“Wanita.. Perjuangkan Syurgamu..” Peguam Ni Kongsi Kata Semangat & Jadikan Motivasi Untuk Bangkit!

Share

Perjalanan seorang isteri dalam mencari syurga perlu baginya memperjuangkan ketika hari pertama dirinya berkahwin. Hakikatnya syurga itu menjadi dambaan setiap antara kita dan jalan menuju ke syurga bukan mudah. Ada ujiannya dan perlulah bersabar dan harus diperjuangkan hingga hujung nyawa agar penghujungnya syurga buat yang berusaha.

Itulah juga yang disarankan oleh peguan syarie Roslina Sabiyah, melalui tulisan penuh bermotivasi untuk mengajak wanita terus bangkit dalam memperjuangkan untuk memiliki syurga idaman.

Ini pekongsiannya.

Wanita.. Perjuangkan Syurgamu..
Syurgamu.. pada setianya kau melayan suami yang bertanggungjawab dan memberikan perlindungan padamu.

Syurgamu.. pada lelahnya kau melahirkan dan membesarkan anak-anakmu, mendidik penuh kasih dan memimpinnya menjadi manusia berguna untuk ummah.

Syurgamu.. pada tegasnya kau berkhidmat mencurah bakti di segenap penjuru bidang yang memerlukan sumbangan buah fikiran dan tenagamu.

Syurgamu.. pada taatnya kau melaksanakan semua yang diperintahkan Allah dan Rasul dan meninggalkan segala yang dilarang oleh-Nya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila seorang wanita (isteri) itu melakukan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga harga dirinya, dan mentaati perintah suaminya, maka di akhirat kelak, dia dipanggil untuk masuk ke syurga daripada mana-mana pintu yang dia sukai (sesuai dengan pilihannya)”.
(Hadis Riwayat Ahmad)

Biarpun dalam perjuangan itu kadangkala kita tewas..
Pada tipisnya kesabaran seorang isteri..
Pada letihnya tugas seorang ibu..
Pada peritnya mujahadah melawan hawa nafsu semata untuk menjadi hamba-Nya yang taat..
Pada lemahnya kudrat seorang wanita..Yang kadang-kadang diperlakukan sewenangnya..
Dipukul, dirogol, disakiti, dizalimi hatta dibunuh di tangan suami sendiri yang dirasuk amarah..

Ketahuilah wahai wanita.. perjuangan kita menggapai syurga tidak pernah terhenti di situ..
Walau kudrat lemah, walau jiwa pasrah, walau jasad sudah dikandung tanah..
Ada sedekah jariah yang menjadi penyelamat kita..
Ada ilmu bermanfaat yang terus mengalirkan pahala..
Ada anak-anak dan generasi yang kita tinggalkan yang doa-doa mereka diharap mampu membantu menghantar kita ke syurga..

Setiap amal yang baik, walau hanya sebesar zarah akan kekal bercambah subur..
Setiap air mata, peluh dan darah akan Allah ganjarkan kebaikan..
Maka jangan pernah kecewa dan putus asa..
Teruslah berbuat baik, bersangka baik dan menyebarkan kebaikan.
Maka dengan seluruh kudrat, tekad dan semangat, mari kita terus perjuangkan syurga kita selagi nyawa di kandung badan. Moga Allah redha dan memimpin kita dengan rahmat-Nya dalam setiap tindakan yang kita lakukan.

Wanita Bangkit Mendepani Cabaran

Sumber : Roslina Sabiyah

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club