
Jika dahulu sebelum kahwin, wanita itu ada masa untuk dirinya. Ada masa untuk belai dirinya.
Namun, kini sebaliknya apabila punya keluarga sibuk termasuk menguruskan hal suami dan anak-anak.
Bukan wanita itu tidak ikhlas tetapi semua dilakukan demi kebahagiaan keluarganya. Hingga dia lupa ‘menjaga’ dirinya sendiri.
Namun, dalam kecintaaan untuk bahagiakan keluarga, para ibu harus jaga diri supaya kekal sihat. Apa yang pasti, sayangilah diri anda.
IKUTI PERKONGSIAN INI.
Ibu memang selalu lupa diri.
Baju anak dia yang beli
Baju suami dia yang uruskan
Tapi baju sendiri?
Makan anak dia siapkan
Makanan suami dia hidangkan
Makanan sendiri?
Anak sakit dia uruskan
Suami demam dia temankan
Sakit sendiri?
Bukankah itu tanda lupa diri?
Bila bersama anak-anaknya :
– Dia lupa dirinya belum makan
– Dia lupa dirinya belum mandi
– Dia lupa dirinya belum rehat lagi
– Dia lupa dirinya belum tidur lagi
Bila suaminya ada disisi
– Dia lupa dirinya sedang kepenatan
– Dia lupa dirinya juga perlukan perhatian
– Dia lupa dirinya juga perlukan belaian
– Dia lupa dirinya juga perlukan layanan
Wahai ibu
Sayangilah dirimu
Kasihanilah dirimu
Sayangi diri sendiri
Bukan bermakna engkau pentingkan diri
Sayangi diri sendiri
Bukan bermakna engkau abaikan anak dan suami
Ianya umpama
Engkau sedang mengisi tangki minyak sendiri
Supaya engkau mampu menyayangi mereka semua dengan lebih hebat lagi
Sayangilah dirimu wahai ibu
Kerana jika engkau menderita
Maka menderitalah seluruh ahli keluarga
Dan jika engkau bahagia
Maka berbahagialah seluruhnya
Kerana engkau begitu berharga
Kredit: Taufiq Razif
Sentiasa Bahagia Dan Hargai Peluang Ketika Ibu Ayah Masih Hidup. Mereka Pelaburan Akhirat Kita. Deep!

Sungguh besar pengorbanan ibu ayah membesarkan kita. Dulu mereka muda dan bertenaga menguruskan anak-anak. Kini mereka tua dimamah usia. Anak-anak pula dahulu kecil, kini membesar, muda dan bertenaga. Malah sudah berkeluarga kini. Emak ayah kini sudah mempunyai cucu pula! Mungkin ada yang sudah bercicit.
Namun, kita usah sekali lupa jaga dan pengorbanan mereka. Selagi hayat di kandung badan, hargai peluang yang ada. Jangan sia-siakan waktu berlalu begitu sahaja. Sentiasa membahagiakan. Ia juga pelaburan akhirat kita.
Ikuti perkongsian manfaat oleh Ustaz Khairul Anuar Basri moga kita muhasabah diri.
Pagi ni, tiba-tiba saya teringat pada mak dan ayah saya.
Kata orang, nak belajar erti sayang, belajarlah dengan mak kita. Nak belajar erti pengorbanan, belajarlah dengan ayah kita.
2 insan ini tiada galang gantinya.
JASA SEORANG IBU
Seorang mengandungkan kita selama lebih 9 bulan. Sabar sungguh ke hulu ke hilir membawa kita dalam perutnya. Walau sakit, walau berat.
Bila melahirkan kita, sakitnya antara hidup dan mati. Putuslah ratusan urat demi nak menyelamatkan satu nyawa iaitu kita.
Selepas itu disusukan kita, dijaganya kita, ditatang bagai minyak yang penuh, diberikan perhatian dan kasih sayang sehingga kita dewasa. Taknak dilepaskan kita dari pemerhatiannya, seolah-olah kita ini anak kecilnya sampai bila-bila.
JASA SEORANG AYAH
Yang seorang lagi, nama kita dibinkan atau dibintikan kepada namanya. Sampai mati nama kita akan bergandingan dengan namanya.
Penat lelahnya, jerih payahnya, tetap kekal menjadi rahsianya. Taknak kita tahu dia tidak berduit. Sedaya mungkin akan dipenuhi permintaan kita. Walaupun untuknya terpaksa ditunda.
Di hadapan kita, tegasnya seperti singa. Di belakang kita, sentiasa merindu bila kita tiada. Bertanya khabar melalui ibu kita. Taknak dia dilihat lemah, walaupun dalam hatinya ada setaman bunga.
Itulah ibu dan ayah kita, sumber doa dan kekuatan utama kita. Selagi hayat kita atau mereka dikandung badan.
5 CARA BERBAKTI KEPADA IBU BAPA
Pagi ini saya nak berkongsi 5 cara terbaik bagaimana kita boleh berbakti kepada kedua-dua orang tua kita di dunia dan di akhirat :
1.Pastikan hati mereka sentiasa senang.
– Memberikan kebahagiaan kepada orang lain itu adalah sedekah. Lebih-lebih lagilah jika kegembiraan itu untuk kedua ibu bapa kita.
– Pernah ada seorang sahabat yang meninggalkan ibu bapanya dalam keadaan sedih untuk pergi berjihad, Nabi SAW menyuruhnya balik semula ke rumah.
Sabda Nabi SAW; Kembali dan buatlah keduanya tertawa seperti mana engkau telah membuat keduanya menangis [Hadith riwayat Abu Daud dan Nasaie].
2.Bercakap dengan perkataan paling lembut.
– Apabila bercakap dengan mereka, gunakan perkataan yang paling baik dan mulia.
– Jangan sesekali mencemuh, mengherdik mahu pun mengangkat suara sehingga mereka tersentak.
– Senyum dan bahagiakan mereka dengan percakaoan dan tingkah laku kita.
3.Merendah diri apabila berhadapan dengan mereka.
– Jangan sombong dengan mereka walau dalam keadaan apa sekalipun.
– Tidak layak untuk kita menyalahkan atau menyakitkan hati mereka walau pun jelas mereka bersalah dalam sesetengah hal dan kita berada di pihak yang benar.
– Tanpa mereka, siapalah kita. Tak terbalas jasa dan pengorbanan mereka melahirkan dan membesarkan kita.
– Sedaya mungkin, penuhilah hajat dan permintaan mereka ketika mereka masih hidup.
4.Bersedekah kepada mereka.
-Ramai yang tidak sedar, sedekah kepada ibu bapa itulah yang paling utama.
Firman Allah SWT; Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka infakkan. Jawablah, “Harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu bapamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan. Dan apa saja kebajikan yang kamu lakukan sesungguhnya Allah itu maha mengetahui [Surah Al-Baqarah, ayat 215].
– Nisbah ketaatan pula ialah 3 kali ganda kepada ibu berbanding ayah.
Ini jelas melalui pesanan Rasulullah SAW; Hendaklah kamu berbuat baik kepada ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibum, kemudian barulah bapamu, kemudian orang yang terdekat dan yang terdekat.
5.Sentiasa berdoa untuk mereka.
– Doa yang paling ringkas sebagaimana yang disebut dalam Al-Quran ialah :
رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
“Ya Allah, kasihanilah kedua ibu bapaku, sebagaimana mereka mengasihiku sewaktu aku masih kecil” [Surah Al-Isra, ayat 24].
Begitulah, 5 perkara yang boleh kita buat sebagai tanda dan bukti kebaktian kita terhadap ibu bapa kita.
IBU AYAH YANG MENINGGAL DUNIA
Selain itu, apabila mereka telah meninggal dunia kita hendaklah :
* Mendoakan kebaikan untuk mereka.
* Menyembahyangkan mereka (solat jenazah).
* Selalu meminta keampunan untuk mereka.
* Menyelesaikan hutang-hutang mereka.
*Melaksanakan wasiat mereka.
*Menyambungkan tali silaturrahmi dengan kawan-kawan rapat mereka.
JANGAN SIA-SIAKAN PELUANG KETIKA IBU AYAH HIDUP
Cukuplah dulu buat setakat ini ye….
Semoga kita mendapat manfaat dari perkongsian saya pagi ini.
Taglah FB anak-anak kita, adik beradik kita dan kenalan kita. Agar semuanya tahu dan mendapat manfaat.
Kerana kita semua punya ayah dan ibu. Itulah satu-satunya ibu dan ayah kita di dunia sehingga akhirat.
Jangan disia-siakan peluang yang ada ketika mereka hidup. Merekalah pelaburan akhirat kita, asbab untuk kita masuk ke dalam syurga.
– kita buat baik dengan ibu bapa kita, Allah hantar anak kita untuk buat baik pada kita –
#SHARE biar lebih ramai yang sedar…
Sumber: Ustaz Khairul Anuar Basri
Bila Anak Masuk Asrama, Ibu Sebak Berjauhan. Warganet Kongsi Kisah Yang Sama.

Ibu mana yang tak sedih bila terpaksa berjauhan dengan anak tersayang. Jika sebelum ini menguruskan anak sejak darjah satu hingga enam.
Kini terpaksa berpisah apabila anak melangkah ke persekolahan menengah.
Begitulah yang dilalui seorang ibu yang meruntun jiwa apabila hari pertama persekolahan anaknya.
Perkongsian yang dipaparkan oleh suami wanita berkenanan, menarik perhatian ramai yang memahami perasaan seorang ibu yang terpaksa berpisah dengan anak.
____________
Air mata mama Bashir..
Bashir masuk asrama tak jauh dari rumah tapi mama punya sedih macam pergi luar negara.
Bashir kat rumah selalu tolong mama abah dan adik-adik. Lepas ni adik-adik Bashir kena ganti buat kerja Bashir.
Abah pun sedih sebab dah tak ada orang ikut pergi solat kat surau setiap hari naik motor.
Tu lah dulu selalu dengar orang kata anak-anak hidup dengan dengan kita 12 tahun je. Sekolah menengah masuk asrama lepas tu masuk universiti, kerja, kawin. Jarang boleh duduk rumah bersama lama-lama.
12 tahun sangat lah cepat. Rasa macam baru je tahun lepas hantar dia masuk tadika. Sama-samalah kita bina memori-memori indah dengan anak-anak yang masih kecil, takut nanti bila dah besar baru sedar cepatnya waktu berlalu. Nak undur dah tak boleh.
Warganet juga turut berkongsi kisah yang sama apabila berpisah dengan anak.
”Akak seminggu menangis.. ha ha.. mak2 kan… abang aiman ke mesir last month… allah.. tu dah 19 tahun…”
“Adoi…akak pun menitik air mata tgk. Terbayang anak sulung nanti masuk asrama juga 😣”
”Ummi saya pun sewaktu sy msuk asrama Form 4, menangis juga… Besar sungguh kasih Ibu kpd kita… ”
Sumber: Mohd Yazid Ismail
Pernah Tular Sedekah RM14, Dapat RM14,290 Pergi Umrah. Kini Wanita Ini Kongsi Pengalaman Di Tanah Suci. Deep!

Segala-galanya akan menjadi pengalaman yang segar dalam ingatan apabila berkunjung ke Tanah Suci sama ada bagi yang menunaikan umrah atau mengerjakan ibadat haji. Pengalaman yang amat manis ini, hanya mereka yang pernah melalui pengalaman ini akan lebih mengetahuinya.
Begitulah yang dilalui oleh wanita ini, sebelum ini pernah tular tidak mempunyai duit untuk umrah. Namun setelah sedekahnya bernilai RM14 telah dibalas belasan ribu yang telah membawanya menjejak kaki ke Tanah Suci. Bertuahnya!
Ikuti kisahnya dulu, yang pernah menjadi tular ekoran sedekah hanya RM14 yang dibalas dengan belasan ribuan ringgit.
Rezeki Melimpah Ruah, Dapat Pergi Umrah. Bila Wanita Ini Bersedekah RM14 Tapi Dibalas RM14,290!
Terkini, melalui perkongsian dilaman facebooknya beliau telah berkongsi pengalaman umrah dengan balasan duit sedekah itu. Ikuti catatan pengalamannya.
12 Jun 2019.
Saya kini kembali ke Tanah Air dengan selamat dan jayanya. Mengutip ibrah dan hikmah di setiap langkah perjalanan berpuluh ribu kilometer jauhnya!
Seakan-akan tidak percaya, saya sudahpun selesai mengerjakan umrah di Tanah Suci. Bermusafir sebulan lebih lamanya. Menyambut dan meraikan Ramadhan yang penuh berkah dan Syawal yang mulia di bumi para Anbiya’.
PENGALAMAN BERHARGA
Subhanallah!
Sebuah pengembaraan yang benar-benar berharga!
“Ya Allah, terima kasih kerana sudi mengundang saya sebagai tetamu teristimewaMu!”
Terkenang kembali saat hari pertama menjejakkan kaki di Madinah Al-Munawwarah. Saya tercari-cari dimana letaknya masjid istimewa berkubah hijau. Kehadiran saya disambut dengan bacaan surah Ar-Rahman oleh imam Masjid Nabawi ketika solat maghrib berjemaah.
‘Maka, nikmat apa lagi yang kau dustakan?’
Sebak dan syahdu mula dirasai disegenap pelusuk hati.
Sebenarnya, jemaah Harmony tiba di Madinah lebih awal. Sebelum subuh dah selamat sampai. Tetapi, disebabkan saya masih lagi kurang arif selok-belok jalan, maka saya hanya solat di dalam bilik hotel. Nak acah-acah terlebih pandai pun, nanti tersesat tak tahu jalan pulang. Menangis pula di tengah jalan. Tak pasal-pasal kena sekeh kepala dengan mutawwif kang!
Madinah dikenali sebagai Bandar Bercahaya. Istimewanya Madinah, disinilah bersemadinya jasad seorang insan teragung. Padanya ada cinta dan rindu. Padanya ada syafaat sebagai penyelamat umat akhir zaman. Dialah Nabi kita, Muhammad SAW.
“Assalamualaika Ya Rasulullah.”
“Ya Rasul, aku umatmu datang kepadamu. Dengan cinta dan rindu.”
Saya ke sini sebagai jemaah biasa. Ya, jemaah biasa seperti korang. Nak dijadikan cerita, saya diizinkan Allah bertemu dengan seorang jemaah warga emas.
Jemaah ini, jemaah Harmony. Entah dimana silap dia berkata-kata, secara tiba-tiba kakinya sakit dan tidak mampu berjalan. Disebabkan saya punya pengalaman menyantuni warga emas, maka, secara tidak langsung, saya cuba praktikkan pengalaman itu untuk menyantuninya pula disini.
Jemaah ini namanya Mak Ity. Usianya sudah mencecah 70-an. Buat Mak Ity, anggaplah ini semua sebagai CO..BA..AN..
Sebagai jemaah yang masih muda berbanding jemaah lain, saya relakan diri berkhidmat sehabis baik untuknya. Tanpa sebarang bayaran apatah lagi mengharapkan balasan.
Bertitik-tolak dari sini, perlahan-lahan Allah hadirkan ilham demi ilham untuk terus berkhidmat bakti di dua Tanah Suci barakah ini.
KEMBARA UMRAH
Maka, disinilah bermulanya kembara umrah seorang anak muda.
Kawan-kawan,
Pergi umrah bukanlah bermakna kita cuma perlu berulang-alik ke Masjid Nabawi dan Masjidil Haram untuk solat semata-mata. Bukan juga hanya sekadar duduk berdoa memandang kaabah sambil menitiskan air mata. Tidak. Tidak sama sekali!
Terdetik saya di dalam hati..
“Kebiasaannya, orang yang datang ke Mekah dan Madinah, mereka akan ‘shopping’ hadiah untuk dibawa pulang ke Malaysia. Apa kata, kali ini saya yang hadiahkan sesuatu buat kedua-dua Tanah Suci sebelum kaki melangkah pergi?”
Ya!
Hadiahkan sesuatu yang berharga dan istimewa!
Nak buat sesuatu, pasti memerlukan kos dan tenaga. Dari segi tenaga, barangkali saya masih mampu. Tapi, nak harapkan ‘kos’ saya seorang, manalah saya mampu. Duit riyal pun cuma ada beberapa keping aje.
Pun begitu, saya percaya, niat yang baik pasti Allah mudahkan.
Berurusan dengan hati, Insyaallah bantuan Allah itu pasti!
Nah, saya kongsikan beberapa cara yang korang boleh lakukan sebagai tanda ‘hadiah’ buat Mekah dan Madinah sepanjang keberadaan korang disini!
Jadikan diri korang betul-betul bermanfaat di Tanah Suci!
Cara-caranya tak susah pun. Tak percaya, cuba korang baca ni:
1. Jadilah PA tak bertauliah kepada Mutawwif yang kachak!
Untuk jemaah Harmony, kami ada suatu group whatsapp khas buat para jemaah. Disinilah tempat kami berkongsi segala permasalahan atau info-info terkini. Sebagai jemaah muda, kau bantulah war-warkan info buat jemaah lain. Andai ada jemaah yang sakit, kau ringankanlah kaki untuk menziarahi jemaah di bilik. Bantulah sekadar yang mampu sebelum mutawwif datang menghulurkan bantuan lanjut.
Rindu barisan mutawwif kachak saya Ustaz Hussaini Jamaludin, Ustaz Saufi Hakim dan
Ustaz Hisham Elias.
2. Bantu khidmat untuk jemaah warga emas.
Kejar pahala ibadah sendiri itu bagus. Tapi, lebih bagus kau kejar rahmat Allah. Andai ada jemaah yang perlu dipimpin atau dibantu untuk ke masjid, kau bawalah mereka bersama-sama biarpun akhirnya kau cuma mampu solat di perkarangan masjid. Berdua lebih baik. Apatah lagi berdua bersama membantu orang yang lemah ataupun sakit. Rahmat Allah ini luas. Sekali kau dapat rahmat Allah, kau dapat segala-galanya. Kau jangan takut!
3. Aktifkan Facebook.
Kau aktifkan Facebook. Minta anak-anak jemaah warga emas untuk add/follow FB kau. Selalulah menulis sambil berkongsi kisah kau beserta para jemaah di sana. Sekurang-kurangnya, terubat rindu hati anak-anak mereka di Malaysia.
4. Jadilah jurukamera!
Rata-rata jemaah umrah ini, mereka terdiri daripada golongan berusia. Tak pandai nak tangkap gambar. Tak pandai nak berselfie bagai. Kau jadilah jurukamera mereka. Ambil gambar banyak-banyak sebagai kenangan. Hantarlah kepada anak-anak mereka. Percayalah, mereka pasti akan menangis syukur sambil mengucapkan jutaan terima kasih!
5. Hadiahkan badal umrah buat mereka yang tersayang!
Jadilah anak yang baik, cucu yang baik, ahli keluarga yang baik, sahabat yang baik dan hamba Allah yang baik. Apa kata kau hadiahkan badal umrah buat mereka yang sakit mahupun yang telah pergi buat selama-lamanya. Barangkali, mereka terdiri daripada ahli keluarga, sahabat sekolah, jiran-jiran mahupun ahli keluarga rakan-rakan fb kau yang telahpun meninggal dunia. Boleh jadi, sepanjang hayat mereka, mereka tidak berkesempatan menunaikan haji/umrah. Hadiahkan pada mereka. Rasai betapa nikmatnya erti pengorbanan. Kau cubalah!
6. Ku kirim doa, kau baca di sana.
Kau jangan salah faham. Antara seorang hamba dengan Tuhan, tidak pernah ada perantaraan. Selalu orang ke Tanah Suci, akan ada kiriman doa. Kiriman doa ini, anggaplah sebagai doa seorang sahabat yang turut mendoakan sahabatnya di Tanah Suci penuh barakah. Awak berdoa di Malaysia, saya berdoa di hadapan Kaabah. Moga doa yang baik itu Allah makbulkan.
Bab-bab doa ni, pengasas Harmony sendiri, Tuan Haji Nor Hashim paling suka. Sampai dua salinan kertas tebal dia suruh saya habiskan baca. Huhuhu. Kau followlah dia. Dia artis scottish terkenal! (Dalam hati: Emoji ketawa dalam tangisan ???)
7. Buat FB Live!
Fb live ini, tujuannya bukanlah untuk syok sendiri. Kau kongsilah ilmu yang bermanfaat. Moga yang menontonnya serba sedikit terjentik hatinya untuk ke Tanah Suci. Moga sekecil-kecil usaha dakwah ini dipandang Allah Yang Maha Besar.
8. Buka tabung kasih sayang.
Biarpun jasad kau cuma seorang di sana, tapi kau bawalah sekali ‘kasih sayang’ rakyat Malaysia. Buka dana sekecil-kecil RM1. Macammana nak buka dana? Tulis aje di facebook. War-warkan tentang niat dan hasrat kau nak bersedekah di sana. Insyaallah, nanti pasti Allah akan hadirkan tangan-tangan baik yang sudi seiring dan sejalan selaras dengan niat kau. Percayalah!
Bila kau dah ada dana, kau pecahkan kepada beberapa bahagian. Antaranya:
– Beli coklat dan raikan kanak-kanak di perkarangan masjid.
– Beli kerusi lipat dan kerusi roda untuk kegunaan jemaah. Sebelum pulang ke Malaysia, kau wakaflah untuk kegunaan hotel di tempat kau menginap ataupun di masjid.
– Wakaf Al-Quran
– Beli sejadah serbaguna untuk kegunaan jemaah yang ingin beriktikaf di masjid. Selesai guna, wakafkan di masjid.
– Sedekahkan serendah-rendah sehari 1 riyal buat tukang cuci masjid.
– Sedekahkan makanan dan minuman untuk iftar, qiam dan sahur terutamanya buat jemaah gelandangan.
– Sedekahkan air zamzam dari bilik ke bilik. Air zamzam kan percuma. Bekasnya aje kau perlu beli untuk isi.
– Raikan jemaah dengan sambutan lebaran. Hulurkan mereka sedikit duit raya sebagai tanda ingatan. Yang baki tu, kau belilah serba sedikit makanan yang kena dengan selera tekak Malaysia ketika Syawal menjelang.
Kawan-kawan,
Kebanyakan manusia mempunyai mata. Tapi, tidak semestinya kita melihat dari sisi yang sama. Perbezaan pendapat itu mesti ada. Kalau tidak, bosanlah dunia.
Ini umrah cara saya. Umrah seorang anak muda!
Jika kau rasa ianya baik, kau boleh cuba!
Moga perkongsian ini menjadi inspirasi bersama untuk melakukan kebaikkan setiap masa.