Walau Laman Rumah Tak Besar Mana, Jangan Tak Percaya En Suami Ni Boleh Je Tanam Jagung!

Share

Siapa kata tidak boleh menanam jagung di laman rumah yang terhad. Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh Encik Azuan Abdullah ini. Walaupun hanya beberapa batang pokok sahaja boleh di tanam, namun ianya sudah cukup memadai untuk dimakan bersama keluarga.

Oleh itu, anda ada yang teringin nak mencuba bercucuk tanam dan merasai sendiri keenakan dan kemanisan jagung yang ditanam sendiri apa kata, ketahui lanjut bagaimana proses penanaman jagung dan tempoh matang untuk dituai sebagai mana yang dikongsikan di akaun fb, jom semak.


Pokok jagung manis hibrid F1 ini saya tanam di tepi pagar rumah. Saya buat petak daripada batu bata dan di dalamnya saya letak tanah campuran. Nisbah tanah campuran yang saya buat adalah 2 bahagian tanah, 2 bahagian tahi kambing dan 1 bahagian pasir.

Saya tanam tak banyak pun, 10 point je. Setiap point saya tanam terus dengan dua biji benih dengan jarak 1.5 kaki antara satu sama lain. Daripada 20 biji yang saya tanam, ianya tumbuh semua. Sekarang ada 17 pokok sahaja yang tinggal sebab 3 pokok lagi telah patah dan tumbang semasa umur 20 hari.

Dari segi pembajaan pula, saya guna dua jenis baja sahaja iaitu NPK larut air 18:18:18 + MgO + Micro dan 12:12:36 + Micro.

Semasa umur 7 – 30 hari, saya siram dengan baja NPK larut air 18:18:18 + MgO + Micro dua minggu sekali dengan kepekatan 2.0 mS.

Bila dah umur 34 hari hingga boleh harvest, saya guna pula baja NPK larut air 12:12:36 + Micro untuk siraman 2 kali sminggu dengan kepekatan 2.5 mS.

Setiap pagi Jumaat atau Sabtu, saya akan sembur pula dengan EM @ Plant Booster dan biopesticid @ kawalan organik tanpa racun kimia. Kedua-duanya buatan sendiri.

Alhamdulillah semalam ianya genap 48 hari ditanam, dah nampak bunga betina dan jantan mula keluar. Dalam masa tujuh hari akan datang, kita doakan supaya tiada ada hujan yang banyak terutamanya pada waktu pagi.

Jika ditanam secara komersil dan menggunakan pengairan secara sprinkle, cuba elakkan menyiram pada waktu pagi dalam tempoh 47 – 55 hari.

Kenapa tak nak hujan dan siram waktu pagi?

Sebabnya, waktu ini adalah masa untuk proses pendebungaan semulajadi berlaku. Jika hujan atau kita siram dengan sprinkle pada sebelah pagi, proses pendebungaan tersebut tidak akan berlaku dengan sempurna. Akibatnya, buah jagung kita isinya tidak penuh atau “rongak” orang Kelantan panggil.

Rasanya dalam masa 2 hingga 3 minggu lagi dah boleh harvest ni. Berdasarkan pengalaman sebelum ini, insyaAllah 15 daripada 17 pokok tersebut boleh menghasilkn buah yang beratnya melebihi 500 gram setongkol.

Sekiranya sahabat nak tanam dalam pasu, boleh juga guna SOP di atas. Saya syorkan guna pasu yang besar, kapasiti 10 liter dan ke atas.

Semoga sedikit perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada sahabat sahabat semua.

sumber : Azuan Abdullah via Kebun Bandar : Jom Tanam Sendiri