Wanita Ni Kongsi Resipi Istimewa Arwah Abah. Masak Mi Tak Perlu Letak Garam, Gula Atau Serbuk Perasa, Rasa Dah Sedap!

Share

Biasanya kalau masak apa sekali pun, mesti kita akan perasakan dengan garam, gula atau serbuk perasa untuk memberi rasa yang enak dan menyelerakan. Namun perkongsian resipi daripada wanita ini, berkenaan resipi istimewa yang biasa dimasak oleh arwah ayahnya menarik perhatian warganet. Berkali-kali wanita ini menyarankan agar tidak perlu ditambah garam, gula dan serbuk perasa untuk menyediakan resipi tersebut.

Wanita ini selain berkongsi resipi istimewa, turut memohon agar warganet dapat sedekahkan al-fatihah buat arwah ayahnya yang baru sahaja meninggal dunia pada Syawal kedua akibat serangan jantung.

Ini perkongsiannya;

Minggu lepas, Syawal pertama, waktu macam ni, tengah berjuraian air mata dalam kereta kerana kami dalam perjalanan pulang ke kampung apabila dapat kebenaran daripada pihak polis (bukan mudah untuk dapat kebenaran) untuk rentas negeri apabila abah tiba² kena serangan jantung pada petang raya. Tengah malam, sampai hospital Temerloh, sempat ‘bercakap’ dengan abah sekejap dalam ICU sebelum abah menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.27 pagi setelah dimasukkan ke CCU. Abah meninggal pada Syawal kedua, hari Jumaat yang lepas.

Di sini saya nak share dan sedekahkan satu resipi istimewa daripada abah. Semoga berpanjangan pahalanya buat abah.

Resipi yang sangat simple tapi rasanya sangat enak. Setiap kali balik kampung, memang wajib minta abah masakkan mi special ni. Tak perlu letak garam/gula/serbuk perasa lagi dah. Ngam² sedap dah rasanya.

Bahan-bahannya sangat mudah. Kepada yang dah cuba atau bakal cuba resipi ni, dapatlah kiranya saya mohon untuk sedekahkan Al-fatihah buat almarhum abah saya Hasim bin Andan. Terima kasih semua.

Ini bahan-bahannya:

Mi kuning (celur sekejap dengan air panas), tak kisahlah jenama apa pun. Daging (ini bahan utama), fishball (ini untuk memeriahkan kuah), sawi biasa atau sawi pok choy, cili (dihiris), bawang merah dan bawang putih (ditumbuk), akhir sekali limau nipis (untuk diperahkan jusnya ke dalam pinggan).


Sos cili, sos tomato, kicap manis dan sos tiram. Tak kisah nak guna jenama apa pun. Ada 4 botol sos dan kicap ni, tak perlu tambah garam lagi dah ke dalam masakan.


Air panas menggelegak atau air panas penapis air. Tak kisahlah penapis air jenama apa.

Tumis bawang dengan cili sampai garing. Cili tu, kalau suka pedas, tambahlah lagi.


Masukkan daging. Gaul rata.


Lepas tu terus tambah air panas tadi. Air ni bertujuan untuk mempercepatkan proses melembutkan daging. Reneh sehingga menggelegak. Jumlah air bergantung kepada jumlah mi yang digunakan. Banyak mi, banyaklah air.


Kemudian boleh tuang segala sos2 tadi. Jumlah sos, bergantung kepada kuah tapi selalunya setengah botol jugalah saya letak untuk setiap sos. Kicap agak2 ajelah. Lepas tu boleh tambah fishball, isi ayam, fishcake atau apa sahaja yang digemari. Biarkan sos2 tu sebati dengan kuah seketika.


Selepas itu, masukkan sawi.


Terakhir sekali masukkan mi. Gaul sebati, tunggu menggelegak sekejap, matikan api. Boleh hidang terus macam ni. Mi ni berkuah. Kena makan teruslah konsep dia. Baru umppphh!

Selalu kami akan terus hadap sampai licin kuali. Abah senyum je tengok anak, menantu dan cucu suka makan masakan dia.


Tapi kalau nak makan lambat, boleh asingkan mi daripada kuah macam ni supaya mi tak kembang.

Ini kuah yang dah diasingkan. Warna lebih kurang beginilah. Tak hitam sangat. Selamat mencuba semua. Resipi ni ringkas sahaja. Waktu memasak pun sangat sekejap. Anak² pasti sukakannya.

Dah senduk mi dan kuah ke dalam pinggan, jangan lupa perah limau nipis. Baru terangkat dan sempurna rasanya.

P/S: Tak perlu letak garam/gula/serbuk perasa.

Sumber : Idora Darwina

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club