Virus Polio, Siapa Yang Perlu Risau? Dr Ni Jelaskan!

Share

Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita ‘kembalinya’ serangan virus polio setelah puluhan tahun negara kita diisytiharkan bebas virus tersebut.

Tersebarnya berita ini, ramai ibu bapa bimbang, gusar dan takut tentangnya.

Menjelaskan lagi hal ini, ayuh kita hadam perkongsian doktor ini.

Berkenaan isu penyakit Polio yang telah muncul kembali di Malaysia tu, ia boleh menyebabkan kelumpuhan otot, termasuk otot pernafasan. Ia boleh menyebabkan kecacatan kekal serta kematian.

.

Jika anak kalian dah berumur 5 bulan ke atas dan ambil imunisasi seperti dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan(NIP), maka tak usah risau. Anak kalian dah terlindung, kerana telah menerima vaksin IPV iaitu pelalian terhadap penyakit polio.

Siapa yang perlu risau?
​​​​​​
Anak-anak yang belum atau tidak menerima lagi IPV, serta individu yang mempunyai imuniti yang rendah (pesakit kanser, penghidap penyakit kronik, dsb)

Bagaimana nak kurangkan risiko jangkitan polio pada golongan ini?

Risiko dapat dikurangkan dengan memastikan semua individu yang tidak mempunyai apa-apa halangan kesihatan, untuk mengambil vaksin IPV. Lebih ramai ambil, lebih rendah risiko penularan polio.

Jika ada antara kalian yang tiada halangan, tetapi terlepas daripada mengambil pelalian terhadap polio ni, maka boleh ambil segera. Diingatkan, polio boleh menyebabkan kecacatan kekal dan kematian.

Doktor, tapi kan kes polio terkini tu di sebabkan “vaccine-derived-polio-virus”. Maknanya virus tu datang dari vaksin polio, kan?

Ya, benar. Namun, perlu difahami 3 perkara ini:

1. Perkara seperti ini hanya akan terjadi jika liputan vaksinasi adalah rendah (<95%). Mudah kata, jika ramai yang tak ambil vaksin polio.

2. Mereka yang ambil pelalian terhadap polio, terlindung daripada jangkitan. Mereka yang tak ada pelalian yang mudah diserang polio.

3. Virus dari vaksin yang menyebabkan jangkitan ini berasal dari vaksin OPV(oral polio vaccine). Malaysia dah tak guna OPV. Kita dah lama beralih ke IPV.

Pendek kata, jika seseorang individu ambil IPV, InsyaAllah individu terlindung dari polio, dan rendah risiko menyebarkan ia kepada orang lain.

Semoga kita semua dapat jalankan tugas masing-masing dalam membasmi semula penyakit polio ini dari Malaysia.

sumber : Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan