Wanita bekas guru KAFA diselamatkan 2 remaja daripada terjun Sungai Kelantan. Tindakan pantas dua remaja berjaya menyelamatkan bekas guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) daripada terjatuh Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di Tumpat, Kelantan.
Wanita itu dipercayai mengalami tekanan. Ibu tunggal berusia 43 tahun dilihat cuba memanjat penghadang jalan jambatan pada pukul 11 pagi tadi.
Seorang saksi dikenali sebagai Hafiz berkata, dia dan rakannya terpaksa bergelut dengan wanita itu selain meminta pertolongan orang ramai.
Katanya, dalam keadaan cemas, seorang anggota polis yang kebetulan melalui lokasi berhenti dan membantu mangsa.
“Anggota polis turut memujuk wanita itu dan memaklumkan akibat yang akan ditanggung keluarga sekiranya nekad terjun dalam Sungai Kelantan.
“Wanita itu meronta-ronta minta dilepaskan. Tidak lama kemudian, dia melupakan hasratnya untuk terjun dari jambatan tersebut,” katanya.
Hafiz memberitahu, wanita itu dipercayai berasal dari Kampung Kok Pasir, Kota Bharu dan menetap di Kampung Padang Tembesu selepas berpisah dengan suaminya setahun lalu.
Menurutnya, wanita itu memaklumkan dia mengalami tekanan perasaan kerana tiada pekerjaan tetap untuk menyara anaknya.
“Wanita itu turut berpesan kepada anaknya mengenai wang simpanan dan kelengkapan penting menerusi WhatsApp,” katanya yang memberitahu mangsa dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu untuk tindakan lanjut.
Sumber: Kosmo online
Baca artikel lain juga: Tragedi Pulang Sekolah, Tiga Pelajar Maut Selepas MPV Terjunam Dalam Sungai
Panik Sambil Gelak Sampan DSV Naik Karam Dalam Laut, Kacak Terjun Selamatkan Raih Pujian Ramai!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my