Kasih sayang ibu tiada batasan.Biarpun berbeza agama, namun itu tidak membuatkan hubungan antara anak dan ibu terputus. Malah wanita ini membuktikan ikatan ibu-anak cukup utuh biarpun si anak memilih untuk menjadi saudara baru dalam Islam.
Beberapa hari lepas tular di media sosial mengenai sepasang suami isteri berbangsa Cina menghantar anaknya yang mempunyai masalah penglihatan ke Darul Quran. Anaknya yang sudah pun bergelar mualaf telah menyambung pengajian dalam peringkat Diploma Tahfiz Al-Quran & Al-Qiraat di sana.
Anak sulung daripada tiga beradik, Tan Mike Foong , 23, merupakan pelajar mualaf yang berjaya menamatkan Sijil Asas Tahfiz selama setahun di Darul Quran Jabatan Agama Islam (JAKIM) Kuala Kubu.
Mike Foong membuktikan keupayaan menghafaz 10 juzuk al-Quran walaupun orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak dilahirkan.Kini dia meneruskan pengajian peringkat Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat yang ditetapkan syarat menghafaz kesemua 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun.
Sudah hafal 10 juzuk
Menerusi Sinar Harian, mualaf yang berasal dari Selangor ini sudah pun bergelar Muslim sejak tahun 2015. Tan Mike Foong, 23 sebenarnya telah menamatkan Sijil Asas Tahfiz selama setahun di Darul Quran Jabatan Agama Islam (JAKIM) Kuala Kubu.
Dia yang sudah menghafal 10 juzuk al-Quran telah mendaftarkan diri bagi peringkat diploma untuk menghabiskan hafalan sebanyak 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 3 tahun.
Bercerita lanjut mengenai pengislamannya itu, Mike memberitahu telah terdedah dengan agama Islam dan azan sejak kecil lagi. Kemuncaknya apabila selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia telah mengikuti latihan kemahiran pengurusan pejabat di bawah Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).
Persatuan tersebut rajin mengadakan ceramah dan dari situ dia tertarik mendalami Islam dan akhirnya memeluk agama tersebut tanpa pengetahuan ibu dan ayah.
Mike Foong memeluk Islam pada 2015 yang ketika itu tanpa pengetahuan ibu bapanya. Dia yang menerima pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kubu Bharu dan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak, Kuala Lumpur pernah meniru suara azan di rumah kerana seringkali mendengar laungan tersebut dari surau berdekatan kediamannya di Batang kali.
Menurutnya, terdapat sebuah tentera di belakang sekolah menengah yang akan memasang bacaan al-Quran sebelum masuk solat.
“Bila dengar azan saya tak rasa ia satu muzik, tapi kalimah. Sampailah masa berada di tingkatan empat, saya akan buka radio untuk dengar bacaan solat terawih.
“Lepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya ikut latihan kemahiran pengurusan pejabat di bawah Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).
“Ramai yang beragama Islam dan bila mereka ada kuliah agama yang dikendalikan Ustaz Mat Noor, saya bersama dua rakan bukan Islam akan dengar,” katanya.
Mike Foong berkata, pada satu hari, pihak persatuan menjemput seorang pendakwah mualaf kerana ada di antara mereka yang ingin tahu tentang Islam.
Menurutnya, dia turut serta dalam perbincangan tersebut sebelum diajukan beberapa soalan berkaitan fitrah kejadian penciptaan dan pencipta.
“Pada hari itulah saya lafaz dua kalimah Syahadah dan sekali lagi seminggu kemudian ketika daftar secara rasmi di pejabat agama.
“Saya rahsiakan dari pengetahuan ibu bapa dan lepas setahun setengah, baru mereka tahu.
“Saya ajak ibu pergi makan kedai makan mualaf cina dan pemilik kedai tanya adakah saya muslim di hadapan ibu,” katanya.
Tamat pengajian Diploma Kemahiran Malaysia, Mike Fong menyertai Interactive Dakwah Training (IDK) sebagai sukarelawan dan belajar cara pendakwah menyantuni golongan mualaf.
Dia mula mempelajari dan membaca buku Iqra selain menghafaz surah serta berjaya memenangi pertandingan hafazan mualaf di peringkat negeri Melaka. Dia membaca Al-Quran menggunakan kaedah braille
“Atas cadangan seorang rakan, saya mengikuti Kursus Asas Tahfiz di Darul Quran Jakim selama setahun bermula Januari tahun lepas,” katanya.
Terkejut anak peluk Islam
Ibunya memberi reaksi terkejut apabila Mike Fong membuat pengakuan memeluk Islam. Menurut Bee Cheng, dia bertanya lanjut mengenai tersebut kepada anaknya selepas mereka pulang ke rumah. Jelasnya, walaupun terkilan dan mengambil masa hampir setahun untuk menerima hakikat namun dia akur dengan keputusan anak sulungnya itu.
“Saya takut kehilangan Mike sebab ramai yang kata, orang Islam tak boleh tinggal dengan bukan Islam dan saya takut Mike tak boleh uruskan diri.
“Lepas Mike terangkan segalanya, baru saya boleh terima dan gembira tengok perubahan dia yang semakin baik.
“Saya sendiri teman dia daftar sebagai pelajar tahfiz dan mula-mula dulu, hari-hari saya datang jenguk Mike sebab rumah kami di Kampung Asam Kumbang tak jauh, dalam 10 minit saja,” katanya.
Lahir tak cukup bulan
Bee Cheng berkata, Mike Foong dilahirkan tidak cukup bulan dengan berat 900 gram dan ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur selama tiga bulan. Bapa Mike Foong, Tan Ang Chong, 54, mengusahakan bengkel sendiri manakala dua lagi anak masing-masing berusia 20 dan tujuh tahun.
“Kami semua bukan Islam dan hanya Mike saja Islam tapi hidup bahagia malah anak bongsu suka tengok Mike solat,” katanya.
Sementara itu Mike Foong berkata, dia tidak mempunyai keluarga angkat beragama Islam kerana ibu bapa dan dua adiknya adalah harta dunia akhirat yang tiada pengganti.
Menurutnya, nama asal dikekalkan kerana tiada keperluan berbuat demikian walaupun sudah menganuti Islam.
Cerita mengenai Tan Mike Foong ini benar-benar memberi inspirasi kepada warganet. Mereka telah menurunkan komen di ruangan Facebook sumber dengan menyertakan kata-kata positif kepada insan istimewa ini.
Sumber : Sinar Harian