Disebalik senyuman dan tawa penyanyi ini, hanya dia yang tahu betapa luluh hati apabila dimaklumkan menghidap kanser limfoma tahap dua sekitar tahun 2012. Erneelya Elyana binti Emrizal atau lebih dikenali sebagai Elyana mula menceburi dalam bidang hiburan ketika berusia 14 tahun lagi.
7 tahun menyembunyikan perkara itu, Elyana kemudiannya berkongsi mengenai penyakitnya dengan peminat di luar sana. Elyana disahkan menghidap kanser itu selepas melahirkan anaknya, Cinta Sumayyah.
Kegigihan penyanyi anak satu ini melawan penyakitnya cukup dikagumi ramai. Malah, dia dan suami, Khairul Anuar Hussin tidak berputus ada mencari penawar menyembuhkan barah limfoma tahap empat yang dihidapi tersebut.
Berpeluang mendekati keluarga kecil tetapi cukup bahagia ini, penulis seakan-akan tidak percaya penyanyi Lagu Kalis Rindu tersebut menghidap penyakit kronik. Dari luaran dia nanpak sihat dan bertenaga serta ceria sepanjang sesi temu bual.
“Macam mana saya nampak kekal sihat? Saya pun terkejut juga kerana hanya saya yang tahu kondisi kesihatan. Di rumah saya tidak seaktif seperti orang sihat lain. Tetapi maklum balas dari orang ramai yang mengatakan mereka nampak saya lebih sihat dan cantik dari orang sihat.
“Jadi saya rasa itu salah satu semangat untuk saya menjadi sihat. Tiada tip tertentu cuma saya banyak minum air dna mengambil ubat. Saya minum air banyak kerana ubat yang saya makan panas. Jadi fizikal saya nampak ‘fresh’ terutama dari segi pengambilan makanan tambahan. Dalam masa yang sama, saya mengurangkan mengambil makanan yang boleh menjejaskan kesihatan saya. Nak kata tak ambil terus itu tidaklah cuma saya kurangkan pengambilannya,”cerita Elyana lagi.
Tangguh rawatan
Mengakui rezeki untuk tahun 2019 sangat murah, dia yang bakal mengeluarkan album baru, turut dilantik sebagai duta untuk dua jenama produk.
“Alhamdulillah ini adalah rezeki baru saya, walaupun sibuk dengan kerjaya, rumah tangga terutama hal anak saya Sumayyah yang kini berusia 8 tahun adalah menjadi keutamaan. Tahap kesihatan masih sama seperti dulu, dalam masa yang sama doktor ada cadangkan untuk mengadakan kimoterapi tetapi saya tangguhkan buat seketika memandangkan ada hal yang tak dapat dielakkan.
“Setakat ini anak saya sangat positif dalam menerima hal ini. Cuma kalau dia nampak kesan radioterapi atau benjolan yang timbul di badan saya. Dia mulai risau dan mula bertanyakan sama ada kanser saya kembali besar. Memang anak saya sangat matang orangnya untuk anak yang usianya baru 8 tahun
“Tetapi saya ambil dari sudut positif kerana dalam usia sekecil ini Sumayyah sudah tahu macam-macam benda berkaitan kanser seperti rawatan, ubatan dan sebagainya dibandingkan dengan kanak-kanak lain seusianya,”ujar Elyana yang mengakui anak dan suami adalah sumber kekuatan untuknya melawan penyakit tersebut.
Suka memasak
Biar sibuk dengan aktiviti seni dan rumah tangga, Elyana juga suka berkongsi dalam penghasilan resipi. Sementelah suaminya memiliki kedai makan.
“Selain bidang seni, saya juga aktif berniaga. Memang dari kecil dahulu lagi saya sudah mula menjual stiker dan sebagainya. Waktu mengandung saya perlahankan aktiviti seni, kemudian saya jual coklat dan kek. Kini saya jual parfum manakala suami pula membuka kedai makan.
“Secara tak langsung saya turut terlibat. Ramai yang suka dengan masakan saya padahal ia hanya resipi ringkas di rumah. Mungkin selepas ini saya akan keluarkan sedikit masakan yang menjadi kegemaran ramai untuk di jual.
“Tetapi itu hanyalah sekadar perancangan. Pada saya kerjaya dalam bidang seni tidak akan bertahan lama jadi kena ada ‘back up. Kerana itu saya dan suami memilih untuk membuka bisnes,” jelas Elyana lagi.
Rapat dengan anak
Melihatkan kemesraan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh anaknya Sumayyah, benarlah apa yang Elyana katakan. Anak perempuannya itu cukup menyayangi dan mengasihinya.
“Kalau dengan anak memang kami berdua (suami) sangat rapat. Cuma saya lebih rapat dengan sumayyah memandangkan dia anak perempuan. Ditambah lagi kini usianya semakin meningkat. Banyak perkara dan benda yang menjadi kesukaannya termasuk penyanyi, lagu dan juga fesyen. Jadi emaklah yang paling memahami anaknya.
“Saya memang rapat dari segi hati ke hati dengan anak. Manakala suami pula lebih kepada menguruskan dia ke sekolah dan hal pendidikan. Kami suami isteri ada mainkan peranan sendiri dalam membesarkan dan mendidik anak kami,” ungkap anak kelahiran Selangor ini.
Masa berkualiti di rumah
Lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga di rumah, Elyana akui masa yang berkualiti adalah ketika berada di rumah.
“Aktiviti yang kami selalu buat adalah dengan lepak di rumah. Di rumah kami dapat berehat dan bergurau bersama. Sebagai selebriti ada kalanya ditegur peminat untuk bergambar dan sebagainya. Jadi masa terbahagi dua. Tetapi di rumah fokus saya hanya pada keluarga semata-mata. Selalunya aktiviti kami lebih menjurus pada hal anak. Sebagai contoh jika anak ada aktiviti luar seperti futsal dan sebagainya. Secara tak langsung ia menjadi aktiviti bersama keluarga.
Anak kena buli
Ditanya tentang penerimaan orang luar terhadap anak selebriti, akui Elyana bab dibuli dan dipulaukan memang ada. Namun dia dan suami mengambil positif akan hal tersebut.
“Lumrah bergelar anak selebriti, soal buli dan dipulaukan memang ada. Ibu mana yang tidak sedih apabila anak berhadapan dengan situasi tersebut. Tetapi saya ambil sudut positif. Orang luar tak tahu atau mungkin tak perasan bidang seni juga adalah pekerjaan seperti mana kerjaya lain juga. Kerana itu saya selalu saya nasihatkan anak supaya tidak perlu ambil pusing akan masalah tersebut.
“Saya selalu pesan, kita ke sekolah sebab nak belajar, kalau ada orang tak nak kawan biarkan. Insyaallah jika kita baik Allah akan hadirkan seseorang yang baik untuk berkawan. Lagipun ia berkaitan anak-anak dan sebagai ibu bapa yang tidak berada di situ hanya menasihati benda-benda positif sahaja. Bab berkaitan buli ini bukan benda kecil kerana ia sangat serius dan diingat sampai bila-bila. Justeru, ibu bapa kena menangani masalah ini dengan serius,” tegas Elyana lagi.
Sumber: Majalah Keluarga Edisi Mac-Apr 2019