“Walaupun Lumpuh, Suami Terima Seadanya.” Kenal Melalui Game Pubg, Lelaki Ni Buktikan Cinta Nikahi Gadis Lumpuh Kaki

Share

Pasangan ini membuktikan cinta tidak hanya berlandaskan paras rupa dan fizikal tetapi kerana kasih sayang serta hati yang ikhlas.

Justeru ungkapan cinta tak mengenal rupa sangat sesuai untuk menggambarkan pasangan yang cukup istimewa ini. Kalau hati sudah berkenan, kekurangan yang ada dianggap satu keistimewaan.

Beberapa hari lalu, tular kisah seorang pengantin lelaki yang memilih seorang gadis hidup istimewa untuk menjadi teman hidupnya. Biarpun mengetahui akan keadaan isterinya yang lumpuh kedua-dua belah kaki dan berkerusi roda, namun itu tidak menjadi penghalang mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri.

Lebih istimewa lagi, pasangan ini disatukan dengan suasana yang cukup meriah bersama 17 lagi pasangan mempelai dalam Majlis Pernikahan Beramai-Ramai anjuran Kelab Kebajikan Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn Batu Pahat.

Menurut pengantin perempuan, Siti Aisyah Zaid, 22,  dia bersyukur suaminya, Amirul Syahmi Mohd Yazid, 25, sanggup menerima kekurangan yang dialaminya walaupun pada awalnya dia mempunyai fizikal yang normal seperti insan-insan lain.

“Kedua-dua kaki saya ini lumpuh selepas motosikal yang saya tunggang terlibat dalam kemalangan di Parit Raja dua tahun lalu dan ketika itu saya masih belum berkenalan lagi dengan suami walaupun kami masing-masing tinggal di daerah ini.

“Kami hanya berkenalan pada tahun lalu secara tidak sengaja melalui permainan video atas talian, Player Unknown’s Battleground (PUBG) pada tahun lalu dan bermula dari situ, hubungan kami bertambah akrab sehingga membuahkan rasa cinta,” katanya.

Sementara itu, Amirul Syahmi berkata, dia mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya itu selepas diberitahu oleh ahli keluarganya mengenai Majlis Pernikahan Beramai-Ramai tersebut kira-kira beberapa bulan lalu.

Menurutnya, walaupun dengan bayaran hanya RM3,500, beliau secara peribadi berpuas hati apabila perjalanan majlis perkahwinannya itu berlangsung dengan meriah dan akan dijadikan kenangan terindah dalam sejarah hidup dia dan isterinya.

Sumber: Sinar Harian & FB Aishah Zaid