Wahai anak-anak ku, usah sedih gundah, zaman kecil nan indah akan kembali! Sebagai ibu bapa kami sujud syukur. Zaman kanak-kanak kami akan dirasai kembali oleh anak-anak kami pula.Tiada lagi silibus yang sukar buat anak-anak. Bahkan pembelajaran lebih kepada pembangunan emosi dan yang tidak terlalu memberi penekanan peperiksaan semata-mata. Selamat datang kedunia baharu anak-anak ku. Moga kalian menjadi genarasi yang lebih kreatif dan inovatif, bukannya anak-anak robot semata!
Begitu juga dengan perkongsian bapa ini yang melahirkan rasa syukur dengan pemansuhan peperiksan bagi darjah satu hingga 3. Malah sungguh mengejutkan, beliau berkongsi cerita bahawa ada dikalangan temannya mempunyai anak yang mengalami tekanan perasaan sehingga ada cubaan bunuh diri pada usia lapan tahun ekoran tekanan perasaan dengan bebanan pembelajaran! Ikuti perkongsian Khairul Hakimin Muhammad yang sungguh bermanfaat ini.
_________________________________________________________________
Semalam kami terus sujud syukur. Walau ini baru sahaja bermula, namun ianya akan membawa kepada perubahan besar untuk anak-anak. Balik sahaja dari UK baru-baru ini, saya terus berjumpa dengan rakan-rakan yang rapat. Kami bersembang tentang dunia anak-anak yang semakin membesar dan hilang dari pandangan mata ibu bapa.
Dalam ramai-ramai kami, ada seorang yang masih dibelenggu dengan anak yang sentiasa sebut “nak terjun dari tingkat 4! Mama jahat! Baik abang mati je! Abang dah tak tahan setiap malam nak kena belajar!”
Anak sulongnya lelaki dan sudah 2 kali percubaan bunuh diri. Walau umurnya baru 8 tahun (darjah 2). Beliau ini sudah mula dihantar ke tuisyen pada umur 4 tahun untuk mahir bercakap, menulis dan mengira. Kemudiannya masuk ke darjah 1 dengan penilaian kelas dan kemudian mendapat kelas nombor 1.
Pelajaran, ya terbaik. Boleh kata semua subjek 100% dan hampir 100% namun masih dapat nombor 5-6. Dan itu yang menjadikan beliau sangat stress. Siang kelas, petang mengaji, malam tuisyen dan nak juga kena siapkan homework bagai.
BUKAN SALAH GURU ATAU IBU BAPA
Ini bukan salah guru. Bukan juga salah ibu bapa. Bukan juga salah sesiapa. Namun anak-anak hari ini tidak berjumpa dengan suasana bermain seperti zaman-zaman kita dahulu.
Kita dulu, darjah 1-2 baru nak belajar mengira, membaca dan menulis. Lambat cepat ok sahaja, cikgu tak marah dan tak bising. Selagi ada improvement, ianya sudah sangat bagus.
Hari ini tidak. 6 tahun jika masih tidak boleh membaca, budak itu akan dilabel sebagai slow. Sama ada oleh rakan sekelas atau ibu-bapa yang lain.
“abang” yang merupakan anak kawan saya ini bukan budak yang lambat. Bukan juga jenis lembab dan sebagainya. Weekend, ayahnya dah susun untuk masuk kelas bola dan memanah.
Ada sahaja aktivitinya. Namun, semua itu berstrategi sangat. Dan anak-anak ini mula jadi robot terlatih untuk menjadi seseorang.
Sejak anak beliau sendiri nyaris terjun dari tingkat 2 dan berjaya diselamatkan oleh guru-guru, beliau ubah segalanya. Biarkan anaknya tak pergi lagi ke tuisyen, pastikan mengaji sebelum jam 5.00 petang dan memastikan juga anaknya pergi bermain dan balik sebelum maghrib.
Apabila dah penat bersukan dan bermain di padang, anaknya akan tidur awal dan bangun awal. Semuanya ok pula.
Hasilnya, anak beliau lebih gembira dari biasa. Walau sesekali masih stress dengan homework yang agak banyak. Namun perlahan-lahan anaknya semakin ok.
TAK CEMERLANG TAK APA NAK!
Baru-baru ini, saya sendiri lihat pencapaian ‘Ain di sekolah. Tak cemerlang mana. Nombor pun 11 dari 14. ‘Ain datang duduk sebelah saya muka macam takut. Saya peluk dia (kerana dah tahu keputusan itu dari mama beliau) dan cakap, “ok ja, ada banyak masa lagi untuk ‘Ain belajar dan bermain! Kita pergi beli mainan okeh!” lalu dia senyum dan cium pipi saya.
‘Ain takut sangat abah marah. Kawan ‘Ain, dia kata ayah dia selalu tanya kenapa tak boleh jawab itu tak boleh jawab ini. Abah tak marah pun ‘Ain,”
Kalau tidak kerana banyaknya kelas saya pergi dan beberapa buku saya baca tentang pembentukan anak-anak semasa di sekolah dan rumah, saya boleh juga jadi marah. Hari ini, saya tak peduli tentang kata-kata orang lain. Ini anak saya, saya besarkan, saya yang bayar itu ini dan saya yang perlu bertanggungjawab sekiranya dia tak boleh itu tak boleh ini. Bab orang nak kata anak kita slow dan sebagainya, lantakkan. Yang penting dia happy dengan kita.
Saya masih ingat emak abah saya juga begitu. Mereka antara yang tak marah dengan keputusan peperiksaan anak-anak. Mereka nak anak-anak mereka happy belajar. Happy balik rumah dan happy dengan apa yang anak-anak lakukan.
Selagi ianya dalam hukum agama, dalam hal syarak, menjaga batas dan adab, ianya ok. Buat sahaja.
Asas pertama dalam apa-apa hal pun, anak-anak akan cari ibu bapanya. Stress anak-anak, depress anak-anak di alam persekolahan, mereka hanya mahu diselamatkan. Dan yang perlu jadi hero dalam hal ini ialah ibu bapa.
Jika ibu bapa pun sama menyalahkan, membodohkan anak-anak dan memarahi mereka sampai mereka tak tahu lagi kemana nak pergi, maka mereka akan mula fikir “baik mati,”
WAHAI IBU BAPA, MARILAH KITA MUHASABAH DIRI
Kawan-kawan yang baik,
Zaman ini, orang kongsi kejayaan anak-anak di media social. Iya, 8A, 10A, semua A. kita pun buat caption “alhamdulillah anak saya cemerlang. Semoga cemerlang juga diakhirat,”
Benar. Itu semua benda bagus untuk kita kongsi. Namun content yang betul ialah bercerita bagaimana anak kalian itu boleh jadi begitu. Contohnya,
“Alhamdulillah anak saya dapat semua A. Beliau memang jenis yang focus dalam kelas. Balik sahaja ke rumah, terus ulangkaji, kemudian tidur sekejap dan pergi kelas mengaji. Balik sahaja kelas mengaji. Dia akan bermain badminton dengan ayah atau adik beradiknya yang lain. Malamnya, sekadar ulangkaji dan homework 1 jam sahaja. Maksimum 9.30 malam sudah tidur.
Antara amalan beliau juga ialah suka tolong saya. Bangun pagi kadang-kadang siapkan itu ini bantu saya. Mungkin itu juga keberkatan yang Allah beri kepadanya.”
Jika begini postingnya, mungkin ia lebih lembut berbanding mengucap tahniah kepada anak sendiri di media social, padahal boleh sahaja ucap cakap depan-depan atau memeluknya erat.
Perkongsian yang silap di Group Whatsapp Lorong, perumahan, PIBG, Facebook dan Instagram ibu bapa boleh jadi menyebabkan ibu bapa lain akan stress. Dan stress itu akan dicampakkan ke wajah anak-anak. Dan anak-anak yang akan jadi mangsa.
TIADA LAGI PEPERIKSAAN BAGI DARJAH 1,2 DAN 3
Dan semalam,
Apabila YB Menteri, Dr. Maszlee mengatakan bermula 2019 tiada penilaian secara peperiksaan kepada anak-anak darjah 1-3, ya Allah saya bersyukur sangat. Ianya sesuatu yang saya gembira. Sudah-sudahlah kita menilai anak-anak dengan nombor dan ranking.
Biar mereka membesar dengan exploration yang natural. Tiada memaksa namun kena bertegas dalam hal agama, budaya, adab dan Susila. Bab belajar, bab stress peperiksaan, saya fikir bukan masanya untuk mereka hadap pada umur yang begini.
Dunia kanak-kanak patut dijalani dengan kebahagiaan. Atau kita sebut sebagai happiness. Mana ada ibu bapa yang nak tengok anaknya tak senyum pada 1 hari penuh. Ia adalah lambang kegagalan. Dan jika ia mekar di wajahnya, Ia akan memberi keindahan kepada hati ibu bapa dan semestinya wajah senyum itulah yang kami semua bawa ke mana-mana.
Jika anak buat silap, dia mesti belajar untuk baiki. Bukan sekadar dia dimarahi namun dididik untuk repair dan tidak ulangi.
Dan banyak lagilah modul kemanusiaan yang kita perlu terap kepada minda anak-anak ini.
Wahai anak-anak,
Perjuangan abah dan mama, serta guru-guru semua belum selesai. Dapat ubah system Pendidikan negara adalah sesuatu cabaran besar ya amat yang akan ditempuhi dalam waktu yang panjang. Ini adalah hadiah bagi generasi akan datang. Yang mana kita semua kena setuju:
“didikan untuk anak-anak ialah memberikan mereka rasa gembira di sekolah, bahagia di rumah dan berimaginasi semasa berfikir serta kreatif semasa bermain. Itulah dunia mereka dan semua itu mesti dalam bentuk semulajadi yang dibentuk secara bertingkat dengan suasana yang penuh warna indah.”
Begitulah.
Banyak lagi kerja nak dibuat demi kalian!
Khairul Hakimin Muhammad,
Menyayangi kalian.