Di Malaysia, kita menjulang pelajar yang memperoleh semua A di dalam subjek ibarat raja. Pandangan stereotaip ini memberi impak kepada satu bentuk budaya yang mana ibu bapa hendak anak mereka memperoleh semua A sebagai penanda aras atau definisi lain untuk berjaya. Sedar tak sedar, pertandingan antara ibu bapa dah lama berlaku dalam masyarakat kita. Anak siapa paling cepat dan pandai baca. Anak siapa yang boleh menghafal dengan sempurna. Anak siapa boleh jawab matematik dengan pantas. Anak siapa dapat straight A dalam peperiksaan. Nombor berapa dalam kelas. Sukan menang ke tak? No 1 ke 2?
Hukum mudah inilah menjadi fahaman dan pegangan bangsa Malaysia setelah sekian lama. Dulu boleh mengira 1 hingga 20, sekarang sampai tidak terkira bintang yang dikira. Dulu boleh hafaz Al-Fatihah sahaja, sekarang surah pendek lain dalam minda. Dulu boleh berjalan, sekarang mampu berlari sampai tak terkejar kita.
Bahan eksperimen
Hazhari Ismail, Pensyarah merangkap Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) mengakui ramai ibu bapa yang berlumba-lumba untuk memastikan mereka menang dengan persaingan antara rakan-rakan dan boleh menayangkan trofi ‘anak cepat membaca seawal 3 tahun’.
“Ini kesalahan ibu bapa, meletakkan anak-anak sebagai satu bentuk bahan uji kaji untuk eksperimen mereka sendiri. Jika kita bereksperimen, kadang-kala tujuan dan objektif eksperimen tidak tercapai. Maka, kita boleh melakukan eksperimen sekali lagi buat kali kedua, ketiga dan seterusnya. Namun, anak-anak ini jangan disamakan. Kita menggadaikan masa depan mereka yang tidak boleh diulang.
“Apalah gunanya jika anak bijak dalam perkembangan ilmu, tetapi tidak boleh mempercayai ibu bapa kerana sejak kecil asyik berenggang? Maka, jika kelas tambahan itu membabitkan aktiviti interaksi ibu bapa dan anak-anak, ia digalakkan. Tapi untuk seawal 2 tahun, ceriakanlah hari mereka di rumah, boraklah dengan mereka, rekreasi bersama dan sebagainya merupakan aktiviti terbaik sebagai cerminan seorang ibu bapa yang baik.
Apabila bercakap mengenai kelas tambahan, ia mempunyai definisi yang berbeza. Jika kelas tambahan itu merujuk kepada pendedahan skil seperti bermain piano atau instrumen muzik yang lain, atau kelas seni mempertahankan diri dan aktiviti fizikal yang lain; maka itu amat digalakkan. Atas dasar kelas seperti ini rata-ratanya tiada di sekolah. Menjadi kebimbangan hari ini ialah kelas tambahan yang diberikan seperti kelas membaca dan menulis di peringkat awal kanak-kanak sesuatu yang tidak perlu. Ia masih awal.
“Cadangannya, di peringkat pra sekolah atau tadika, mereka hanya diperkenalkan atau didedahkan konsep membaca dan menulis atau pra-membaca dan pra-menulis. Contoh aktiviti pra-menulis seperti melantunkan bola yang bertujuan untuk meningkatkan daya koordinasi tangan dan mata. Maka, apabila kanak-kanak bermula untuk memegang pensel dan menulis nanti, adalah mudah bagi mereka membiasakan diri. Atau pun menyambungkan titik-titik yang membentuk sebuah lukisan atau tulisan yang bermakna. Ini sepatutnya didedahkan kepada anak-anak. Malangnya, ibu bapa masih tidak faham,” ujar Hazhari lagi .
Ibu bapa guru pertama
Kita tidak mahu melahirkan anak-anak bersifat robot, tiada jiwa dalam segenap ilmu yang dipelajarinya. Mereka perlu diberikan pembelajaran yang bersifat ‘welcoming’ anak-anak ini sedar menimba ilmu bukan suatu paksaan. Teringat saya akan cara Nabi Muhammad SAW menyarankan ibu bapa mendidik anak-anak untuk bersolat. Hanya seawal 7 tahun, kanak-kanak perlu didedahkan dan diajar untuk bersolat, dan selepas tiga tahun barulah mereka berhak untuk dihukum jika tidak menunaikan solat.
Tempoh 3 tahun ini Islam melihat sebagai tempoh untuk kanak-kanak mencuba,menerima, menghayati ilmu yang baru. Perkembangan seawal 7 tahun pada zaman nabi ketika dulu tidak pernah berubah di telan zaman, sama seperti kanak-kanak 7 tahun sekarang. Jadi, benarlah kita perlu percaya perkembangan anak itu secara kolektifnya adalah sama. Ibarat sebuah gelas yang berisi air, sebagai ibu bapa kita perlu mengisi air sedang elok dengan saiz gelas. Jika tidak, air akan tertumpah, dan mengotorkan sekeliling. Kita tidak mahu melihat anak-anak kita membesar sebagai insan sebegitu.
Di dalam kamus psikologi kanak-kanak, galakkan atau (reinforcement) adalah benda yang perlukan untuk membentuk tingkah laku kanak-kanak yang positif. Galakkan boleh jadi pelbagai seperti pelukan, ciuman dan pujian. Kadang-kadang ibu bapa tidak perlu gunakan wang ringgit untuk mengumpan kanak-kanak supaya berlaku baik. Tidak perlu memberi hadiah apabila mereka berjaya menghabiskan sesuatu tugasan.
Ibu bapa model terbaik
Seterusnya ialah penglibatan ibu bapa. Ambil tahu apa yang anak-anak lakukan di sekolah. Letak kepercayaan kepada anak-anak tidak bermaksud memberikan mereka kebebasan sepenuhnya, tetapi tegas dan meletakkan disiplin sebagai asas utama. Jadilah pendengar yang baik kepada mereka. Kalau bukan kita, nescaya mereka akan mencari kawan-kawan dan ia akan berlanjutan sehingga peringkat dewasa di mana tiada lagi ruang untuk ibu bapa di hati mereka. Menjadi model yang terbaik di hadapan kanak-kanak, juga di belakang mereka.
Guru pertama sepatutnya ibu bapa. Bukan guru di sekolah. Jangan serahkan bulat-bulat kepada guru tentang pendidikan anak-anak. Masuk campur. Biar anak-anak rasa dihargai. Tanya apa mereka belajar di sekolah ketika berada di rumah. Benarlah kanak-kanak itu ibarat kain putih. Ibu bapa yang mampu mencorakkannya. Saya suka konsep kerja rumah yang sebenar. Bukanlah kerja rumah seperti membuat latihan matematik lima muka surat, atau menulis huruf tertentu berulang kali, tapi kerja rumah yang dimaksudkan adalah kerja rumah bersama ibu bapa. Kerja rumah yang melibatkan ibu bapa dilihat mampu meningkatkan kepercayaan kanak-kanak dan mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak
Kanak-kanak itu berbeza, ada yang ketinggalan, ada yang belajar kerana terpaksa. Inilah yang dikatakan drilling. Kanak-kanak mendengar sahaja dan tiada interaksi antara murid dan guru. Mereka diajar teknik menghafaz dan apabila selesai menghafaz, kita katakan mereka sudah berjaya. Sedangkan, mereka tidak faham apa yang mereka pelajari dan tidak menggalakkan mereka untuk terus berfikir.
Anak bijak
“Bayangkan jika anak-anak terpaksa belajar subjek-subjek yang lain, sedangkan kemahiran asas masih belum dikuasai sepenuhnya. Ia akan membantut dan memburukkan lagi perkembangan mereka dan menutup niat untuk terus belajar. Tiada siapa suka konsep memaksa. Jadi, kenapa kita perlu memaksa? Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
“Begitu juga dengan konsep pengasingan kelas. Di peringkat tadika sampai lah ke peringkat universiti. Pengasingan kelas ini terbahagi kepada dua (2) bagaimana ia boleh diasingkan,iaitu secara choronological grouping (Umur) dan vertical grouping (perkembangan). Selalunya, dari peringkat prasekolah sehinggalah ke menengah, kita dibiasakan dengan konsep choronological grouping iaitu pengasingan mengikut umur. Kemudian, barulah kita guna vertical grouping iaitu kita asingkan ikut development (kepandaian).
Justeru, sebagai ibu bapa, anda mempunyai kuasa untuk menghentikan segala dogma yang mana anak yang bijak adalah anak yang memperoleh semua A di dalam semua subjek. Ini adalah pandangan yang tidak bijak dan tidak benar. Abaikan semua persepsi masyarakat, tidak perlu membanding bezakan pencapaian anak-anak kita dengan anak orang lain, juga di antara anak-anak kita sendiri. Percayalah, setiap anak itu berbeza. Maka, bukan tugas kita untuk membeza-bezakan mereka.