Wanita Lain Me Time Sendiri, Tengku Loreta Mesti Dengan Anak.” Ibarat ‘BFF’ Ibu, Anak Ini Juga Kongsi Minat & Hobi Sama!

Share

Personaliti ini agak ‘sempoi’ tapi ciri-ciri orang ‘istana’ masih dikekalkan terutama bab protokol namun tetap terbuka dalam pergaulan. YM Tengku Loreta Tengku Dato Setia Ramli Alhaj juga sangat akrab dan rapat dengan anak tunggalnya. Sekali pandang dua beranak ini seolah-olah BFF yang ‘satu kepala’ dan sehati sejiwa.

“Aniq memang rapat dengan saya kerana sejak kecil lagi ke mana sahaja saya pergi pasti akan ada dia menemani. Usai mendirikan rumah tangga, saya ambil keputusan untuk duduk di rumah dan menjaganya. Kebetulan waktu itu berlaku krisis ekonomi dan saya antara yang dibuang kerja. Disebabkan tiada tawaran kerja, lebih baik saya fokus pada anak dan keluarga.”

“Waktu itu, saya sudah dedahkan Megat Aniq dengan aktiviti lasak seperti paintball, menembak (senjata 9mm), snorkelling, go kart, golf (single handicap) dan sebagainya. Dari kecil sehingga sekarang, minat tersebut bercambah dalam dirinya dan kini dia bakal mengambil lesen penerbangan di Melaka tak lama lagi.”

“Boleh dikatakan kami banyak berkongsi minat dan hobi yang sama. Kalau wanita lain ada ‘me time’ tetapi saya pula waktu ini mesti bersama dengan anak. Kalau ada masalah atau mahukan sesuatu pandangan, Megat Aniq akan terus tanya pada saya. Saya cuba beri yang terbaik untuk dia. Bukan bermakna saya mahu ‘spoilkan’ dia dengan kemewahan, tapi kalau ada duit banyak pun tak dibelanjakan tak guna juga kan,”ujar Tengku Loreta yang berpada-pada dan ada kouta dalam berbelanja.

Sejak kecil beliau sudah terapkan pada anak, kalau nakkan sesuatu dia kena hantar surat ‘permohonan’ terlebih dahulu.

“Tak kisahlah apa jua aktiviti mesti dapatkan persetujuan saya terlebih dahulu. Masih simpan lagi semua surat itu dengan typing error. Tapi yang saya ingin tekankan waktu itu adalah supaya dia berdisiplin.

“Malah, selepas habis bermain, Megat Aniq akan kemaskan kembali barangannya ke kotak asal tanpa perlu disuruh termasuklah saya ajar dia ada batas-batas dalam berkongsi barangan dengan orang luar. “

“Saya pernah tinggalkan dia 4 bulan kerana terpaksa bekerja di FUTURE ENERGY ASTANA EXPO 2017, Kazakhstan sebagai Ketua Protokol & PR Malaysia Pavillion dan waktu itu dia tengah belajar di sini, jadi tak boleh ikut sekali. Tetapi Aniq ada datang melawat saya bersama mengiring DYTM Raja Muda Selangor waktu itu ,” cerita Tengku Loreta lagi mengenai anak tunggalnya itu.

Pengerusi Pertubuhan Generasi Malaysia Berjaya (GENMAS) ini bagaimana pun tetap menerapkan elemen-elemen protokol dan juga pengetahuan mengenai susur galur keluarga mereka kepada anak tunggalnya itu.

“Anak saya turut diterapkan segala adat istiadat dalam istana. Dia juga tiada masalah dan mengikuti segala apa yang diajar. Jadi, mudah untuk dia bawa diri dalam istana selain dapat bergaul mesra dengan kerabat dari negeri lain,” jelas Tengku Loreta yang mengamalkan cara terbuka dan belajar bersama selain berkongsi minat yang sama dengan anak.

Dalam memastikan hubungan ibu-anak baik, ujar Tengku Loreta perlu jujur dan berfikiran terbuka. Belajar bersama dan boleh dengar dan terima pandangan anak muda.

“Selain itu, kami berkongsi minat yang sama termasuklah dalam sukan air, melancong, berkuda, main golf, bowling dan membantu kaum kurang upaya serta underprivileged kids.

“Ini memudahkan untuk saya rapat dan membina hubungan yang baik dengan anak. Walaupun Megat Aniq kini sudah masuk 19 tahun, namun usia itu tidak membataskan hobi dan minat kami. Bahkan, ada masa terluang kami akan buat sama-sama,” ulas Tengku Loreta lagi.

Aktif NGO dan CSR

Mengulas lanjut mengenai kerjayanya, Tengku Loreta yang kini sibuk dengan majlis pengiktirafan anugerah “Selangor Tremendous Achievement Recognition Awards (STAR Awards) 2018 untuk para usahawan di dalam pelbagai bidang di negeri Selangor. Selain itu, beliau juga aktif dalam NGO dan program CSR,

“Sejak dahulu lagi saya memang suka lakukan kerja amal. Terbaru saya baru selesai larian amal sempena bola sepak piala dunia Russia 2018 di mana DYMM Tengku Pemaisuri Selangor telah berkenan berlari sejauh 3km.

“Saya juga mengikuti program melawat setiap Raya, Deepavali, Krismas mahupun bila ada aktiviti khas untuk memberi sumbangan di hospital terutama Hospital Kuala Lumpur.

“Selain itu, saya turut membantu kanak-kanak kanser di KK3 ward kanser HKL, ibu tunggal, remaja bermasalah (School drop-out), melawat ke penjara Kajang dan sebagainya.

“Malah, kami juga ada buat charity bazar dan pelbagai lagi program lain dalam mengutip dana untuk mereka yang memerlukan,” selain sangat minat dengan benda-benda yang membabitkan alam sekitar.

Artikel selanjutnya boleh dapatkan di dalam Majalah Keluarga Edisi Sept-Oct 2018