Fasa demi fasa PKP kita telah lalui, bermula pada tanggal 18 Mac -31 Mac, kemudian masuk pula fasa ke dua,1 April hingga 14 April, dan kini dilanjutkan lagi pada fasa ketiga iaitu 15 April hingga 28 April.
Sungguh suatu tempoh yang panjang kita rasakannya. Pun begitu, usah ada yang mengeluh atau murungut, tapi lihatlah pada sisi positif.
Banyak perkara boleh anda sekeluarga lakukan bersama-sama dan sekali gus memperbaiki diri dan keluarga menjadi lebih baik dan bahagia.
Ini sebagaimana perkongsian daripada Puan Tiny Azleen dan bolehlah dijadikan inspirasi pada kita semua.
Hari ke dua puluh satu.
Fasa kedua: Hari ke tujuh.
Sudah dua puluh satu hari, Allah izinkan kami berkumpul lengkap seluruh ahli keluarga, ibu dan abahnya serta lima orang anak-anaknya. Bonus, mak saya atau maktok bebudak ini juga tinggal bersama kami, Alhamdulillah.
Syukur Alhamdulillah.
Nikmat paling mahal yang sangat saya syukuri yang tiada galang ganti kebahagiaan ini. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.
Rasanya, inilah pertama kali dalam sejarah hidup saya dan sebagai ibu bapa, kami lihat wajah anak-anak kami dan bersama mereka, 24 jam sehari, 7 hari seminggu. MasyaAllah Tabarakallah.
Setelah 3 minggu bersama anak-anak, memang hampir tepu otak mengadap karenah dan memikirkan aktiviti untuk mereka.
Benar, kerap sahaja saya bertukar sarung menjadi ‘mak singa, mak harimau, mak tarzan, mak gorilla, mak godzilla…’ (just name it, semua karakter ada!).
Namun, dalam kekalutan mengaum mengamuk menjerit dengan karenah mereka, sebenarnya banyak hikmah dan keindahan yang Allah anugerahkah asbab musibah #covid19 dan dalam tempoh PKP ini.
Antaranya, kami berpeluang makan bersama hampir setiap waktu makan, berpeluang solat jemaah 5 waktu seisi keluarga, menikmati ruang dan peluang mengaji bersama usai solat subuh (surah Al-Waqiah) dan isyak (surah Al-Mulk) setiap hari…
Dan hari ini, Allah Ar Rahman Ar Rahim Al Wahhab Ar Razzaq dengan limpahan kasih sayangNya rezekikan anak-anak kami kejut kami bangun pagi dan dapat qiyamullail dan sahur bersama-sama.
Dan ini bukan puasa wajib di bulan ramadan. Ia hanya puasa sunat. Tetapi Allah Al Baari Al Latiff lembutkan hati anak-anak saya (terutamanya yang lelaki-lelaki itu) untuk turut serta.
Allahu Akbar Kabira.
Haza min fadli Rabbi.
Sungguh, peluang ini takkan mampu hadir sekiranya tiada tempoh PKP ini.
Bukan mudah mahu kejut anak-anak lelaki itu untuk qiyamullail kalau ianya hari persekolahan.
Malah, kami sendiri ‘tidak gamak’ mahu kejutkan mereka mengenangkan mereka akan bersekolah sehingga petang.
PKP membantu kami mendidik diri sendiri untuk membimbing anak-anak supaya manfaatkan peluang berbuat baik pada setiap ruang yang Allah berikan.
Kita tidak tahu bila lagi peluang ini akan dinikmati. Manfaatkannya! Manfaatkannya!
Ya, kita pilih, aktiviti bagaimana untuk diri dan untuk keluarga kita. Dengan izinNya juga.
Sebagai ibu bapa, memang banyak sahaja silap dan salah juga tidak betulnya pengajaran kami atau cara kami membesarkan anak-anak. Ya, saya akur itu.
Yang saya tunjukkan hanyalah yang terlihat baik-baik sahaja. Yang buruk, yang di belakang hijab, MasyaAllah Tabarakallah, Tuhan sahaja yang tahu dan sudi menyimpan aib kami. Allahu Akbar Kabira.
Mohon keampunan dan kemaafan Allah Al Ghaffar Al Ghaffur Al Affuw.
Apa sahaja yang saya paparkan di media sosial ini adalah untuk pesanan bersama. Untuk diri saya lebih-lebih lagi. Mengenangkan ini semua sebagai AMANAH BERAT YANG AKAN DIPERSOAL KELAK!
Semoga sahaja ada sedikit cerita kekeluargaan ini yang menjentik hati anda untuk melakukan penambahbaikan yang lebih baik supaya kita dan anak-anak dipilih Allah menjadi insan kamil yang ummatik (ya, akur, jauh lagi perjalanannya!)
Saya dan Tuan Suami SirRizal Coway tidak pernah putus belajar dan belajar, tentang ilmu keibu bapaan ini. Sebab kami tahu, kami amat lemah dan jahil dalam bab ini!
Saat ini, penambahan ilmu kami adalah melalui pembacaan.
Saya memilih membaca buku Prof Muhd Kamil Ibrahim bertajuk: Didik Anak Cemerlang – Petua Untuk Ibu Bapa.
Manakala Tuan Suami saya memilih buku (yang saya sudah terlebih dahulu khatamnya…): Parent Think, tulisan Bonda Nor dan Tuan Ammar Kamilin.
Benar seperti yang dicatat pada buku “Parent, Think” – ‘Kerana anak, bukan sekadar anugerah bahkan amanah!”
Dan benar juga seperti yang Prof MKI catatkan pada dedikasi buku “Didik Anak Cemerlang” – Yang kita mahukan adalah bertemu dan berkumpul kembali, di syurga Firdaus-Nya.”
Allahumma amin Allah Al Mujib.
Kaktiny,
Tiada lain yang menjadi keutamaan doa, melainkan mohon ke syurga firdaus tanpa hisab, berkumpul berkampung bersama Rasulullahi Sallallahu Alaihi Wassalam dan sekalian yang dicintai di dunia serta setiap hari menjawab salam Allah dan menatap wajah Allah, tanpa hijab. Amin.
sumber : Tiny Azleen Yahaya