Walau Ibu Ni Graduan Luar Negara, Sanggup Pilih Kerjaya Suri Rumah Untuk Pastikan 5 Anak Lelakinya Jadi Huffaz!

Share

Bukan calang-calang orang mampu laksanakan tanggungjawab sebagai ibu dan ayah seperti apa yang keluarga ini lakukan. Dikurniakan lima orang anak lelaki, dan kelima-limanya kini berjaya menjawat jawatan profesional dan huffaz Al-Quran.

Umum mengetahui, cabaran membentuk keluarga masa kini tidak semudah yang dibayangkan. Namun pendekatan yang dibawa oleh Puan Hajah Siti Nadzrah dan pasangannya  Dr Mohammad Salmi Mohd Sohod dalam melahirkan generasi huffaz Al-Quran, wajar dijadikan inspirasi buat keluarga lainnya.

Ternyata, berbekalkan  didikan ibu bapa yang berterusan telah menjadi faktor utama membentuk peribadi dan sahsiah yang baik buat lima orang anaknya; anak sulong bernama Aiman Salmi merupakan seorang Peguam, anak kedua Syamil Salmi bergelar doktor, begitu juga anak ke tiga bernama Irfan Salmi juga seorang doktor, kemudian Farhan Salmi pula Pengurus di PROFAZZ Traning & Consaltancy dan yang paling bongsu Suhayl Salmi sebagai jurulatih motivasi.

Pastinya peranan ibu yang dimainkan oleh Puan Hajjah Siti Nadzrah atau lebih mesra disapa Ummi  yang juga bertindak sebagai penyeri atau ‘nadi’ rumah tangga, punya rahsia disebalik semua kejayaan yang diraih oleh anak-anaknya itu.

Apatah lagi bila ditanya bagaimana seorang ibu yang mempunyai latar belakang pendidikan sekular, boleh terpanggil untuk membina keluarga hebat yang mencintai ayat-ayat Al-Quran dalam kehidupan harian anak-anaknya, nyata punya kisahnya yang tersendiri.

“Alhamdulillah, Ummi diberi hidayah dari Allah untuk membina keluarga yang setiap anak Ummi mempunyai ayat Al-Quran dalam jiwa dan diri mereka. Asalnya Ummi tidaklah reti sangat membaca al Quran. Yalah, Ummi dilahirkan bukan daripada keluarga bergelar ustaz ustazah. Ummi tiba-tiba tergerak hati dan teringin sangat nak ada anak yang hafal Al-Quran.

“Memang sejak berkahwin Ummi dan suami berjanji untuk membina keluarga dengan sebaiknya. Oleh itu kami buat pembahagian tugas, Ummi fokus dengan anak-anak dan suami lebih dalam bab mencari rezeki. Bila Ummi tidak bekerja dan sebab itu juga Ummi mempunyai banyak masa merencanakan jadual harian mereka lebih terperinci.

“Ummi dan suami mulai menanam bibit cintakan Al-Quran dalam kalangan anak-anak sejak daripada anak sulong lagi, dan dialah menjadi trendsetter dalam banyak hal membabitkan pendidikan, akhlak dan jatidiri adik-adiknya yang lain,” terang Ummi yang meletakkan dirinya sebagai mendidik anak-anak itu  sebagai satu profesion utama dalam dirinya sambil tersenyum puas melihat pencapaian anak-anaknya kini.

Bahagianya Jadi Anak Emas

Mengajukan soalan pada anak bongsu, Suhayl sebagai anak bongsu di dalam keluarga tentang personaliti dan pandangannya tentang ibunya, nyata cukup istimewa jawapan yang diberikan olehnya.

 

“Kalau ditanya saya, antara adik beradik siapa menjadi anak emas Ummi. Saya akan kata sayalah anak emas Ummi, sebab layanan yang diberikan kepada saya memang teristimewa. Tapi kalau soalan yang sama juga ditanya pada  abang-abang yang lain,semua juga mengaku merekalah anak emas Ummi. Ini membuktikan layanan sama rata Ummi pada kami anak-anaknya tidak dapat dibezakan. Hakikatnya itulah yang kami adik beradik dapat rasakan.

“Walaupun sebenarnya saya adalah anak yang nakal berbanding abang-abang yang lain. Saya jugalah yang selalu kena panggil pihak kaunseling ketika zaman persekolahan. Keputusan peperiksaan biasa-biasa sahaja dan hanya sekadar SPM jelah boleh tayang dekat orang. Tapi itu semua tidak membezakan layanan Ummi kepada saya berbanding anak-anaknya yang lain.

“Sampai satu tahap ketika hendak ambil SPM saya jadi calun OKU sebab urat lengan bahu saya putus akibat main badminton. Jadi pada waktu itu saya banyak tidak hadir ke sekolah dan masa percubaan SPM, saya gagal 5 subjek.

“Pun begitu, hari demi hari tiba-tiba hidayah itu datang untuk saya rasa ingin berubah hinggalah pada malam hari hendak menduduki peperiksaan SPM, saya tidak boleh tidur. Masa itu pukul 2 3 pagi saya tidak tidur lagi. Jadi saya keluar bilik dan nampak ada satu bilik bercahaya dan saya hampiri bilik tersebut, ingatkan siapa rupanya Ummi sedang mendoakan saya. Saya dengar sendirilah setiap doa Ummi untuk saya.

“Jadi barulah saya tahu inilah insan yang mendoakan saya daripada seorang pelajar yang nakal hingga boleh berubah. Jadi waktu tu saya berdoa betul-betullah, “Ya Allah apa-apa sahaja hasil esok ni adalah kerana asbab doa daripada mak aku”.

“Dan siapa sangka semasa keputusan SPM di umumkan saya menjadi calon SPM terbaik di sekolah tu dan semua orang terkejut dan tidak menyangka,” ulas Suhayl dengan nada sayu.