Pernikahan adalah tentang cinta, tentang persahabatan, tentang kesabaran dan tentang kehidupan. Pasangan lelaki dan wanita diciptakan antara satu sama lain untuk saling melengkapi. Kecintaan dan kasih sayang antara suami isteri bukan sekadar di bibir sebaliknya kena dari hati yang ikhlas dan jujur selain mendapat keredaan Yang Maha Esa.
Rumah besar, kereta besar, duit yang banyak bukanlah gambaran kebahagiaan. Biar rumah yang kecil, namun syukur dengan apa yang ada. Itulah asas dalam kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Demikian menurut Prof Dr Muhaya Mohamad.
Prof Dr Muhaya Mohamad dan suami kesayangan, Dato Dr Azmi Jamion yang membina mahligai cinta tatkala masing-masing masih bergelar pelajar nyata cukup istimewa.
“Pertama kali bertemu suami adalah pada tahun1976. Ketika itu ada Piala Perdana Menteri dan saya salah seorang ahli jawatankuasa bagi program berkenaan. Daripada situ kami mula berkenalan dan sempat bermain ping pong bersama. Waktu itu, kami sudah mula suka antara satu sama lain. Sebelum pulang, suami minta alamat saya untuk berhubungan. Waktu itu tiada kemudahan telefon seperti sekarang. Jadi kami berhubung melalui surat.
“Setiap minggu kami saling mengutus surat sehinggalah pada tahun 1979 saya tinggal di asrama di Pantai Baru manakala suami pula di Jalan Raja Muda. Kebetulan teman serumah saya, Dr Wan Sapiah seorang yang agak alim orangnya. Dia yang bagi cadangan supaya saya dan suami bernikah awal. Daripada berjumpa selalu baik kami nikah. Katanya berjumpa tanpa ada ikatan nanti berdosa, saya pun terfikir betul juga apa yang kawan saya cakap .
“Walaupun tidak melakukan perkara-perkara yang terlarang tetapi kami selalu berjumpa, makan bersama dan belajar bersama. Itu juga dikira berdosa. Akhirnya kami memilih untuk berkahwin kerana mahu mendapat keredhaan Allah dan mengelak maksiat. Waktu itu saya dalam tahun kedua dalam bidang perubatan.
“Tetapi saya bimbang penerimaan keluarga dengan keputusan tersebut. Waktu nak telefon ayah, saya jadi was-was. Tetapi tak sangka lepas cakap, ayah setuju dan tak tahu kenapa ayah saya boleh bersetuju. Mungkin juga ayah saya orang yang beragama dan dia tahu itu juga satu benda baik. Cuma ayah minta kami nikah gantung dan tidak duduk bersama supaya saya tidak mengandung kerana takut susah nak belajar.
Jimat kongsi makan dan minum berdua
“Istimewanya ikatan pernikahan ini bukan sekadar mengelakkan maksiat, sebaliknya selepas berkahwin saya masih mampu mengekalkan momentum dan muncul pelajar terbaik. Itulah berkatnya apabila berkahwin tanpa ada maksiat. Selepas berkahwin, kami bebas ke sana ke mari dan boleh membonceng motosikal suami untuk ke kelas, belajar di perpustakaan sampai tengah malam kerana ada suami sebagai peneman.
“Bukan itu sahaja, apabila bergelar suami isteri kami boleh berjimat. Kalau pergi makan, mesti kami kongsi lauk dan order satu teh ais sahaja. Disebabkan duit pun tak ada sangat masa itu.
“Jika saya penat dan sebagainya, suami akan bawa tengok wayang dengan menaiki motosikal. Memang hidup saya sangat gembira dan selalu saya cakap pada kawan takutnya jika Allah tarik balik nikmat yang saya peroleh ketika itu. Tetapi kawan saya cakap jika kita bersyukur insyaAllah, Allah akan kekalkan nikmat tersebut. Jujurnya, banyak kegembiraan yang saya peroleh berbanding cabaran ketika itu.
“Dulu saya kenal suami umur 17 tahun dan dia cinta pertama saya. Saya rasa cinta kami sangat asli dan jujurnya sebelum berkahwin perangai saya tidak elok. Saya garang, suka marah, suka merajuk tetapi selepas kahwin suami puji perangai saya lebih baik dari sebelum ini (sebelum berkahwin).
Ini semua sebab hukum Islam yang mana lepas kahwin kena taat pada suami. Pendek kata, sebelum kahwin saya tunjukkan perangai tidak elok, tetapi selepas kahwin saya berubah untuk menjadi lebih baik. Pada saya lebih baik kita tunjukkan perangai sebenar sebelum kahwin. Tidak ada kepura-puraan sebelum itu.
“Dalam berumah tangga, keikhlasan sangat penting dan yang keduanya, agama dan tujuan perkahwinan itu sendiri. Bukan sama ada terdesak atau sebab sayang. Kita mesti kahwin kerana Allah dan mahu mendapat redhaNya. Macam saya sendiri, saya kahwin kerana mahu mengelakkan maksiat kerana mahu menjaga Agama dan bukan sebab nafsu atau suka. Tetapi lebih kepada menjaga Agama. Itulah keberkatannya.
“Jadi untuk pasangan di luar sana, apa-apa yang kita lakukan mesti niat kerana Allah dan berkahwin kerana cinta Allah dan bukannya cinta manusia sebab manusia boleh hilang tetapi Allah sentiasa ada. Apabila kita mendapat cinta Allah maka kita akan mendapat cinta manusia. Ketaatan dan ketakwaan itu sangat penting. Justeru, kita kena tahu tujuan berkahwin.
“Jika kita kahwin untuk bahagia memang takkan bahagia kerana hanya orang yang bahagia sahaja boleh bahagiakan orang lain. Kerana itu, kita kena betulkan dalaman terlebih dahulu iaitu fikiran dan emosi mesti positif dan kena tanam dalam diri bahawa agama adalah segala-galanya,”
“ Wanita yang paling bertuah dan bahagia adalah wanita yang memiliki suami yang sangat baik, beriman. Apabila lelaki sedemikian yang datang meminang anak saya maka saya terima tanpa memberi alasan belajar sebagai halangan kerana belajar bukan segala-galanya. Yang penting jodoh yang baik, waktu yang baik dan jauh daripada maksiat.
“Benda penting adalah belajar dan selalu solat berjemaah dengan suami, minta suami doakan kita. Suami sangat tekankan solat dan agama kena jaga kerana itu yang memberi kebahagiaan ialah Allah dan jika kita menjaga agama maka Allah akan menjaga kita .Asas dalam sesebuah perkahwinan bukan melihat pada apa yang kita ada tetapi kepada sikap kita kepada apa yang kita ada.
.