Bila difikir-fikir, tiada salahnya bila en suami ringankan tangan untuk membantu isteri melakukan kerja-kerja di rumah. Bukankah bila setiap tugas dibuat bersama-sama, kerja akan lebih ringan dan secara tidak langsung kerja cepat siap?
Selain aspek masa dan tenaga, ada satu perkara penting yang mungkin ada yang terlepas pandang tentang bila suami isteri ini pandai membahagi tugasan. Nak tahu apakah itu, jom semak perkongsian Puan Ashikin Hashim ini.
Suami Tak Tolong?
Saya pernah diajar oleh seseorang untuk sama-sama beri tanggungjawab rumah dan anak kepada suami. Jangan buat sorang-sorang. Jangan tanggung sorang-sorang.
Walau benda sekecil buang sampah. Suami duduk depan TV. Kita beri dia tanggungjawab untuk buang sampah itu. Bukan jeles dia duduk depan TV tapi kita tak mahu kedekut seorang diri buat kerja rumah.
Percayalah. Tak semua lelaki tahu nak buat kerja rumah tanpa disuruh. Mereka adalah lelaki yang kita mesti terus terang. Tak boleh nak cakap alas-alas atau hint-hint sahaja.
Ramai suami yang kalis muka merajuk isteri. Selagi tak cakap minta tolong, dia tak akan faham muka cuka isteri dia tu sebenarnya nak suruh suami dia tolong buang sampah.
Ramai suami yang telinga kalis bunyi. Walaupun isteri hentak-hentak kaki ke hempas barang ke, dia tak akan faham yang isteri tu suruh basuh berak anak selagi dia tak cakap – abang, boleh tak basuhkan berak anak ni.
Contoh lain. Hal anak-anak.
Walaupun kebanyakan masa kita sebagai ibu yang paling banyak masa dengan anak, tapi tolonglah bagi suami merasa untuk pikul tanggungjawab tersebut. Jika anak beri surat nak pergi lawatan contohnya. Minta anak untuk tanya izin ayah. Walaupun duit mak yang bagi misalnya. Tapi didik anak untuk minta izin dari ayah. Didik anak bahawa ayah adalah ketua keluarga.
Bila kita berbagi tanggungjawab dan tugas, suami akan rasa dia bertanggungjawab atas keluarga dia. Dia tak akan rasa – alah isteri aku boleh hidup tanpa aku, isteri aku pandai semua benda.
Ya, memang isteri tu kalau campak dalam hutan pun boleh hidup, tapi kita nak suami pun rasa macamana urus rumah, macamana nak beli barang dapur, macamana nak urus berak anak.
Ramai isteri yang makan hati sebab geram suami tak tolong. Ramai isteri tertekan sebab suami lepas tangan. Janganlah pendam. Jangan pikul sorang-sorang.
Ingat ya. Ini semua bukan sebab hanya takut suami tu tinggalkan kita. Tapi mungkin kita yang akan pergi dulu meninggalkan dia. Siapa yang nak jaga anak-anak kita kalau suami kita tak tahu tanggungjawab dia? Jom kita bantu suami kita.
sumber : Ashikin Hashim