“Walaupun Sedih, Saya & Suami Reda.” Ibu Kongsi Berita Baby Nishka Meninggal Dunia Selepas 4 Bulan Bertarung Nyawa

Share

Selepas bertarung nyawa melawan penyakit kanser otak dan kanser buah pinggang, Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham meninggal dunia di Unit Dependensi Tinggi (HDU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Bayi berusia empat bulan itu menghembuskan nafas terakhir pada 4.30 petang semalam di sisi kedua ibu bapa dan ahli keluarga.

Ibu Nishka, Khairiah Kamarudin, 35, memberitahu, dia dan suami, Mohd Farham Che Ahmad, 36, reda dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu.

Katanya, anaknya tenat sejak semalam apabila tidak mampu membuka mata dan tidak memberi tindak balas.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan Nishka dan mereka yang sentiasa memberi sokongan kepada saya serta suami.

“Walaupun sedih, namun saya dan suami reda dengan pemergian anak kerana dia terlalu kecil untuk menanggung derita. Sejak semalam Nishka tenat dan tidak memberi sebarang maklum balas. Memang kami sekeluarga sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Walaupun sedih, ini semua takdir Allah dan bersyukur pemergian Nishka dipermudahkan,” katanya lagi.

Khairiah berterima kasih kepada semua pihak yang selama ini mendoakan Nishka serta kakitangan HUSM yang banyak berjasa kepada keluarganya.

Nishka disahkan menghidap kanser otak (Medullablastoma) tahap empat selepas 21 hari dilahirkan dan turut dikesan menghidap penyakit kanser buah pinggang bulan lalu.

Khabar duka ini turut dikongsikan selebriti tempatan, Mawar Karim yang sebelum ini pernah melawat bayi comel berkenaan.

“Al- Fatihah. Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un. Baby Nishka berehat la di syurga menanti awak di sana. Setelah berjuang bertarung nyawa. Allah lebih sayang kan baby Nishka. Ibu bapa baby Nishka akan tunggu di syurga ya anak..

“Kami sayang baby Nishka. Mari kita sedekah Al Fatihah dan doa kan baby Nishka @kheriykhairiah_nishkaofficial.

“Menerima panggilan dari ibu baby Nishka mengatakan baby Nishka dah meninggal dunia. Sejujurnya memang tidak mampu untuk saya melihat anak syurga ni tabah bertarung nyawa,’ ujar Mawar melalui Instagram miliknya.

Kisah adik Nishka pernah disiarkan oleh Majalah Keluarga sebelum ini baca di sini. Semoga keluarga anak syurga ini tabah dan sabar dengan ujian tersebut.

Sumber: Mawar Karim