Wanita 36 tahun meninggal dunia, doktor pakar tinggalkan pesakit lepas bersalin. Dua orang doktor dengan gabungan kepakaran lebih 60 tahun dalam bidang perbidanan termasuk pernah mengendalikan 8,500 kes bersalin, didapati bersalah atas kesalahan kecuaian perubatan selepas meninggalkan pesakit yang mengalami pendarahan kritikal dalam jagaan jururawat tidak berdaftar, hanya untuk keluar minum.
Wanita 36 Tahun Meninggal Dunia
Mahkamah Tinggi Klang memutuskan Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi bersama jururawat terdiri daripada Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa serta Nessy Yasah, perlu membayar ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita dalam kes kecuaian perubatan menyebabkan kematian mangsa ketika menerima rawatan.
Punita meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr Shanmugam akibat pendarahan selepas bersalin (PPH) pada 9 Januari 2019.
Ketika prosiding, mahkamah diberitahu bahawa Punita yang melahirkan anak keduanya, mula mengalami pendarahan yang banyak selepas plasentanya dikeluarkan secara manual.
Walaupun memberi jaminan pesakit yang berusia 36 tahun itu stabil, Dr Ravi meninggalkan klinik dan meletakkan mendiang di bawah jagaan tiga jururawat tidak berdaftar yang ditugaskan memantau keadaan pesakit, walaupun tidak mempunyai kelayakan dan pendaftaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Doktor Pakar Tinggalkan Pesakit Lepas Bersalin
Dr Shanmugam juga dilihat keluar dari bilik bersalin dan meninggalkan mendiang dalam jagaan dan pengawasan tiga jururawat yang sama.
Apabila ibu Punitha memasuki bilik bersalin, dia mendapati anak perempuannya mengalami pendarahan yang banyak, manakala jururawat cuba menghentikan pendarahan itu menggunakan kapas.
Kedua-dua doktor terbabit tidak hadir pada saat kritikal ini. Dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.
Doktor HTAR menyifatkan keadaan Punitha sudah kritikal ketika ketibaan, berikutan kehilangan darah yang ketara dan mengalami pembekuan intravaskular (DIVC).
Ads
Walaupun pembedahan kecemasan dan pemindahan darah dilakukan, namun Punita meninggal dunia dan meninggalkan dua anak kecil.
Hakim, Norliza Othman, dalam keputusannya, berkata Klinik Shan kekurangan bekalan perubatan asas, termasuk ubat untuk mengawal pendarahan rahim dan peralatan untuk menguruskan komplikasi selepas bersalin.
Norliza juga menekankan kegagalan doktor bertindak segera dan menangguhkan pemindahan pesakit ke hospital yang dilengkapi peralatan untuk mengendalikan kecemasan sedemikian.
“Walaupun mereka memiliki pengalaman luas dalam bidang perbidanan, kedua-dua doktor gagal menjangka komplikasi yang biasa dikaitkan dengan bersalin, seperti eklampsia, masalah berkaitan plasenta yang membawa kepada PPH.
“Kedua-dua mereka keluar dari bilik bersalin tanpa memastikan mendiang bebas daripada komplikasi. Jururawat yang tidak terbukti mempunyai kelayakan yang sepatutnya, dibiarkan menguruskan pesakit. Kecuaian kolektif defendan secara langsung menyumbang kepada kecederaan parah terhadap mangsa, yang membawa kepada kematiannya,” katanya dalam alasan penghakimannya, yang dimuat naik di laman web Jabatan Kehakiman hari ini.
Hakim juga mengecam doktor kerana ‘tidak menghiraukan’ keadaan si mati.
“Dalam kes ini, seorang ibu muda meninggal dunia selepas bertungkus-lumus melahirkan anaknya. Selepas bersalin, dia terpaksa menahan kesakitan yang tidak terbayang sebelum dihantar ke HTAR untuk rawatan lanjut.
“Ketika dihantar ke HTAR, ibu muda itu sudah berada dalam keadaan kritikal akibat kehilangan darah yang banyak, sehingga pihak hospital ‘mengisytiharkan kematian’ ibu malang ini.
Ads
“Peristiwa tragis ini boleh dielakkan sekiranya kedua-dua doktor mengambil tindakan pantas dengan menghantarnya ke HTAR dan memantau keadaannya dengan teliti, dan tidak meninggalkannya dalam jagaan jururawat, sementara Dr Ravi keluar minum.
“Tahap pengabaian ini tidak boleh dimaafkan dan secara langsung menyumbang kepada kematian ibu yang sihat,” tambahnya.
Susulan itu, mahkamah menganugerahkan keluarga mangsa RM5,993,936 sebagai ganti rugi, merangkumi RM500,000 untuk kesakitan dan penderitaan si mati; RM1 juta untuk setiap seorang bagi dua anak si mati; RM300,000 setiap seorang untuk ibu bapanya; RM1.5 juta sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Ravi; RM700,000 sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Shanmugam dan kliniknya; dan RM100,000 sebagai ganti rugi punitif.
Kelantan kini dilanda banjir yang semakin serius. Banyak kawasan rendah mula dinaiki air, menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Jalan-jalan utama turut terputus hubungan, menyukarkan bantuan sampai ke kawasan terjejas. Suasana pilu menyelubungi mangsa banjir, terutama mereka yang kehilangan tempat tinggal dan barangan keperluan harian.
Hujan tanpa henti dan paras air sungai yang terus meningkat menjadi cabaran utama. Pihak berkuasa sedang giat membantu, namun keperluan bantuan seperti makanan, pakaian, dan tempat perlindungan masih sangat mendesak. Doakan keselamatan dan kesejahteraan buat semua mangsa yang terjejas.
Amaran Hujan Berterusan Peringkat Merah (Bahaya) Di Seluruh Kelantan Sehingga 29 November 2024 Ini – MetMalaysia
Dalam pada itu, menurut sumber Info Banjir Negeri Kelantan Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai melepasi paras amaran dengan merekodkan bacaan 23.25 meter setakat pukul 10 pagi tadi (27/11/2024)
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kuala KraiJabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kuala KraiJabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kuala Krai
“Situasi cuaca di Kelantan semakin membimbangkan” – Datuk Dr Izani Husin
Datuk Dr Izani Husin
Sementara itu, memetik hantaran Kelantan Daily Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata situasi cuaca di Kelantan semakin membimbangkan.
Katanya, jika sebelum ini Gua Musang berada dalam kategori buruk, kini kawasan tersebut telah bertukar kepada bahaya. Ini menjadikan seluruh negeri Kelantan berada dalam zon merah dengan status amaran bahaya.
“Keadaan hujan sangat lebat yang berterusan ini berisiko tinggi membawa banjir besar di banyak kawasan. Kita semua diminta untuk terus berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa, dan mengambil langkah keselamatan segera.”
“Utamakan keselamatan keluarga dan komuniti. Semoga kita semua dilindungi dan segala urusan dipermudahkan,” ujarnya.
Majalah keluarga berharap, jika anda berdekatan dengan kawasan ini, tolonglah sebarkan maklumat tentang pusat bantuan atau hulurkan pertolongan seikhlas mungkin.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Self-esteem atau keyakinan diri adalah komponen penting dalam perkembangan psikologi kanak-kanak dan remaja.
Menurut Dr. Rozanizam Zakaria, seorang pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja, low self-esteem boleh membawa kepada pelbagai masalah mental seperti kemurungan, kebimbangan (anxiety), tingkah laku mencederakan diri, masalah perhubungan, dan penyalahgunaan dadah.
Sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan utama dalam membentuk self-esteem anak-anak sejak kecil lagi. Berikut adalah 5 perkara yang Dr. Rozanizam cadangkan untuk membantu membina self-esteem anak-anak secara sihat dan berkesan.
5 IBU BAPA MESTI BUAT UNTUK BANTU SELF-ESTEEM ANAK
Self-esteem adalah elemen yang sangat penting dalam psikologi kanak-kanak dan remaja. Low self-esteem telah terbukti dalam kajian antara yang boleh menyumbang kepada masalah mental seperti kemurungan, anxiety, self-harming behaviour masalah perhubungan dan penyalahgunaan dadah.
5 perkara yang ibu bapa boleh buat untuk bina self-esteem anak-anak.
1. PUJI DAN BERI GALAKAN Yang ini orang selalu buat, tetapi buat dengan silap. JANGAN puji anak kerana kepandaiannya. Tetapi puji usahanya. Gunakan ayat “Adik memang bagus SEBAB adik cuba jawab dengan baik” berbanding “Adik memang pandai”. Anak-anak perlu diajar bahawa dia layak dipuji kerana USAHA bukan KEISTIMEWAAN. Ini yang didapati daripada kajian psikologi kanak-kanak. Kalau anak-anak membesar dalam keadaan dipuji kerana ‘pandainya anak papa’, ‘anak mama memang bijak’.. mereka akan terperangkap dengan pujian ini dan takut berusaha sesuatu yang lebih sukar – kerana takut tidak lagi menerima pujian yang selalu diberikan. Akhirnya, pujian ini hanya membunuh keyakinan anak-anak.
2. SET SASARAN YANG REALISTIK Jangan jadi ibubapa ‘reality show’ – maksudnya, jangan bina imej perfect son/daughter anda berdasarkan apa yang dicapai oleh orang lain. Setiap anak anda diberi anugerah dengan bakat/kelebihan masing-masing. Jangan biarkan anak anda jadi ‘tikus eksperimen’ untuk feed ego anda. Jangan paksa anak anda pandai berpidato, pandai berenang, pandai kumon, pandai 7 bahasa dan pandai tenis semata-masa rakan-rakan dalam wassap group anda share gambar anak mereka menang pertandingan tersebut minggu lepas.
3. JUJUR DENGAN ANAK ANDA Mereka perlu tahu yang anda juga sebagai orang dewasa tidak sempurna. Kajian psikologi menunjukkan kanak-kanak berusia 12 tahun sudah tahu menilai seorang dewasa menipu atau tidak bila berkongsi sesuatu dengan mereka. Jangan puji anak jika mereka tidak berjaya semata-mata tidak mahu mereka kecewa. Beri kritikan, tapi yang membantu mereka untuk bangkit semula.
4. BERI MEREKA RUANG UNTUK LAKUKAN KESILAPAN Jangan cuba tutup kelemahan mereka, semata-mata tidak mahu mereka kecewa. Terus terang adalah jalan terbaik. Beri mereka galakkan dan kesedaran bahawa tidak mengapa gagal/tewas dalam sesuatu, asalkan kita memperoleh sesuatu daripadanya – contohnya ‘at least you had fun with your friends’. Ketahuilah bahawa kegagalan lebih banyak memberi kita pengajaran dalam hidup berbanding kejayaan.
5. PASTIKAN MEREKA ADA IDOLA/MENTOR YANG TERBAIK Modelling Theory – Belajar dari contoh adalah kaedah belajar paling berpengaruh dikalangan kanak-kanak. Jika mereka cari idola yang salah, mereka akan kecewa. Ajar anak-anak mengenal peribadi Rasulullah seawal mungkin dan jadikan baginda contoh terbaik dalam hidup. Anda sendiri sebagai ibubapa perlu jadi antara idola mereka.
Jadi, daripada perkongsian ini bahawa self-esteem yang kukuh bukan sahaja membantu anak-anak menghadapi cabaran hidup dengan lebih yakin tetapi juga melindungi mereka daripada masalah mental yang serius di kemudian hari.
Sebagai ibu bapa, kita perlu bijak dalam mendidik anak-anak dengan cara yang betul, seperti yang disarankan oleh Dr. Rozanizam Zakaria. Ingatlah bahawa setiap usaha kecil yang kita lakukan hari ini akan memberi impak besar kepada kehidupan anak-anak kita di masa hadapan. Jom kita sama-sama menjadi ibu bapa yang sentiasa menyokong dan membimbing mereka ke arah yang lebih baik!
Kumpul baju sekolah terpakai, usaha pihak sekolah, ibu bapa bantu golongan memerlukan. Usaha murni sebuah sekolah di Petaling Jaya serta ibu bapa mengumpulkan pakaian sekolah terpakai mendapat perhatian ramai.
Kumpul Baju Sekolah Terpakai
Lebih menarik, baju-baju sekolah yang disumbang itu ada yang belum pernah digunakan, disusun dan digantung dengan baik bagi memudahkan ibu bapa atau pelajar memilih mengikut keperluan serta saiz masing-masing.
“Tadi singgah sekolah anak nak beli buku teks. Dulu ampaian ni kecil saja, letak di depan pondok jaga. Alhamdulillah, sekarang ampaian dah makin besar.”
Usaha Pihak Sekolah, Ibu Bapa Bantu Golongan Memerlukan
Itu reaksi seorang lelaki di atas usaha murni pihak sekolah anaknya dan ibu bapa yang menyumbang baju sekolah terpakai namun masih berkeadaan baik untuk digunakan golongan memerlukan.
“Mana-mana baju yang masih elok tapi dah tak pakai boleh letak di sekolah. Ibu bapa yang bajet tengah ketat, boleh datang pilih dan ambil. Terima kasih kepada mereka yang cetuskan idea macam ni. Sungguh memberi 1,000 makna.
“Kos untuk tiga ke empat orang anak nak masuk sekolah lebih RM1,000 tak lari. Kita sama-sama bantu. Di saat dunia dipenuhi dengan sang tamak, tak ada hati perut, Alhamdulillah masih ada yang pemurah,” katanya di Facebook menggunakan nama Wan Luqman.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Noor Asmidar Ahmad Kamal turut berkongsi situasi serupa di sekolah anaknya.
“Baru terjadi tadi, sukarelawan di sekolah anak. Antara bagi sumbangan beg-beg sekolah, syukur ada yang bawa pulang. Semoga berjasa kepada tuan baru,” ujarnya.
Perkongsian itu meraih pujian orang ramai yang menyifatkan usaha berkenaan sebagai salah satu cara terbaik membantu golongan yang memerlukan.
“Boleh buat di semua sekolah. Bantu ringankan beban yang kurang berkemampuan,” komen Yang Sheila.
“Bagusnya sekolah ni. Sekolah anak saya tak ada buat macam ni. Saya barang apa pun tak beli lagi. Duit bantuan sinpan untuk beli buku enam orang yang masih bersekolah,” luah pengguna yang lain.
Statistik menunjukkan bahawa satu daripada enam kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental, dan kadar ini telah meningkat dua kali ganda sejak tahun 2019.Sebagaimana...