Berita

Wanita Maut Kena Sengatan Seekor Tebuan

Share

Meninggal akibat sengatan tebuan. Seorang suri rumah maut dipercayai akibat terkena sengatan tebuan dalam kejadian yang berlaku di Taman Semarak, Sungai Petani, Kedah.

Memetik laporan Sinar Harian, kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam Ahad telah meragut nyawa mangsa seorang wanita berusia 61 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharudin Wan Ismail memaklumkan, mangsa Rohani Mohd Shariff, 61, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Gambar sekadar hiasan

Menurutnya, kejadian disedari anak lelaki mangsa ketika pulang ke rumah sebelum mendapati ibunya sedang menanggung kesakitan.

“Semasa anak lelaki mangsa pulang ke rumah mendapati ibunya sedang kesakitan dan dimaklumkan oleh mangsa bahawa terkena sengatan tebuan,”katanya.

Wan Azharudin berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan.

“Bagaimanapun, pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan,” katanya.

Difahamkan, mangsa terkena satu sengatan tebuan di bahagian badan semasa berada di rumah.

Beliau berkata, tiada unsur jenayah dikesan setakat ini.

INFO TAMBAHAN: 

Memetik info berkaitan dengan bahaya sengatan tabuan yang disiarkan oleh Astro Awani
,  Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Samhan Awang, selain langkah pencegahan, masyarakat juga perlu tahu bagaimana untuk bertindak sekiranya disengat tebuan atau serangga berbisa.
Berikut merupakan tindakan kecemasan atau langkah awal bagi mengelakkan nyawa melayang jika terkena sengatan:
  1. Tanggalkan pundi sengat dengan menggunakan pengumpil atau penyepit.
  2. Basuh dengan air dan sabun atua cecair antiseptik.
  3. Letakkan ais atau air sejuk di tempat sengatan.
  4. Bawa mangsa ke kecemasan dengan segera.

Selain itu, Dr Samhan berkata, beberapa langkah pencegahan perlu diamati dalam usaha untuk menjauhi ancaman serangga berbisa ini yang boleh meragut nyawa. Elakkan anak bermain dalam hutan.

  • Jika perlu bawa anak masuk hutan, pastikan anak memakai baju lengan panjang, seluar panjang dan bertopi.
  • Elakkan menggunakan pakaian berwarna-warni yang boleh menarik perhatian serangga.
  • Elakkan memakai bau-bauan atau minyak wangi.
  • Jika diserang, jangan berlari secara mengejut sebaliknya berjalan perlahan-lahan.
  • Jangan mengibas baju dan kain untuk menghalang serangan.

Sumber: Sinar Harian & Astro Awani