun Disember depan.
Seronok bergelar usahawan
Selain sibuk menguruskan keluarga, Ayu turut mengakui sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu dia mula berjinak-jinak menceburi dunia perniagaan makanan. Awalnya sekadar mengisi masa lapang kerana kebetulan suami tiada menjalani latihan bola speak.
Pasangan bahagia ini mula berniaga nasi ayam penyet secara dalam talian dan tidak sangka ia mendapat sambutan menggalakkkan dan akhirnya Zaquan mengambil keputusan untuk membuka kafe makanan di Seremban sejak lebih sebulan lalu.
Selain daripada itu Ayu juga mula mencabar diri meneroka bidang perniagaan termasuk mengeluarkan produk kecantikan kulit, pakaian Muslimah dan lelaki serta tudung.
Ayu sejak hujung tahun lalu juga disunting sebagai duta pakaian wanita mampu milik, byLR.
Bermula sebagai risikan menjadi duta jenama pakaian itu, Ayu menyerlahkan pengalamannya menceburi perniagaan sejak tahun 2012 menarik keyakinan rakan kongsinya itu untuk berada di depan menerajui perniagaan diusahakan.
“Saya tidak belajar tinggi. Saya tak malu mengakuinya, bahkan bangga dengan semangat diri. Saya hanya lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Malah tak ada latar belakang jurusan perniagaan pun. Namun saya percaya pengalaman menjadi azimat berharga.
“Lalu ketika pihak byLR mempelawa untuk menjadi rakan strategik bagi memasarkan jenama itu, saya cabar diri. Komitmen saya bukan setakat duta, tapi juga ke depan dalam meningkatkan pengaruh serta kesedaran jenama itu.

“Saya fikir ini juga masa dan peluang terbaik untuk melangkah ke fasa lain sebagai usahawan. Ketika ini perhatian tertumpu kepada koleksi sedondon raya si ibu dan anak perempuan dan sebanyak 10000 helai pakaian diterbitkan sempena kehadiran Ramadan dan Syawal,” kata Ayu yang turut mengumumkan akan mengedar 10,000 tudung percuma dan baucar RM10 kepada peminatnya.
Saksikan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini istimewa bersama PU RIZ dan team BK Squad di Youtube Channel Bintang Kecil bermula 1 Ramadan pada jam 6.30 petang.
Keluarga Gader adalah komuniti yang menghimpunkan semua ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh keluarga. Join Telegram Keluarga Gader Club (https://t.me/keluargagaderclub)
Wanita Kelantan Beli Barang Kemas Bayar Guna Duit Syiling

Wanita Kelantan beli barang kemas bayar guna duit syiling. Walaupun harga emas kini menghampiri RM500 untuk setiap gram, minat orang ramai terhadap barangan kemas tetap tidak berkurang, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri. Malah, membeli emas seakan sudah menjadi satu kebiasaan tahunan bagi sesetengah masyarakat.
Wanita Kelantan Beli Barang Kemas Bayar Guna Duit Syiling
Pegawai Sumber Manusia MZ Gold Sdn Bhd, Nur Akmal Ahmad Tajuddin, memaklumkan bahawa sebahagian pelanggan sanggup membuat bayaran menggunakan wang syiling demi memiliki barangan kemas idaman mereka.

Walaupun harga emas semasa hampir mencecah RM500 bagi satu gram, namun rakyat Kelantan tidak pernah mengeluh malah menjadi tradisi membeli emas setiap kali menjelang Aidilfitri.
Menurutnya, sepanjang bulan Ramadan ini, sebanyak lima pelanggan datang ke premis mereka dengan membawa duit syiling untuk membeli emas sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
“Salah seorang pelanggan kami dari Gua Musang sanggup datang ke sini dengan membawa tabung simpanan yang dikumpul selama 17 tahun. Seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an pula berjaya mengumpul lebih RM3,000 dalam bentuk syiling dan membeli seutas gelang tangan dengan wang tersebut,” katanya ketika ditemui media.
Harga emas semasa yang melambung naik tidak menyekat keinginan peminat barangan kemas sehingga ada dalam kalangan mereka sanggup membayarnya menggunakan wang syiling untuk memastikan dapat digayakan semasa Aidilfitri nanti.

Nur Akmal mengakui bahawa pada mulanya, pihak kedai agak keberatan kerana proses mengira duit syiling mengambil masa yang lama dan memerlukan tenaga kerja tambahan.
“Namun, melihat keterujaan dan kepuasan pelanggan apabila dapat memiliki barangan kemas untuk dipakai semasa Hari Raya membuatkan kami rasa berbaloi dan sanggup menerima bayaran dalam bentuk syiling,” tambahnya.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Lepas Geram, Pempengaruh Habiskan Hampir RM1 Juta Beli Emas Untuk Isteri
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Bertambah Lega Hati Bila PTPTN Perkenal Insentif Diskaun Bayaran Balik Pinjaman. Rugi Kalau Lepaskan Begitu Je!

Tiada kata-kata yang mampu diucapkan sebagai tanda gembira dan syukurnya seorang ayah dan ibu apabila melihat anak yang dahulunya berlajar di bangku sekolah kini sudah dewasa dan layak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi hasil usaha penat lelah selama ini.
Nyata, hasrat dan impian untuk melihat anak berjaya menggenggam segulung ijazah sudah berada di depan mata.
Apatah lagi soal kewangan bukanlah menjadi batu penghalang untuk menggapai impian. Ini bila mana semua antara kita maklum dengan adanya Perbadanan Tabungan Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN dapat memastikan tidak ada anak-anak kita yang tercicir untuk meneruskan pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Usaha kerajaan ini cukup disyukuri dan sekali gus membuatkan ibu ayah mampu berlapang dada dalam memenuhi hasrat anak-anaknya untuk menyambung pelajaran hingga ke menara gading tanpa sebarang masalah yang menghalang.
PTPTN Mudahkan Pelajar Melangkah ke Universiti
Semenjak penubuhan PTPTN pada tahun 1997 sehingga 30 November 2021, pinjaman pendidikan yang disediakan oleh PTPTN telah memberikan manfaat kepada lebih 3.62 juta peminjam melibatkan pengeluaran pinjaman sebanyak RM65.42 bilion.
Secara umumnya, pinjaman pendidikan yang dikeluarkan kepada setiap peminjam PTPTN adalah bertujuan untuk membantu pelajar membayar yuran pengajian serta sebahagian daripada kos sara hidup pelajar.
Namun begitu, PTPTN tidak mahu dilihat sebagai pemberi pinjaman dan pengutip hutang semata-mata tetapi sebaliknya dilihat sebagai TABUNG PENDIDIKAN untuk rakyat Malaysia melalui pembudayaan penabungan dalam Simpan SSPN.
Sebagaimana Lembaga Tabung Haji dilihat sebagai tempat menyimpan untuk persediaan mengerjakan haji dan KWSP dilihat untuk simpanan bagi tujuan persediaan apabila telah bersara, maka PTPTN pula akan dikenali sebagai institusi TABUNG PENDIDIKAN sebagai tempat untuk memulakan simpanan bagi persediaan untuk membiayai pendidikan tinggi anak-anak.
Tidak Membebankan Peminjam
Baru-baru ini peminjam PTPTN diberi perkhabaran gembira melalui Pembentangan Belanjawan 2022 apabila adanya insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Malaysia, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN itu diberikan bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022 melibatkan tiga kategori :
i) Diskaun 15% atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman
ii) Diskaun 12% untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran
Cara untuk dapatkan insentif ini di mana peminjam perlulah mendapatkan pengesahan baki hutang melalui portal rasmi PTPTN atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN terlebih dahulu.
Setelah mendapat pengesahan baki, barulah anda boleh melihat sama ada anda ingin merebut diskaun 15% atau 12% .
Untuk lebih jelas, di sini dikongsikan contoh pengiraan diskaun 12% berasaskan kepada jumlah bayaran balik sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang dengan sekali bayaran.
iii) Diskaun 10% untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus (direct debit) mengikut jadual.
Bagi peminjam yang ingin membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus (direct debit) hendaklah membuat permohonan secara dalam talian melalui:
a) Potongan gaji di https://www.ptptn.gov.my/potonggajionline/
b) Debit terus di https://www.ptptn.gov.my/direct_debit/direct_debit.html
Di bawah ini merupakan contoh pengiraan diskaun 10% dan perlu difahamkan bahawa diskaun yang diberikan ini tidak akan mengurangkan ansuran bulanan tetapi ia mengurangkan baki keseluruhan hutang peminjam.
Kesemua insentif diskaun akan dikemaskini dalam akaun peminjam pada akhir setiap bulan dan peminjam boleh membuat semakan penyata masing-masing mulai 7 haribulan pada bulan berikutnya.
Bank Islam Malaysia Berhad dengan kerjasama PTPTN turut menganjurkan Kempen Pay & Win with DD (DirectDebit). Kempen ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 untuk 41 orang pemenang. Kempen Pay & Win with DD ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang membuat bayaran balik pinjaman melalui saluran DirectDebit. Tempoh kempen adalah selama tiga (3) bulan mulai 1 Disember 2021 sehingga 28 Februari 2022.
Perlu Tahu
Selain itu peminjam yang membuat penyelesaian hutang melalui pelbagai saluran bayaran yang disediakan oleh PTPTN seperti KWSP dan bank juga layak untuk menikmati insentif diskaun 15% dan 12% tersebut sekiranya bayaran penyelesaian hutang pinjaman diterima oleh PTPTN dalam bulan yang sama. Peminjam dinasihatkan untuk membuat bayaran selewat-lewatnya 27 hari bulan setiap bulan.
Manakala peminjam yang hanya mempunyai hutang Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) juga layak mendapatkan diskaun 12% sekiranya membuat bayaran sekurang-kurangnya 50% daripada keseluruhan baki hutang WPP dalam bulan yang sama sahaja dan layak mendapatkan diskaun 15% sekiranya menyelesaikan keseluruhan hutang WPP tersebut dalam bulan yang sama.
Bagi peminjam yang mempunyai lebih daripada satu pinjaman seperti pinjaman Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dan hanya ingin membuat penyelesaian hutang salah satu daripada peringkat pengajian tersebut sahaja, insentif ini tidak terpakai bagi situasi demikian.
Pemberian diskaun kepada peminjam hanya yang menyelesaikan keseluruhan baki hutang pinjaman iaitu pinjaman Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana. Ini bermaksud, pengiraan diskaun 15% adalah berasaskan keseluruhan baki hutang pinjaman.
Oleh itu, rebutlah diskaun yang diberikan dalam tempoh tersebut untuk anda lunaskan baki pinjaman. Jika tidak pada masa ini, bila lagi?
Tindakan anda hari ini akan dapat memastikan dana yang ada dimanfaatkan kepada generasi akan datang dan sekali gus memberi peluang dan ruang untuk mereka melanjutkan pelajaran tanpa terhalang atas faktor kewangan.
Pastinya banyak lagi yang anda ingin ketahui berkenaan tabungan dan pendidikan anak-anak. Ini penting agar kita sebagai ibu bapa dapat memberikan yang terbaik untuk mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tanpa ada halangan terutamanya hal berkaitan kewangan.
Jadi jom ikuti perkongsian ilmu bermanfaat dengan mendaftar di dalam program webinar KeluargaTalk yang akan datang.