Pendedahan pelakon Ombak Rindu mengenai bapa tirinya sedikit mengejutkan. Sementelah sebelum ini dia tidak pernah bercerita mengenai hal tersebut.
Menerusi perkongsiannya semalam, Dato’ aaron Aziz bercerita mengenai zaman kecilnya yang tidak dibesarkan oleh bapa kandung. Sebaliknya dia hanya mendapat kasih sayang yang dicurahkan bapa tirinya, Abdullah Md Dawood.
Menurut Aaron, selepas ditinggalkan oleh bapa kandungnya ketika masih kecil, dia tetap berbangga kerana dididik dan dibesarkan oleh bapa tirinya biar tiada pertalian darah.
“Bagi saya individu yang sentiasa membuatkan saya tersentuh ialah seseorang yang sentiasa memberikan yang terbaik tanpa meminta balasan. Bapa tiri saya, Abdullah Md Dawood merupakan insan yang dimaksudkan itu.
“Dialah satu-satunya figura bapa yang saya kenal sejak bapa kandung saya tinggalkan saya sejak kecil,” kongsi Aaron menerusi entri di Instagramnya.
Tambahnya lagi, dia bersyukur dikurniakan bapa tirinya yang sentiasa menggembirakan hati ibunya serta adik-beradik lain.
“Dia menggembirakan hati ibu saya, menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh adil. Malah, dia juga melayan kami adik-beradik seperti anak kandungnya sendiri dan sampai ke hari ini dia tiada langsung anak yang berbinkan namanya.
“Walau kami tidak di’bin’kan atas namanya, dia sentiasa menyayangi kami tanpa pernah meminta balasan,” tambahnya.
Perkongsian Aaron turut mendapat respon daripada bapa tirinya yang menganggap cucu-cucunya adalah hadiah tidak ternilai dalam hidupnya.
“Terima kasih anakku. Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk melihat anak-anak saya terus gembira. Kamu semua telah berikan saya hadiah tak ternilai dalam hidup iaitu cucu-cucu saya semua,” tulis Abdullah.
Status yang menyentuh hati itu turut mmendapat reaksi dari netizen yang rata-rata memuji hubungan baik antara Aaron dan ayah tirinya.
Sumber: IG aarondwiaziz