Meleleh air liur tengok gambar Menu Mi Kari ni. Itu belum lagi rasa. Dengan hanya melihat gambar sahaja kita sudah membayangkan keenakannya. Rasanya pastilah lagi hebat.
Resipi yang dikongsikan oleh are peace dan Anisza mohd Shukri ini memang buat kita semangat nak cuba. Ibu-ibu yang tengah listkan menu untuk open house tu, boleh masukkan sekali menu ini. Wajib dicuba ni.
Resepi Mee Kari Simple
Bahan-bahan
4 bji bawang merah dikisar
1 labu bawang putih dikisar
2 pek serbuk kari daging (yg kecil)
1 senduk cili giling
1 pek 3sekawan
2 kiub pati ayam maggi
fishcake
fishball
tauhu kering
isi ayam atau tulang2 ayam
1 kotak santan 200ml
gula & garam secukupnya
air
ikan bilis segenggam dan bland dengan sedikit air sampai hancur (rahsia penyedap mee kari)??
bahan hiasan:-
Telur Rebus
Cili merah
Sawi
Taugeh
Limau kasturi
Cara membuat:
- Tumis bahan kisar , 3 sekawan ,cili kisar dan serbuk kari. Tumis sampai pecah minyak dan naik bau dan masukan ikan bilis yang dah di kisar tadi.
- Masukkan batang sawi yang dah di potong.. batang sahaja ok… daun dia jangan masuk sekali dalam kuah ni… Masukkan ayam , fishball ,fishcake.
- Masukkan air dan santan secukupnya, kalau nak kuah pekat atau cair pandai2 la bajet air k….
- Masukkan kiub pati ayam, garam dan gula secukupnya.. kalau suka pak aji boleh masukan sedikit… last sekali masukan tauhu kering….
- Tunggu sampai mendidih… siap…. boleh la dihidang bersama bahan untuk hiasan tu….
Tip masakan:
Ikan bilis tu adalah rahsia mee kari yang sedap… saya pun dapat tips ni dari mak mertua adik yang pernah berniaga mee kari satu ketika dahulu…
Kredit Resepi : are peace dan Anisza mohd Shukri
Sentiasa Beringat Anak – Anak Ujian Dari Allah SWT Untuk Kita Sentiasa Bersabar.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya, demikian juga dalam hal mendidik anak-anak. Ibu bapa perlu memainkan peranan sedari awal kandungan lagi.
Anak-anak adalah amanah Allah. Kitalah yang mencorakkan keperibadian mereka. Mana mungkin anak-anak akan mendengar kata andai sebagai ibu bapa tidak menunjukkan contoh yang terbaik. Konflik keluarga yang dipaparkan di kaca televisyen bukan omongan kosong bahkan ada yang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita dewasa ini.
Justeru, Dr Hasiba Kamaruddin menerusi laman facebooknya berkongsi kupasannya hasil bacaan mengenai kisah Nabi Yaakub dan anak-anaknya. Betapa hebatnya Nabi Yaakub dalam menangani karenah anak-anaknya. Berkat kesabaran Nabi Yaakub A.S. ini akhirnya anak-anak mengaku bersalah lalu memohon kepada ayah mereka supaya berdoa agar Allah mengampunkan dosa – dosa mereka.
Tanyalah pada diri sendiri, bolehkah kita sebagai ibu bapa untuk memiliki kesabaran dan tawakal yang hebat sedemikian dalam membesarkan anak – anak? Tepuk dada tanya iman. Jom baca perkongsian yang cukup bermanfaat ini.
Setiap kali aku sampai ke bahagian dialog antara Nabi Yaakub A.S. dan anak – anaknya dalam surah Yusuf, otak aku sering menggambarkan sebuah adegan drama keluarga yang ditayangkan di kaca TV. Bezanya cuma tidak ada wajah yang mengisi karakter – karakter itu dalam kepala aku. Seolah – olah otak ini tahu yang mustahil untuk aku menggambarkan lebih dari apa yang tertulis di dalam kalam suci Allah SWT itu.
Dalam surah Yusuf, Allah SWT menggambarkan kepada kita dinamik perangai anak – anak Nabi Yaakub A.S. bermula dengan anugerah kenabian kepada Nabi Yusuf A.S. dan kedengkian adik – beradiknya yang lain terhadap dia dan Bunyamin. Dengki antara saudara ini bernanah hingga ada di antara mereka yang sanggup mencadangkan agar Nabi Yusuf A.S. dibunuh. Bayangkan bagaimana hebatnya Nabi Yaakub berdepan dengan anak – anak yang pelbagai ragam ini.
Sepanjang konflik keluarga ini berlaku, Nabi Yaakub A.S. digambarkan sebagai seorang ayah yang sangat sabar hinggakan tatkala anak – anak beliau datang memberitahu berita yang Nabi Yusuf A.S. dimakan serigala sambil ditunjukkan bajunya yang berlumuran darah, Nabi Yaakub A.S. hanya menegur sikap menipu mereka dan berkata pada dirinya “Fasobran jamil. Allah tempat memohon pertolongan terhadap apa yang kamu ceritakan.”
Begitu juga tatkala anak – anak Nabi Yaakub A.S. datang memberitahunya bahawa Bunyamin telah ditangkap kerana mencuri, beliau hanya menuturkan dialog yang sama, “Fasobran jamil. Semoga Allah mendatangkan mereka semua kepadaku.”
Di sini jelas menunjukkan yang Nabi Yaakub A.S. tidak pernah berdendam atau memarahi anak – anak beliau yang menyebabkan kehilangan dua orang anak kesayangannya bahkan beliau mengambil jalan bersabar dan hanya mengadu kesedihannya kepada Allah SWT walaupun dalam Surah Sad menyebut bahawa Nabi Yaakub A.S. ini memiliki ‘al aidi’ yang digambarkan sebagai kekuatan. Susah tentu, beliau boleh saja menghukum anak – anak beliau dengan kapasiti sebagai bapa dan nabi yang kuat. Namun Maha Suci Allah SWT ingin menonjolkan sisi lain Nabi Yaakub dalam mendidik anak – anak iaitu ‘al absor’ iaitu memiliki pandangan yang tinggi.
Walaupun ada antara anak beliau berkata “Engkau selalu teringatkan Yusuf sehingga engkau dihinggap penyakit atau engkau menjadi termasuk orang – orang yang akan binasa,” bahkan ada juga yang mengatakan bapa mereka itu sudah tidak siuman, Nabi Yaakub tetap berpandangan jauh bahawa Allah SWT yang Maha Mengetahui segalanya akan merungkaikan segala kesedihan yang dialaminya.
Kesan kepada kesabaran dan pandangan jauh Nabi Yaakub A.S. ini boleh kita lihat di akhir kisah ini di mana anak – anak beliau yang berperangai macam – macam itu mengaku bersalah lalu memohon kepada ayah mereka supaya berdoa agar Allah mengampunkan dosa – dosa mereka. Bukan itu sahaja, kesabaran Nabi Yaakub A.S. ini telah meninggalkan legasi kepada Nabi Yusuf A.S. yang juga memaafkan adik – beradiknya yang menzaliminya dulu, “Tidak ada celaan terhadap kamu pada hari ini. Semoga Allah mengampun dosa kamu.”
Memang aku akan menangis setiap kali membaca kisah konflik keluarga Nabi Yaakub A.S. ini dek besarnya jiwa seorang ayah dalam berhadapan dengan anak – anak yang pelbagai ragam. Bolehkah kita sebagai ibu bapa memiliki kesabaran dan tawakal yang hebat sebegitu dalam membesarkan anak – anak?
Kadang – kadang aku rasa sedih bila mendengar konflik antara ibu bapa dan anak – anak yang mungkin bermula dari hal – hal yang remeh seperti dah lama tak balik kampung, tidak berkenan dengan menantu atau anak melebihkan pasangan dari ibu bapa. Perkara sekecil ini kadang – kadang melarat menjadi pergaduhan besar sehinggakan ibu bapa sanggup memanggil anak sendiri sebagai anak derhaka.
Astaghfirullahal adzim. Kalaulah ibu bapa sendiri memanggil anak yang dikandung dan dibesarkan sebagai anak derhaka, apa lagi yang tinggal pada anak itu untuk menghadapi kehidupan ini.
Aku juga teringat akan sebuah kisah seorang artis yang berhijrah. Tatkala orang bertanya, apa yang menyebabkan dia tergerak hati untuk berhijrah. Katanya, “Mak saya. Setiap kali saya nak keluar menyanyi atau buat benda – benda lagha, mak saya hanya kata, mak selalu doakan kamu semoga kamu menjadi orang yang lebih baik. Saya rasa atas berkat doa mak saya itulah Allah beri saya hidayah dan taufik untuk berhijrah.” MasyaAllah hebatnya mak artis ini.
Kisah – kisah begini sangat meruntun jiwa aku supaya sentiasa beringat yang anak – anak ini adalah ujian dari Allah SWT untuk kita sentiasa bersabar dan akhirnya akur untuk menyerahkan segala urusan mereka kepada Dia Yang Menciptakan. Kadang – kadang kita mungkin sudah habis daya dalam menguruskan anak – anak supaya mereka sentiasa berada dalam kebaikan namun ibrah dalam Al Quran terus menerus mengingatkan kita yang akhirnya semua itu adalah urusan Allah SWT. Kita perlu jalankan saja peranan itu sebagaimana yang diajar olehNya melalui kitab ini.
Semoga Allah SWT sentiasa bersama kita dalam perjalanan keibubapaan ini. Amin.
p/s: Menghargai pandangan para asatizah yang lebih berilmu dari saya dalam memahami kisah Nabi Yaakub ini.
“Walaupun Sedih, Saya & Suami Reda.” Ibu Kongsi Berita Baby Nishka Meninggal Dunia Selepas 4 Bulan Bertarung Nyawa
Selepas bertarung nyawa melawan penyakit kanser otak dan kanser buah pinggang, Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham meninggal dunia di Unit Dependensi Tinggi (HDU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Bayi berusia empat bulan itu menghembuskan nafas terakhir pada 4.30 petang semalam di sisi kedua ibu bapa dan ahli keluarga.
Ibu Nishka, Khairiah Kamarudin, 35, memberitahu, dia dan suami, Mohd Farham Che Ahmad, 36, reda dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu.
Katanya, anaknya tenat sejak semalam apabila tidak mampu membuka mata dan tidak memberi tindak balas.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan Nishka dan mereka yang sentiasa memberi sokongan kepada saya serta suami.
“Walaupun sedih, namun saya dan suami reda dengan pemergian anak kerana dia terlalu kecil untuk menanggung derita. Sejak semalam Nishka tenat dan tidak memberi sebarang maklum balas. Memang kami sekeluarga sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Walaupun sedih, ini semua takdir Allah dan bersyukur pemergian Nishka dipermudahkan,” katanya lagi.
Khairiah berterima kasih kepada semua pihak yang selama ini mendoakan Nishka serta kakitangan HUSM yang banyak berjasa kepada keluarganya.
Nishka disahkan menghidap kanser otak (Medullablastoma) tahap empat selepas 21 hari dilahirkan dan turut dikesan menghidap penyakit kanser buah pinggang bulan lalu.
Khabar duka ini turut dikongsikan selebriti tempatan, Mawar Karim yang sebelum ini pernah melawat bayi comel berkenaan.
“Al- Fatihah. Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un. Baby Nishka berehat la di syurga menanti awak di sana. Setelah berjuang bertarung nyawa. Allah lebih sayang kan baby Nishka. Ibu bapa baby Nishka akan tunggu di syurga ya anak..
“Kami sayang baby Nishka. Mari kita sedekah Al Fatihah dan doa kan baby Nishka @kheriykhairiah_nishkaofficial.
“Menerima panggilan dari ibu baby Nishka mengatakan baby Nishka dah meninggal dunia. Sejujurnya memang tidak mampu untuk saya melihat anak syurga ni tabah bertarung nyawa,’ ujar Mawar melalui Instagram miliknya.
View this post on InstagramA post shared by Mawar Karim (@mawar_karim) on
Kisah adik Nishka pernah disiarkan oleh Majalah Keluarga sebelum ini baca di sini. Semoga keluarga anak syurga ini tabah dan sabar dengan ujian tersebut.
Sumber: Mawar Karim
Tak Perlu Lauk ‘Kayangan’ Pun Jika Nak Anak Bijak. Biasakan Bagi Makan Ikan 2 Kali Seminggu Berbanding Ayam Goreng!
Ibu bapa mana yang tak nak lihat anak-anak mereka berjaya kan. Sebab itu, mereka sanggup berbuat apa sahaja, termasuklah berhabisan demi melihat kejayaan anak-anak.
Makanan antara salah satu perkara penting yang harus dititikberatkan oleh ibu bapa. Kena tahu apakah jenis makanan yang boleh membantu perkembangan otak anak-anak.
Jangan anggap makanan mahal sahaja yang boleh membuatkan otak anak-anak cergas dan pintar. Pengambilan ikan misalnya sangat baik untuk otak kerana ia mengandungi DHA. Ini perkongsian daripada Dr Mazliana Mazlan berkongsi info mengenai kebaikan yang ada pada ikan berbanding ayam.
Biasakan anak kita dengan ikan, berbanding ayam, daging, sotong, udang, dan lauk pauk yang lain. Pastikan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu mesti kena ada menu ikan. Kalau lebih, lagi bagus.
60peratus daripada otak manusia terdiri daripada lemak. Separuh daripada lemak itu adalah DHA. Anak kita akan bijak jika kandungan lemak dan DHA dalam otak mereka mencukupi. DHA bantu perkembangan fungsi otak anak-anak.
Ikan adalah sumber DHA yang terbaik dan mudah untuk kita dapat dan beri pada anak-anak. Buat singgang kosong, letak bebawang, halia, kunyit hidup dan lengkuas, sampai habis nasi pun anak saya minta nak makan lagi.
Bagus sangat kalau anak dapat hirup kuah singgang yang tinggi dengan DHA dari ikan, dan juga ramuan anti inflamasi dari bebawang, halia, kunyit hidup dan lengkuas.
Tak perlu ikan kayangan, ikan sardin atau ikan kembung segar di pasar pun dah cukup banyak DHA yang ada. Sesuai sangat untuk anak-anak kita makan. Kita cuba ya, perbanyakkan menu ikan untuk anak-anak, berbanding ayam goreng.
Mazliana Mazlan
Follow saya untuk perkongsian lebih lagi tentang pemakanan dan gaya hidup sihat anak-anak dan keluarga.
ARTIKEL POPULAR: “Kemas, Cantik & Kreatif.” Suami Siapkan ‘Kitchen Island’ Guna C Channel, Buat isteri Tersenyum Lebar Impian Dah Tercapai!
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club