Wanita ini Kongsi Tip, Jadikan Bulan Ramadan, Masa Yang Seronok Untuk Kanak-Kanak Berpuasa

Share

Mendidik anak-anak untuk berpuasa adalah menjadi kewajipan kepada kedua ibu-bapa. Namun tiada umur yang ditetapkan dalam melatih anak-anak berpuasa berbanding solat.

Lantaran itu, pastikan tubuh anak terbiasa dengan rutin selama satu bulan ini, namun tidak bermakna ibu bapa perlu memaksa mereka sehingga menyebabkan kecederaan atau menjejaskan kesihatan.

Kewajipan berpuasa adalah kepada muslim yang baligh. Dalam saranan didikan tarbiyah pula menyebut kewajipan bersolat untuk kanak-kanak mulai usia 10 tahun. Oleh yang demikian latihan anak puasa haruslah bercirikan seperti sebuah latihan dan bukan kewajipan pada anak-anak, sesuai dengan fitrahnya bertahap-tahap.

Ikuti panduan ini.

Tempoh puasa

Mulakan dengan beberapa jam, mungkin 2-3 jam, kemudian separuh hari, berbuka ketika zohor, kemudian asar dan sehinggalah anak berlatih mampu menahan dirinya tidak makan seperti mana orang dewasa sehingga maghrib.

Bangun awal sahur

Begitu juga dalam amalan bersahur, kejut dan didik untuk bangun awal. Sekiranya belum baik, benarkan untuk bersarapan dan terus dorong untuk puasa semampunya.

Sokongan 

Sokongan dan dorongan secara lembut hendaklah seiring dengan latihan ibadah puasa yang diterapkan. Aspek emosi, perasaan anak dan empati ketika mereka melalui fasa sukar berpuasa mestilah dikomunikasikan. Ini penting agar anak tidak melihat ia sebagai latihan yang menderitakan dan tidak manusiawi. Gambarkan dan sampaikan kepedulian pada anak melalui sentuhan, dan kata-kata yang mengiyakan.

Kesihatan anak

Perhatikan kesihatan anak. Anak yang tidak sihat jangan diminta berpuasa. Anak yang pucat, lesu bergolek menahan sakit perutnya jangan diminta bertahan untuk berpuasa.

Mindset masyarakat anak harus berpuasa penuh bermula 6 tahun atau lebih muda sesungguhnya memberatkan kanak-kanak. Ini terlihat dengan kata-kata yang diusahakan dalam perbualan masyarakat secara lazim, “puasa penuh tak”, ” Mesti puasa penuh, dapat seringgit sehari”, atau “tahanlah sikit lagi, sayanglah kalau berbuka dah dekat nak buka” sedangkan anak bergolek pucat menahan kelaparan. Banyak lagi contoh komunikasi yang menggambarkan mindset begini.

Anak yang terlatih dengan ibadah solat akan membaiki ibadah puasa, dengan bimbingan orang tuanya dan ia mengambil masa sesuai dengan usianya untuk di tarbiyah begitu. Pendidikan solat harus tidak bermusim, bermula dari kecil sepanjang masa dan terlihat pada diri ibu bapa dan anak-anak.

Jadikan Ramadan bulan yang seronok

Gambaran terhadap bulan Ramadan juga perlu diolah agar memberi keseronokan buat kanak-kanak. Raikan kedatangan Ramadan itu seperti menyambut kedatangan Hari Raya.

Hidupkan keseronokan berbuat baik dengan memberi perhatian kepada semua amalan baik yang perlu dihidupkan setiap hari, dan tambahkan dengan aktiviti seiring dengan objektif amalan baik yang mahu diterap. Promosikan semua kebaikan seperti kutip sampah, senyum, berkongsi, bantu ibu ayah, kemas peralatan, membaca buku, bermain dengan baik dan pelbagai lagi, tidak marah dan tidak bergaduh.

Jadikan Ramadan sebagai bulan yang membawa kebaikan sebenar-benarnya, sehingga dapat dirasai sang anak kecil. Kebaikan kepada masyarakat, jiran, suami isteri, anak-anak, dan kebaikan terhadap diri sendiri.

Begitu juga Ramadan dihidupkan sebagai bulan pesta ibadah. Ramadan sebagai satu pesta kemasyarakatan. Masyarakat sering bertemu, bersama, berbuat baik, menyatu dalam ketaatan kepada Allah. Libatkan anak-anak dalam ibadah solat, utamakan kepada solat fardhu, solat terawikh istimewa Ramadan dan solat sunat lainnya.

Kenalkan amalan semasa berpuasa

Perkenalkan mereka dengan masjid ketika iftar jamaie, solat jemaah, dan iktikaf. Kongsikan keistimewaan masjid sebagai rumah Allah. Keistimewaan tetamu Allah. Begitu juga Al Quran, lazimi al Quran setiap hari dengan anak di bulan Ramadan, semoga ia kekal bersama keluarga selepas Ramadan. Jadikan ia acara keluarga, bukan kita seorang diri sahaja yang mahu khatam Al-Qur’an tetapi bawa keluarga kita bersama.

Sedekah juga harus dilazimi setiap hari agar amalan ini terpahat dalam amalan anak-anak secara semulajadi. Bangkitkan kepedulian kepada umat Islam yang susah kerana miskin dan kerana penindasan peperangan. Bawa berjumpa keluarga yang sempit hidupnya agar anak-anak terbuka minda melihat sesuatu yang membina keinsafan dan kematangan mereka kerana anak-anak terbatas kefahaman mereka, mereka dapat memahami apa yang dapat ditanggapi (dilihat) dengan mata mereka sahaja.

Meskipun mereka mungkin terbatas dalam memahami puasa dan belum sempurna latihan puasa mereka, jangan ditinggalkan pengajaran lain yang boleh disuburkan Ramadan ini. Hidupkan kebaikan dan ibadah Ramadan selari dengan latihan berpuasa.

Buat aktiviti mengenai bulan Ramadan

Meraikan fitrah anak juga, semua pengajaran, isi, content yang ingin ditarbiyahkan itu mestilah dilihat sebagai seronok, dan ada aplikasinya. Bukan sekadar kata-kata. Maka setiap hari perlu dibuat aktiviti sokongan mengenai fokus pengajaran pada hari tersebut. Aktiviti sokongan akan membantu kefahaman anak tentang sesuatu objektif pengajaran. Ia boleh berbentuk kraf, story telling, lakonan, video, lawatan, penghasilan buku skrap dan banyak lagi idea kreatif.

Aktiviti boleh menggunakan pelbagai produk sokongan Ramadan yang ada atau ibu bapa boleh DIY sendiri. Malah setiap aktiviti ini dapat diolah menjadi penulisan berbentuk 3M (membaca, menulis, mengira). Perancangan yang baik akan membantu ibu bapa.

Jadual Ramadan

Apabila cuti persekolahan mengambil 10 hari dari Ramadan tahun ini, buatlah jadual harian yang akan membantu perjalanan anak-anak bersama ibu bapa di rumah. Ada 3 kategori jadual Ramadan. Jadual utk hari anak bercuti tetapi ibu ayah bekerja, jadual Ramadan di hujung minggu dan Jadual Ramadan ketika hari persekolahan.

Persiapan rapi amat membantu semua keluarga menghadapi Ramadan. Berbeza dengan apabila kita belum ada tanggungjawab keluarga, semoga Allah memudahkan jalan hambaNya yang berusaha. Semoga Allah menemukan kita dengan Ramadan.

 

Sumber: Nurul Hanan Arifin