Wajah-wajah Menggoda Di Lebuh Raya, Iringi Perjalanan Pulang Ke Kampung!

Share

Rata-rata ketika ini tentu sudah ada antara kita yang telah sampai di kampung halaman untuk meraikan hari raya atau pun ada antaranya sedang dalam perjalanan dan kini berada di atas lebuh raya.

Cuba pandang kiri dan kanan, dan lihatlah disepanjang perjalanan tersebut pasti ada  ‘wanita-wanita cantik’ mengiringi. Betul atau tidak?

Menurut Datuk Abdul Jalil itu membuktikan dulu, kini dan selamanya orang perempuan lebih mementingkan kecantikan dan kesihatan. Kalau tidak percaya laluilah mana-mana lebuh raya di seluruh negara, kita akan melihat buktinya dengan jalas dan nyata.

Cuba tanya pemandu kereta, pemandu bas ekspres, pemandu lori ikan dan lori ayam, hatta mat rempit atau siapa sahaja yang melalui lebuh raya, semua akan setuju orang perempuan memang lebih peka terhadap dua perkara berkenaan.

Setiap kali pulang ke Muar dan memandu di Lebuh Raya Utara-Selatan, sepanjang perjalanan – lebih kurang 2 jam – saya melihat sekian banyak wajah-wajah manis tersenyum begitu menggoda.

Mata biru menjeling manja, alis lentik hitam berkilat, rambut ikal mayang mengurai, pipi mulus licin pauh dilayang, bibir merah delima, jari-jemari lentik mempesona. Aduhai, manisnya senyuman!

Terpandang  juga susuk tubuh wanita mengiurkan, bersantai di pembaringan sambil memperagakan bentuk tubuh yang ramping dalam posisi yang ‘tak tun tuang, tak tun tuang’.

Awas, jangan tenung lama-lama! Penggoda sepanjang lebuh raya itu boleh menyebabkan anda tersasul ke lorong lain, mungkin juga tersenggol kenderaan di hadapan.

Pada hemat saya senyuman dan jelingan di sepanjang lebuh raya mungkin salah satu faktor angka kemalangan semakin meningkat. Perangkaan polis menyebut, lebuh raya kita meregut lebih 5,000 nyawa setiap tahun.

Ada pun wajah-wajah manis itu adalah iklan-iklan yang mempromosi pelbagai produk kecantikan dan penjagaan tubuh, kebanyakannya ditujukan untuk wanita.

Di sebalik model-model jelita lagi seksi itu, ada mesej yang disampaikan menerusi iklan-iklan berkenaan, semuanya untuk meyakinkan wanita yang ingin menjadi cantik.

Pelbagai kata kunci dan tagline diletakkan dalam iklan-iklan berkenaan, Perkataan dan pendekatan berbeza, tetapi  rata-rata bermaksud lebih kurang sama:

Pakai produk ini. jeragat akan hilang dalam masa 14 hari. Anda akan kelihatan lebih menawan. Makan produk sekian-sekian, lemak di perut dan punggung akan menurun. Semakin cun youuu!

Ambil vitamin sekian-sekian, pinggang akan menjadi lebih ramping. Sekiranya wajah anda hitam tidak berseri, gunakan produk sekian-sekian, [assti lebih gebu, barulah putih.

Sesetengah dakwaan dalam iklan macam tidak masuk akal. Contoh: sapukan lotion ini pada bahagian tubuh, dalam masa dua jam bahagian yang menonjol boleh mengecil dan ramping. Fikiran nakal saya bertanya: Kalau disapukan di dada, dalam masa dua jam dada akan rata seperti Dataran Merdeka. Tidakkah itu berbahaya?

Kalau betul ada ubat atau lotion semujarab itu, wanita tidak perlu ke pusat arobik untuk membuang lemak yang menyendatkan seluar dalam dan coli. Sapu sahaja lotion berkenaan, dalam masa hanya dua jam semua menjadi kecut. Boleh percaya?

Lagi contoh: amalkan minuman sekian-sekian, kulit anda akan menjadi selembut kulit bayi!Mana mungkin kulit wanita berusia 50 atau 60 tahun boleh bertukar menjadi kulit bayi! Lagi pun tentu suami geli-geleman memeluk isterinya yang selembut bayi. Tidak masuk akal.

Tetapi, iklan memang sengaja membuat dakwaan-dakwaan tidak munasabah. Malah yang tidak munasabah itulah yang lebih memikat wanita. Sebab itu di sepanjang lebuh raya kita banyak iklan ditujukan kepada wanita.

Walaupun menyerdai sesetengah dakwaan itu tidak munasabah, wanita tetap ingin mencuba. Inilah keistimewaan kaum Hawa, lebih-lebih lagi yang ingin menjadi cantik, dan menjaga kesihatan tubuh.

Untuk keterampilan tubuh, dan wajah ayu lagi gebu, wanita sanggup berbelanja besar, dan mudah terpujuk dengan iklan-iklan baik di lebuh raya atau yang disiarkan dalam pelbagai media.

Jarang sekali saya melihat iklan atau promosi produk yang ditujukan khas untuk lelaki. Kalau ada pun iklan khusus lelaki bukanlah dalam bentuk poster raksasa di lebuh raya.

Iklan untuk lelaki biasanya dipasang di jalan-jalan kampung. Iklan jenis ini tidak memerlukan model lelaki, cukup sekadar ditulis atas papan lapis, dan ditampal pada batang pokok, atau ditulis menggunakan cat hitam pada tembok.

Perkataan yang digunakan pun mudah difahami. Contoh iklan: ‘URUT UBAH SAIZ, TEL 019-435xxxx.’ Hanya lelaki berkenaan yang faham saiz apa yang hendak diubah!

Sebenarnya sifat semula jadi wanita yang gemarkan kecantikan dan penjagaan tubuh, memberi manfaat besar kepada lelaki. Wanita mengambil pelbagai makanan kesihatan dan menggunakan alat solek untuk menyerlahkan keayuan.

Apabila wajah ayu, tubuh gebu, yang untung adalah lelaki. Almaklumlah, suami mana tidak gembira melihat isteri sentiasa jelita dan mengiurkan. Kekasih pun senang hati apabila makwenya cantik setiap masa.

Tetapi yang paling beruntung dan mendapat manfaat maksimum ialah para usahawan yang mencipta dan memasarkan produk-produk kecantikan dan penjagaan tubuh, lebih-lebih lagi produk yang menepati @ patuh syariah.

Seperti yang kita ketahui telah muncul usahawan-usahawan wanita yang berjaya mencipta nama dan branding kerana memasarkan produk yang ditujukan khas untuk wanita, termasuk muslimah.

Ramai yang bergelar jutawan dengan produk kecantikan, makanan kesihatan, fesyen, termasuk tudung bawal. Usahawan dan jutawan ini tidak kedekut membelanjakan sejumlah wang yang besar – RM juta-juta – memasang iklan di lebuh raya dan lain-lain media.

Dengan iklan-iklan tersebut dan sikap wanita yang suka cantik lagi sihat, usahawan berkenaan memperoleh pulangan lumayan. Semakin berkesan produk yang digunakan pelanggan, semakin meningkat pendapatan pengusaha.

Pendek kata, usahawan suka, wanita suka, lelaki pun suka. Sama-sama suka. Orang putih kata win-win situation.

Menurut kaji selidik J. Walter Thomspon (JWT) yang dikeluarkan pada September lalu, seperti yang dilaporkan sebuah portal berita The Malaysian Insight, wanita muda beragama Islam di Asia Tenggara menjadi tumpuan pemasaran.

Ini kerana mereka adalah kumpulan berpengaruh dalam gaya, fesyen, pelancongan, kemampuan yang baik terhadap teknologi dan keusahawanan tetapi masih patuh syariah.

Kajian yang dilakukan itu meliputi golongan wanita daripada generasi milenial yang sebahagian besarnya berusia 18-39 tahun (77%) dan lebih 40 tahun (23%).

Di  Malaysia, 60 % daripada 30 juta penduduknya beragama Islam dan menyaksikan 24% muslimah di negara ini memilih untuk membeli barangan seperti baju atau kosmetik secara mingguan dan 58% membelinya setiap bulan.

Dalam bab ‘nyoping-menyoping’ orang perempuan jauh lebih bijak dan kreatif berbanding lelaki. Kalau tidak percaya pergilah ke pasar raya dan perhatikan siapa yang melakukan kerja-kerja memilih dan membeli.

Isteri biasanya yang melakukan kerja-kerja leceh itu. Dia yang meneliti pelbagai jenama dan harga barangan, kemudian mengembil dan memasukkan ke dalam troli.

Dia juga yang memilih barang-barang dapur seperti bawang, cili, kunyit. Dia yang lebih tahu ayam sejuk beku atau ayam baru disembelih, dia lebih faham buah mana baru tiba, buah mana yang hampir busuk. Hatta jenis telur pun dia lebih tahu dari orang lelaki.

Ada pun orang lelaki @ suami hanya tahu menolak troli. Cuma pada hemat saya seterror-terror orang perempuan memilih dan membeli, kuasa di kaunter pembayaran tetap di tangan lelaki. Belanjalah walau dua tiga troli, sekiranya suami enggan membayar, semua yang dibeli itu tidak boleh dibawa pulang.

Mengenai bab pembelian untuk kecantikan dan penjagaan tubuh, orang lelaki tidak tahu apa-apa. Mana lelaki kisah dengan lotion pelembab, cecair itu, cecair ini untuk cuci muka. Alis mata, perapi rambut, pelembut kulit, bla, bla, bla, orang lelaki tidak ambil tahu.

Orang perempuan yang lebih teliti dalam hal-hal seperti ini. Mereka malas bertanya pada suami yang selalu buat dhek. Lebih mudah merujuk kepada iklan-iklan yang mendakwa macam-macam.

Secara peribadi saya tidak kisah sangat dengan sekian banyak ubat, makanan kesihatan dan lain-lain peralatan penjagaan tubuh yang dibeli dan digunakan oleh wanita. Apa salahnya dia hendak menjadi cantik.

Cuma, kena pilih benda yang betul-betul sesuai dengan tubuh kita. Jangan main beli dan makan sahaja. Sebab sudah terbukti ada ubat, lotion dan makanan kesihatan dan lain-lain yang tidak sesuai; apabila digunakan mendatangkan mudarat kepada wajah dan tubuh.

Boleh beli, boleh cuba guna, tetapi kena hati-hati!

sumber : Majalah Keluarga Jan-Feb 2018