“Waktu Tu Susah, Anak Kecil Lagi. Jual Tin, Bateri & Surat Khabar.” Ropie Kongsi Jatuh Bangun Sara Diri & Keluarga

Share

Pelawak dan pelakon, Ropie atau nama sebenarnya, Zahid Tajuddin dalam satu temu ramah bersama Suria fm berkongsi kisah hidupnya yang tidak diketahui ramai.

Lebih dua dekad dalam industri hiburan, Ropie berkata, dia tidak risau jika momentum yang dikecapinya itu hilang kerana percaya, rezeki setiap manusia sudah ditentukan.

“Zaman kejatuhan saya tahun 1999-2000 selepas kumpulan Cecupak dibubarkan memang ‘sakit’ waktu itu. Pernah dulu saya terpaksa menyamar pakai topeng, kutip dan jual tin-tin kosong. Waktu tu memang susah, anak pula kecil lagi. Selain tin saya juga jual bateri-bateri dan juga suratkhabar.

“Waktu itu saya tinggal di Kuala Lumpur dan tak nak balik kampung untuk menyusahkan keluarga yang sudah susah. Anak saya waktu itu baru 3 orang masih kecil. Jadi pendapatan tak cukup tapi hidup mesti diteruskan.

“Saya janji umur 45 kalau tak berjaya akan cari kerja tetap tak kisahlah terpaksa jadi pengawal keselamatan atau sebagainya. Saya tak malu buat kerja-kerja apapun. Tapi bila tengok ada tawaran jadi saya teruskan. Itulah pengalaman hidup saya dahulu,”kongsi Ropie lagi yang dijemput bersama Illya dalam satu segmen pagi bersama SuriaFm.

Melihat dirinya yang suka melawak, namun sejujurnya akui Ropi, sebagai manusia biasa ada limit dalam bergurau.

“Tetapi kalau dengan orang ramai saya tak marah sebaliknya saya tegur dengan berhemah. Kalau ada peminat yang excited saya anggap itu perkara biasa.  Terima kasih kerana banyak menyokong saya selama ini.

Tidak gemar berkongsi hal peribadi, Ropie berkata, pendekatan itu diambil bukan kerana mahu berahsia, sebaliknya dia inginkan keluarganya menikmati kebebasan tanpa dibebani tumpuan.

“Saya hidup gembira bersama isteri, Syirin yang turut bertindak sebagai pengurus. Kami mendirikan rumah tangga hampir tiga tahun lalu dan sejak itu, dia yang mengurus dan menyusun jadual kerja saya.

“Saya tahu, jika diuruskan orang lain, saya akan jadi agak manja. Saya bersyukur dengan kehadiran Syirin dan apabila dia ada di sisi, tiada wanita lain yang berani mendekati,” katanya.

Sumber: ropie_sryn_ , suriamalaysia  & Berita Harian Online