Berita

Wajah Isteri Cantik Masa Buat Panggilan Video – Suami

Share

Siapa sangka panggilan video menjadi tatapan akhir buat seorang suami setelah isterinya disahkan meninggal dunia setelah ditemui lemas.

Kejadian meruntun jiwa itu menjadi khabar duka buat lelaki ini setelah setelah beberapa seketika panggilan ditamatkan.

Memetik laporan Sinar Harian Abu Mansur Ahmad Musa, 43, berkata, panggilan video yang diterima daripada isteri Siti Fatimah Jaafar, 33, pada jam 5 petang itu merupakan panggilan video pertama dibuat isterinya dan wajahnya berseri-seri.

Katanya lagi, wajah isterinya kelihatan begitu cantik ketika panggilan video itu.

“Saya pelik dia tidak pernah buat panggilan video sebelum ini. Saya sempat usik isteri, minta dia ucap ‘I love you’ tetapi dia malu.”

“Namun beberapa minit kemudian, anak saudara hubungi saya beritahu, isteri dan anak saya lemas. Saya bergegas dari rumah kami di Ulu Tiram ke pantai,” katanya.

Sebelum itu, Siti Fatimah Jaafar, 33, dan anak saudaranya Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13, dilaporkan lemas manakala empat lagi terselamat selepas mereka mandi di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai pada petang Selasa.

Abu Mansur yang juga peniaga dalam talian memberitahu dia bersama isteri dan tiga anak berusia 12 hingga 8 tahun serta kira-kira 20 ahli keluarga pergi ke chalet di Pantai Bayu Impian sejak Isnin untuk bercuti.

Bagaimanapun, Abu Mansur terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil barang perniagaan di rumah mereka pada tengah hari Isnin.

DETIK CEMAS

Menceritakan kisah tragis kejadian terbabit, Abu Mansur berkata, isterinya sedaya upaya menyelamatkan anak lelaki kedua mereka berusia 10 tahun yang dipercayai lemas terlebih dahulu.

“Tetapi selepas anak selamat, isteri saya pula tidak dapat diselamatkan dan ditemui tidak sedarkan diri.

“Saya cuba menenangkan anak sulung dan meminta anak saya menerima takdir Ilahi ini. Buat masa keadaan anak kedua di Hospital Kota Tinggi stabil dan telah dipindahkan ke wad perubatan biasa,” ujarnya.

PESANAN TERAKHIR JAGA ANAK AUTISME

Dalam pada itu, Abu Mansur memberitahu isterinya ada berpesan kepada anaknya agar menjaga adik bongsu yang merupakan anak kurang upaya (OKU) autisme.

“Sejak beberapa minggu lalu, isteri saya akan menangis berdoa dan berpesan kepada dua lagi anak lelaki kami agar menjaga Khalifah yang merupakan anak bongsu kami.

“Anak-anak dipeluk erat isteri selepas selesai solat berjemaah. Biasanya selepas kami sekeluarga solat berjemaah pada waktu malam,” katanya.

Abu Mansur memberitahu jenazah isterinya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiram.

Sumber: Sinar Harian