Bakat seorang pemimpin yang ada dalam diri wanita bernama Zuraida Kamaruddin ini membuatkan beliau mudah merentasi laluan berliku dalam dunia politik apabila memenangi Pilihan Raya pada tahun 2008. Sekali gus dilantik menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan Ampang. Terbaru, beliau dilantik menggalas tugas sebagai orang nombor satu di Kementerian Perumahan & kerajaan Tempatan.
Sebelum terjun ke dunia politik, YB Zuraida memulakan perkhidmatan dalam sektor swasta pada tahun 1980 di Frank Small & Associates, Australia. Beliau pada ketika itu menjawat jawatan Pengurus Kajian Kualitatif sebelum ke Chuo Senko Advertising (Japan) sebagai Pengurus Penyelidikan Pemasaran dan Perancangan Akaun.
Pada 1998, beliau menjadi perunding latihan dan motivasi memberi khidmat nasihat kapada organisasi seperti Petronas, Majlis Majlis Perbandaran, Oriflame, Nutrimetics, Shinetsu, Texas dan juga syarikat syarikat penyelidikan pemasaran, pengiklanan dan barangan.
Selain bergelar Ahli Parlimen, YB Zuraida juga turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz Az-Zahra, Penasihat ALQAS Education & Charity Home, Penasihat GEMMA Humanitarian Relief dan Persatuan Pelajar Malaysia di Yaman.
Beliau juga adalah pengasas dan pengerusi WIRDA yang mempunyai anggota di dalam dan luar negara. WIRDA menjadi Pusat Khidmat Masyarakat yang mengendalikan kaunseling dan perlindungan kepada golongan yang memerlukan termasuk ibu tunggal, musafir, mualaf dan remaja.
“Kalau diikutkan pembabitan saya dalam dunia politik adalah secara kebetulan. Dan saya sendiri secara peribadi jenis yang akan buat yang terbaik di mana saya berada walaupun itu bukan pilihan saya. Dan itulah yang saya lakukan apabila berada dalam bidang politik yang sebelum ini tidak pernah terbayang pun akan aktif di dalamnya.
“Malah, waktu saya berada dalam bidang korporat, saya tidak minat dalam politik. Bahkan saya sendiri tidak pernah pergi mengundi. Waktu itu, saya beranggapan tidak ada sebarang perbezaan dalam hidup tentang siapa yang jadi menteri atau parti mana yang memerintah. Saya masih kena kerja dan laksanakan tanggung jawab ikut keupayaan sendiri.
“Sebenarnya bidang politik dan korporat tidak jauh berbeza kerana masih sama baik dari bab pengurusan, disiplin dan kepimpinan. Barangan berbeza iaitu politik tetapi masih sama dalam soal berhubung dengan manusia. Cuma mungkin mereka yang menyertai bidang politik tidak biasa dengan pengurusan cara korporat yang lebih sistematik dan disiplin.
“Disiplin adalah tunjang dalam setiap pekerjaan dan saya sudah biasa dengan hal tersebut. Sebab itu, tidak menjadi masalah untuk saya sesuaikan diri baik dengan orang bawahan seperti di kampung mahupun golongan atasan di peringkat menteri.
“Saya boleh anggap diri masih baru dalam bidang politik dan saya perlukan kekuatan dan kedudukan dalam mempengaruhi untuk membuat keputusan. Kalau dilihat kebanyakan jawatan tinggi dimonopoli lelaki. Sukar untuk mendapatkan suara dalam membuat keputusan.
“Alhamdulillah saya jenis yang ‘cepat tangkap’ dan daripada situ saya belajar serba sedikit tentang politik. Saya perlu menapak dalam satu tempat untuk menempatkan diri. Daripada situ saya membina kekuatan.
“Pada tahun 2004, ada persempadanan semula di Setiawangsa dan di situ peluang saya mengembangkan pengaruh dan memartabatkan suara serta memperkasakan wanita. Kebetulan juga waktu itu ada satu klausa yang mengatakan bahawa parti harus mengiktiraf pembabitan wanita.
“Kepentingan wanita dalam bidang politik terutama era masa kini yang mana penglibatan wanita membantu menaikkan produktiviti dan memartabatkan sesebuah syarikat kerana sifat wanita itu sendiri yang rajin, tekun, amanah dan membuat kerja. Bahkan permintaan untuk wanita menyertai politik pada masa kini lebih terbuka.
“Cuma wanita kena tahu struktur dalam parti dan tidak boleh masuk secara terus menggunakan ‘payung terjun’. Kena ikut laluan akar umbi. Kena tonjolkan kebolehan melakukan kerja terlebih dahulu, bila orang tengok dan yakin baru boleh meniti tangga jawatan satu persatu. Kena ada strategi baru boleh menampakkan keupayaan kita.
“Bukan hanya dalam bidang politik, bahkan kerjaya lain juga sudah ramai disertai wanita. Cuma saya berharap majikan tidak mendiskriminasikan jantina. Kerana keupayaan wanita bukan setakat dalam bidang pekerjaan.
“Wanita yang berada dalam dunia korporat atau arkitek misalnya, dalam masa yang sama mereka masih melakukan tugas sebagai isteri dan ibu di rumah, Sepatutnya mereka ini dibayar gaji yang lebih tinggi. Saya mahu hapuskan jurang stereotaip supaya wanita dan lelaki dipandang sama atas kebolehan dan keupayaan diri.
Suka naik bas
Mengulas mengenai penerimaan keluarga, akui YB Zuraida sangat bersyukur kerana keluarga sangat memahami memandangkan sudah tahu cara kerja dan kebolehannya.
“Sejak dahulu saya amalkan masa yang berkualiti. Waktu bekerja, saya akan beri tumpuan sepenuhnya pada kerja. Begitu juga dalam soal keluarga, itu yang penting. Tidak ada masa untuk bersenang lenang. Tidak seperti wanita lain ke spa, saya tidak suka buang masa untuk berbuat demikian.
Dulu saya suka membaca tetapi kini sudah malas, sebaliknya saya tengok televisyen. ‘Healing time’ pada saya lebih baik sendirian tetapi kerja saya begini tidak memungkinkan saya berbuat demikian. Saya sudah biasa berdikari tetapi saya kena sesuaikan diri. Kerana itu saya suka naik bas atau naik flight untuk ke mana-mana. Waktu itu saya boleh fikirkan macam-macam perkara.
“Sejak dahulu lagi, saya jenis yang suka berdikari, selalu berinteraksi dengan kaum lelaki dan kerja-kerja saya banyak membabitkan kaum lelaki. Waktu itu, di dunia korporat, tidak timbul soal gender kerana pada saya siapa yang terbaik dia yang menjadi pemimpin. Tetapi masuk politik itu takkan terjadi pada wanita biasa.
“Soal berinteraksi dengan lelaki dalam dunia politik tidak menjadi masalah memandangkan latar belakang saya sebelum ini. Pengalaman saya banyak membantu dan tidak malu juga untuk saya sebut bahawa tidak semua lelaki itu pandai. Jadi, mereka tahu kedudukan masing-masing dan itu memudahkan kerja saya,”seloroh YB Zuraida sambil mengakui masuk ke bidang politik sendirian dan membina kekuatan politik dengan kebolehan sendiri.
Institut Wanita Berdaya
Sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Wanita Keadilan, YB Zuraida juga aktif dalam memperjuangkan polisi untuk meningkatkan taraf hidup. Untuk peringkat Negeri Selangor tercetusnya idea untuk menubuhkan Institut Wanita Berdaya.
“Ia satu badan pemikir untuk kaji dan hasilkan dasar untuk kemajuan wanita masyarakat dan keluarga di Selangor. Kertas kerja pertama adalah dengan penghasilan satu buku Dasar Wanita Selangor. Itu menjadi panduan apakah program yang boleh dilaksanakan kelak. Kami pastikan semua golongan wanita tidak terpinggir.
Sumber: Majalah Keluarga Mac-Apr 2018