Rumah besar, kereta besar, duit yang banyak bukanlah gambaran kebahagiaan. Biar rumah yang kecil, namun syukur dengan apa yang ada.
Itulah asas dalam kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Demikian menurut Prof Dr Muhaya Mohamad.
Pasangan lelaki dan wanita diciptakan antara satu sama lain untuk saling melengkapi. Kecintaan dan kasih sayang antara suami isteri bukan sekadar di bibir sebaliknya kena dari hati yang ikhlas dan jujur selain mendapat keredaan Yang Maha Esa.
“Dulu saya kenal suami umur 17 tahun dan dia cinta pertama saya. Saya rasa cinta kami sangat asli dan jujurnya sebelum berkahwin perangai saya tidak elok. Saya garang, suka marah, suka merajuk tetapi selepas kahwin suami puji perangai saya lebih baik dari sebelum ini (sebelum berkahwin).
Ini semua sebab hukum Islam yang mana lepas kahwin kena taat pada suami. Pendek kata, sebelum kahwin saya tunjukkan perangai tidak elok, tetapi selepas kahwin saya berubah untuk menjadi lebih baik. Pada saya lebih baik kita tunjukkan perangai sebenar sebelum kahwin. Tidak ada kepura-puraan sebelum itu.
“Dalam berumah tangga, keikhlasan sangat penting dan yang keduanya, agama dan tujuan perkahwinan itu sendiri. Bukan sama ada terdesak atau sebab sayang. Kita mesti kahwin kerana Allah dan mahu mendapat redhaNya. Macam saya sendiri, saya kahwin kerana mahu mengelakkan maksiat kerana mahu menjaga Agama dan bukan sebab nafsu atau suka. Tetapi lebih kepada menjaga Agama. Itulah keberkatannya.
“Jika kita kahwin untuk bahagia memang takkan bahagia kerana hanya orang yang bahagia sahaja boleh bahagiakan orang lain. Kerana itu, kita kena betulkan dalaman terlebih dahulu iaitu fikiran dan emosi mesti positif dan kena tanam dalam diri bahawa agama adalah segala-galanya,”
“ Wanita yang paling bertuah dan bahagia adalah wanita yang memiliki suami yang sangat baik, beriman. Apabila lelaki sedemikian yang datang meminang anak saya maka saya terima tanpa memberi alasan belajar sebagai halangan kerana belajar bukan segala-galanya. Yang penting jodoh yang baik, waktu yang baik dan jauh daripada maksiat.
“Benda penting adalah belajar dan selalu solat berjemaah dengan suami, minta suami doakan kita. Suami sangat tekankan solat dan agama kena jaga kerana itu yang memberi kebahagiaan ialah Allah dan jika kita menjaga agama maka Allah akan menjaga .Asas dalam sesebuah perkahwinan bukan melihat pada apa yang kita ada tetapi kepada sikap kita kepada apa yang kita ada.
“Jadi untuk pasangan di luar sana, apa-apa yang kita lakukan mesti niat kerana Allah dan berkahwin kerana cinta Allah dan bukannya cinta manusia sebab manusia boleh hilang tetapi Allah sentiasa ada. Apabila kita mendapat cinta Allah maka kita akan mendapat cinta manusia. Ketaatan dan ketakwaan itu sangat penting. Justeru, kita kena tahu tujuan berkahwin.
.