
Susahnya nak kekalkan rasa segar pada barang-barang basah seperti ikan, udang, sotong, ketam dan sebagainya. Ikan terutamanya sangat cepat bertindak balas, apalagi disimpan lama di dalam peti sejuk.
Ikan yang disimpan lama di dalam peti sejuk memang tidak lagi enak di makan. Selain tidak lagi segar, bau dan rasanya juga kurang enak.
Pun begitu ada caranya untuk memastikan ikan yang disimpan, mampu kekal segar seperti baru dibeli. Bagaimana? Cuba lakukan dua cara ini.
1. Rendam Air Garam
Bahan-bahan:
Air
Sedikit garam
Caranya:
1. Sebaik ikan disiang dan dibersihkan, letakkan ikan di dalam bekas.
2. Penuhkan dengan air sehingga menutup semua ikan.
3. Letakkan sedikit garam ke dalamnya dan tutup kemas.
3. Simpan di dalam peti ais dan bekukan.
4. Apabila hendak masak barulah anda mencairkannya.
2. Rendam Susu
Bahan-bahan:
Air
Susu atau air rendaman beras
Caranya:
1. Sebaik dikeluarkan daripada peti sejuk, rendamkan dengan air biasa.
2. Letakkan sedikit susu ke dalamnya.
3. Biarkan seketika.
4. Bolehlah dimasak seperti biasa.
3. Air Beras
Bahan-bahan:
Air rendaman beras
Caranya:
1. Apabila ikan dikeluarkan daripada peti ais, rendamkan dengan air biasa.
2. Kemudian bilas dan rendam pula dengan air beras.
3. Biarkan seketika dan bolehlah dimasak seperti biasa.
Selamat mencuba.
Nak Isteri Kekal Cantik Bukan Main Cakap Je, Kena La Berkorban Sikit. Suami Mohon Alert!

Siapa je yang tak sukakan kecantikan, betul tak? Tak kisah la kecantikan diri atau sekeliling, bila tengok sedap je mata memandang! Itu baru tengok sendiri, kalau orang lain tengok, maunya terpikat!
Lagi-lagi bila dah berkahwin ni, kena la cantik depan suami. Ye la takut kang nanti pula jadinya dengan kes macam-macam kat luar sana sekarang ni kan? Opss!
Tapi sebenarnya nak cantik ni perlukan pengorbanan menyeluruh. Kenapa menyeluruh? Haa kalau nak tahu jom tengok apa kata Taufiq Razif ni!
Fitrah emak emak ni memang suka nak berhias dan nak dilihat cantik. Lebih lebih lagi di depan suami yang dia kasihi.
Mak mak akan jadi makin cantik bila :
1. Dia diberikan bajet khusus untuk Self Care diri. Tak perlu banyak tapi yang penting cukup untuk dia merawat dan mencantikkan diri.
2. Dia diberikan masa khusus untuk memanjakan diri sendiri. Kadang tak perlu ke spa atau salon pun. Asalkan diberikan peluang dan masa memang mereka akan cari cara untuk merawat dan mencantikkan diri sendiri.
3. Dia diberikan peluang untuk Self Reward diri sendiri seperti melancong, shopping dan sebagainya. Selepas berhempas pulas menjaga pasangan dan anak anak, Self Reward ni sangat perlu untuk menjaga motivasi dalaman diri. Hilang motivasi diri, maka hilanglah seri.
4. Dia diberikan nafkah batin yang mencukupi keperluan diri. Nafkah batin ini termasuklah pergaulan yang baik dan kasih sayang yang membuatkan hatinya menjadi tenteram dan tenang.
5. Dia perlukan pasangan yang memahami psikologi dan keperluan diri seorang wanita. Perbezaan jantina membuatkan ramai wanita tidak memahami lelaki dan ramai lelaki tidak memahami wanita sedangkan ilmu memahami pasangan adalah ilmu yang sangat penting untuk keharmonian rumahtangga
Wanita dan isteri yang cantik datangnya daripada rumahtangga yang bahagia dan harmoni
-Taufiq Razif-
“Hilang Kawan Boleh Dicari, Hilang Ibu Tiada Pengganti.” Lelaki Ini Nekad Bawa Ibu Bercuti Guna Kerusi Roda. Tabiklah!

Ungkapan syurga di bawah telapak kaki ibu, kasih ibu bawa ke syurga dan kasih bapa kekal selamanya menunjukkan betapa ibu bapa perlu diberi status kedudukan yang amat mulia. Syurga itu sangat mahal nilainya dan sukar untuk kita memperolehnya.
Fahmi Samsudin merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, tidak pernah bersungut apabila diberi amanah olehNya untuk menjaga ibu tersayang, Bashah Ismail selama lima tahun sehinggalah sang pencipta menjemput ibunya pada pertengahan Januari akibat kegagalan buah pinggang.
“Hilang kawan boleh dicari, hilang ibu tiada pengganti. Sunyi dan kosong. Dua perasaan yang sedang menemani saya, mungkin untuk beberapa ketika. Memanglah, lima tahun bersama setiap masa tanpa terpisah, namun akhirnya ibu pergi dipanggil Ilahi, perpisahan yang ternyata saya perlu akui,”ujarnya merupakan pelajar sepenuh masa PhD (Doctor of Philosophy in Art & Design ) UiTM Shah Alam, Selangor.

Melancong bersama ibu dengan kerusi roda
Biarpun arwah ibu telah mengadap Ilahi, momen indah sepanjang melancong bersama arwah ibu masih terpahat dalam ingatan. Beliau nekad untuk membawa ibunya melancong walaupun menggunakan kerusi roda. Ia tidak menjadi halangan buatnya.
“Sejak 2014, selepas saya berhenti kerja dan menyambung pengajian sepenuh masa, saya mula membawa ibu melancong ke Semenanjung Malaysia, hampir setiap bulan. Dan pada tahun 2016 saya mula membawa dia melancong ke luar negara pula sehingga kali terakhir saya membawa ibu melancong pada Mei 2018.
“Janji saya pada beliau. Semenjak ibu sakit strok pada 2006, jarang sekali ibu travel kerana batasan beliau yang menghidap penyakit tersebut, dan juga kondisi arwah ayah yang pada waktu itu juga sedikit uzur.
“Juga, saya dapati ibu berubah menjadi semakin sihat dan ceria walaupun berkerusi roda, dan dia rasakan yang dia mahu membuktikan yang orang berkerusi roda dan juga mempunyai penyakit seperti beliau boleh juga melancong seperti orang normal yang lain.
“Semenjak itu, niat kami berdua cuma satu, untuk berkongsi pengalaman bercuti bersama warga emas berkerusi roda kepada yang senasib dengannya.
“Tidak banyak seperti travellers yang lain. Cuma setakat ini kami pernah ke sembilan buah negara bermula dengan Kemboja, Indonesia, Thailand, Turki, Iran, Jepun, India, China, dan Vietnam.
“Dan pastinya banyak kenangan manis. Namun kenangan manis yang paling diingati apabila semua tempat yang pernah dilawati semuanya dipermudahkan tanpa ada sebarang halangan, kelebihan buat yang melancong bersama berkerusi roda.
“Kenangan itu yang seterusnya saya dapat kongsikan bersama yang diluar sana, dan selepas itu sebenarnya kita dapat tahu yang ramai senasib dan juga ada yang lebih teruk nasibnya, namun disebabkan kisah saya, mereka menjadi semangat untuk pulih. Itulah kenangan yang paling tidak akan dilupakan kami berdua.”
Cabaran
Tidak dinafikan tetap ada cabarannya semasa melancong lebih-lebih lagi ibunya menggunakan kerusi roda. Oleh itu, untuk membiasakan diri, buat permulaan Fahmi membawa ibunya melancong dalam Malaysia seterusnya ke luar negara.
“Betul. Pengalaman pertama kami cuba ke lokasi berdekatan dahulu, seperti di dalam Malaysia, latihan untuk membiasakan diri dengan keadaan bersama yang berkerusi roda. Seterusnya, bila dah biasa saya mula membawa ibu ke luar negara, biar rasa tercabar dengan keadaan di tempat orang.
“Tipu jika saya cakap senang, cuma dengan niat yang betul, alhamdulillah semuanya dipermudahkan Nya tanpa ada cacat cela. Perlu diingatkan, perancangan yang rapi amatlah perlu bagi memastikan kelancaran perjalanan. Pastikan kelengkapan dan keperluan beliau diutamakan dahulu, insyaAllah mudah.
“Kebiasaannya kami berdua sahaja, kerana mudah untuk bergerak dan ibu cuma mahu travel asalkan tidak susahkannya. Jadi saya lebih senang berdua sahaja. Cuma saya cuba mengajak teman-teman baru di media sosial jika ada yang berminat untuk travel bersama ibu, untuk memberikan lebih kegembiraan dan juga mengajar ibu untuk lebih senang dengan orang asing jika mengembara. Alhamdulillah ibu mula untuk berasa seronok apabila melancong beramai-ramai.
“Terus terang saya boleh katakan bahawa kebanyakan tempat yang dilawati memang mesra pengguna kerusi roda. Ada juga sebahagian tempat yang tidak sesuai, namun kami cuba untuk mengubah persepsi yang berkerusi roda juga boleh menikmati pengembaraan yang selamat dan gembira seperti orang normal yang lain. Jika tempat itu tidak mesra penggunaan wheelchair, saya tukar kepada tempat lain yang hampir sama dengan tempat asal.
“Konsepnya sama, cuma caranya berbeza. Dari segi makanan, ada sedikit susah kerana ibu jenis yang berpantang kerana tidak boleh sesuka hati makan makanan yang ada disebabkan penyakitnya. Namun saya tetap cuba cari makanan lokasi di tempat saya melancong itu agar ibu dapat merasa sesuatu yang baru, asalkan pengambilannya cuma sedikit sahaja.”
Galas tanggungjawab
Sebagai seorang anak, tanggungjawab menjaga ibu bapa pula harus digalas dengan sempurna. Begitulah yang dilakukan oleh Fahmi dan dua abangnya yang kesemuanya lelaki.
“Secara sepenuhnya beralih tangan semenjak pemergian arwah ayah Samsudin Yahaya, pada 17 Januari 2013, 4.30 petang selepas selesai bacaan talkin dan meninggalkan pusara, saya sedar yang tanggungjawab baru perlu dipikul amatlah besar, sepanjang lima tahun tanpa jemu saya bersama ibu menguruskan sakit, letih, suka duka dan semuanya bersama.
“Sehinggalah pada tanggal 26 Ogos 2018 jam 12.30 pagi, saya selesaikan tanggungjawab itu dengan sebaiknya. Sepanjang ibu sakit strok semenjak Februari 2006, ayahlah sepenuhnya menjaga ibu dengan bantuan saya dan abang-abang.
“Dulu memang abang-abang selalu mengajak arwah ibu untuk tinggal bersama. Namun ibu jenis yang tidak mahu menyusahkan anak-anak yang sudah mempunyai keluarga. Cuma saya yang masih bujang, jadi amatlah sesuai saya menjaga dan tinggal bersama kerana kekurangan komitmen yang boleh membuatkan saya memberikan sepenuhnya perhatian padanya. Sentiasa juga saya berulang alik menziarahi abang-abang, perlu untuk mengekalkan pertalian keluarga itu,”jelasnya sambil tersenyum.
Sumber: Majalah Keluarga November 2018
Ketahui 5 Teknik Atasi Anak yang Sukar Berkongsi. Mesti Alert!

Tidak dinafikan ada segelintir ibubapa menghadapi anaknya tidak suka berkongsi. Terutama barang mainannya, meskipun dengan ibubapa atau adik beradik mereka sendiri. Perkara ini bukanlah masalah pokok tetapi ia boleh menjadi serius apabila anak tersebut mempunyai masalah pertuturan atau lambat bercakap.
Kenapa boleh jadi begitu? Selain eye contact, berkongsi juga adalah sebahagian elemen asas pra-komunikasi. Contohnya; sekarang kita berkongsi cerita yang sama, topik yang sama, membaca artikel yang sama dan berkongsi masalah yang sama. Iaitu topik anak sukar berkongsi. Begitulah juga dengan anak-anak kita, sekiranya mereka sukar berkongsi, tiada komunikasi 2 hala yang sihat bakal berlaku.
Bukan sahaja komunikasi, malah perkembangan vocab, perkembangan interaksi sosial, dan emosi juga boleh menjadi terhad dan terganggu. Kanak-kanak perlu bermain dengan rakan sebaya untuk rangsang perkembangannya. Secara tidak langsung idea dan kebijaksanaan mereka bertambah.
Bagaimana hendak atasi masalah ini? Di sini saya sertakan 5 teknik yang mungkin berguna buat ibubapa dirumah.
Pilih Mainan yang Betul
Pilih permainan yang mempunyai ciri-ciri berkongsi atau memerlukan 2 orang pemain ataupun memerlukan bantuan orang dewasa. Contohnya seperti congkak dan lego . Pasti untuk siapkan satu lego anak perlukan bantuan ibubapa. Disinilah peluang berkongsi dan bermain bersama digunakan sebaik mungkin.
Jadikan Diri Anda Sebagai Contoh
Mainkan peranan anda sebagai contoh terbaik. Ibubapa mesti menunjukkan tauladan berkongsi. Kerana anak-anak adalah peniru terbaik. Sekiranya bermain dengan mereka, pastikan mengikut giliran bermain. Contohnya permainan, baling bola masuk ke dalam bakul. Boleh dilakukan mengikut giliran, mula papa baling, kemudian mama dan kemudian si anak. Cakap dengan dia “Papa baling pula” dengan ini anak faham kosep berkongsi dan main bersama.
Saya pernah didatangi oleh anak yang sangat pandai berkongsi. Inilah teknik yang beliau suami isteri lakukan.
Puji dan Galakkan Mereka
Puji mereka apabila mereka sudi berkongsi dengan rakan. Dengan cara ini mereka suka lakukannya dengan kerap. Jika boleh, pujilah mereka di hadapan orang yang beliau sayangi.
Si ibu boleh kata begini, “Tengahari tadikan papa, Imran kongsi permainan dia dengan Aiman. Bagus dia main sama-sama” Papa pula sampuklah dengan penuh minat “Ohh ye ke, baguslah Imran pandai kongsi dan main sama-sama”
Bincang & Pujuk
Kadang-kala anak tidak mahu berkongsi sebab permainan tersebut permainan kesayangan mereka. Atau mungkin juga ada sejarah silam yang membuat mereka tidak mahu berkongsi. Permainan mereka dirosakkan atau dihilangkan.
Tanya mereka; “Kenapa Imran tak nak kongsi kereta tu?”
Mungkin Imran akan menjawab; “Dulu Aiman main kereta Imran sampai rosak” . Pujuk dan bincang dengan mereka; “ Mama faham, tapi dulu tu Imran tak sengaja , kesian dia nak main dengan Imran. Kalau rosak papa betulkan nanti”. Guna kebijaksaan anda untuk pujuk mereka. Ibubapa pastinya lebih mengenali anak mereka dengan lebih dekat.
Kuatkuasakan Undang-undang
Setiap barang mainan yang baru dibeli, letakkan satu undang-undang. “Ini papa punya mainan, Imran nak main, boleh. Tapi kena main dengan papa.”Jangan berikan kuasa milik mutlak pada mereka. Tegur sikap mereka yang terus merampas barang yang mereka mahukan. Simpan barangan tersebut setelah bermain bersama. Undang-undang ini tidak semestinya dikuatkuasa pada semua mainan, cuma sesetengah permainan sahaja.
Ia mampu mengubah sikap dan cara anak bermain. Matlamat kita adalah untuk mereka terus boleh berkongsi dan berkomunikasi. Sebagai ibubapa kita perlu sabar dan berdoa. Tiada apa yang berlaku sekelip mata. InsyaAllah semua usaha ini ada balasan dariNya.