Wanita ‘hilang’ suami 10 bulan lalu kini hilang dua anak, “Saya tak kuat…”Norizan Ujak, 40 sedih apabila dua orang anaknya maut dalam kemalangan di Jalan Lebuh SPA dekat Stadium Hang Jebat, Krubong di sini, pada petang Isnin.
Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, anak sulung dan anak bongsunya, Muhammad Amirul Hazlin, 18, dan Nur Afiqa Sofea Hazlin, 5, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka.
Norizan yang melihat sendiri nahas membabitkan anaknya di depan mata berkata, dia hanya mampu menjerit ‘Ya ALLAH anak aku’ apabila melihat motosikal yang ditunggangi anaknya merempuh tong sampah pukal roro berwarna biru menyebabkan mereka terpelanting.
Menurutnya, ketika kejadian dia mengekorinya mangsa dengan motosikal lain dari arah belakang sebelum dua beradik itu merempuh tong sampah tersebut.
“Kami dalam perjalanan nak ke Tanah Perkuburan Islam Bertam Ulu untuk menziarah kubur arwah suami yang meninggal dunia akibat komplikasi sakit termasuk kencing manis.
“Kami rancang lepas ziarah nak makan bersama selepas itu, namun tak sangka berakhir dengan tragedi,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Melaka, di sini, pada malam Isnin.
Ibu anak tiga itu berkata, lebih menyedihkan dia nampak depan mata tong roro yang diletakkan betul-betul atas bahu jalan lorong kecemasan menyebabkan anak tidak sempat mengelak kerana terdapat lori di lorong kanan.
Katanya, lebih dikesalkan tong sampah pukal yang diletakkan di bahu jalan untuk membuang sisa pokok ditebang didakwa tidak diletakkan ciri-ciri keselamatan termasuk kon diletakkan terlalu hampir dengan tong terbabit.
“Malah ketika kejadian tak ada seorang pun pekerja kontraktor yang mengawal lalu lintas memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Harap pihak berkuasa supaya ambil tindakan tegas kerana kecuaian ini telah menyebabkan saya hilang dua anak sekali gus. Jangan ada orang lain lagi yang menjadi mangsa,” katanya lagi.
Tambahnya, bukan sahaja kehilangan dua orang anak seretak malah hilang punca pendapatan keluarga kerana sejak pemergian arwah suami November lalu, arwah anak sulung yang menanggung keluarga dengan bekerja sambilan sebagai tukang cuci kereta.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan perjalanan dua beradik untuk menziarahi pusara bapa mereka, tidak kesampaian selepas terbabit dalam kemalangan.
Kejadian yang berlaku mengakibatkan mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.40 malam dan 12.30 pagi Selasa ketika dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, setiba di lokasi kejadian, mangsa yang merupakan penunggang motosikal terbabit dipercayai tidak perasan sebuah tong sampah roro berada di bahu jalan sebelum merempuhnya.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Pernah Tular Enam Ahli Keluarga Terkorban Kemalangan Jalan Raya, Abdur Rahman Kini Sambung Pengajian
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my