Tidak dinafikan, penangan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada tahun 2020 banyak mengubah kehidupan ramai. Ada yang dulu menjalani hidup penuh kemewahan, bertukar sederhana, ada yang bertukar bidang kerja semata untuk survive selepas dibuang dari syarikat dan ada juga yang membuat pelbagai aktiviti di laman sosial untuk membina nama dan seterusnya menjadikan sebagai platfrom rezeki.
Begitu juga yang dilakukan oleh seorang pemuda, Marham Mohd Yusof yang memilih untuk pulang ke kampung halaman di Terengganu buat selama-lamanya. Walaupun sudah menetap di Kuala Lumpur selama 12 tahun, namun keputusannya itu ternyata tepat.
Senang di sapa sebagai Mar, dia memilih untuk hidup dalam keadaan penuh sederhana bersama ibunya, Asia Ngah, yang kini berusia 77 tahun.
Semenjak itu, bermulalah kehidupannya sebagai seorang youtuber. Ramai yang menggemari content yang dipaparkan kerana berkonsepkan tradisional dan desa. Malah penampilan ibunya juga dilihat sebagai pelengkap pengisian videonya itu.
Bercakap mengenai cabaran yang dihadapi sebagai content creator, pemuda ini tidak lokek untuk berkongsi pengalamannya.
“Sudah tentu saya berdepan cabaran pada awalnya. Saya minta dengan Allah setiap hari. Saya juga buat satu teks doa, saya selit dalam kitab mak. Saya minta mak baca setiap hari lepas solat.
“Alhamdulillah, Allah makbulkan banyak impian saya. Video-video saya diterima ramai. Saya juga menerima tawaran untuk kolaborasi termasuklah dengan jenama antarabangsa seperti McDonald’s dan Yakult,” ujarnya.
Tidak hanya fokus di YouTube, Mar juga bijak mencuri peluang dengan meneroka platform baharu sehingga dia meraih lebih setengah juta pengikut di TikTok.
Selain populariti serta tawaran kerjasama daripada pelbagai jenama, Mar berkata dia sangat terharu apabila diberi peluang untuk mengikuti misi kemanusiaan di Syria bersama agensi bukan kerajaan (NGO) MyFundAction pada awal tahun ini.
“Saya dah lama simpan hasrat nak pergi misi kemanusiaan. Terdetik di hati, Alhamdulillah Allah makbulkan. MyFundAction ajak saya untuk terlibat pergi ke sana bersama pasukan mereka. Di sana, kami salurkan bantuan dan turut memasak gotong-royong untuk golongan asnaf.
“Ketika di sana, saya sedari bahawa kita di Malaysia merupakan tanah limpahan makanan. Manakala rakyat di sana makan ubi kentang rebus je. Mereka susah nak jumpa sumber protein. Ikan dianggap sebagai makanan mewah. Di sana saya dapat belajar erti syukur dan belajar hargai tanah air sendiri.
“Walaupun saya duduk rumah kampung je di Terengganu, tapi masih selesa. Mereka lagi daif. Paling sedih, sejurus saya balik Malaysia, banyak tempat di sana runtuh akibat gempa bumi. Bila ingat balik, saya agak terkesan dengan kejadian itu,” ujarnya lagi.
Mengenai sambutan raya kali ini, Mar berkata dia sedang merancang untuk menganjurkan majlis rumah terbuka untuk kenalan, sanak-saudara dan para pelanggannya.
“Raya macam biasa, ringkas je kami sekeluarga. Cuma tahun ini lebih istimewa sebab saya nak buat open house yang lebih besar berbanding tahun lalu.
“Tahun ni nak jemput semua keluarga belah ayah, mak, kawan sekolah serta client. Saya rancang untuk buat outdoor. Mungkin di perkarangan rumah atau di pantai.
“Apa-apapun, saya nak ucapkan Selamat Hari Raya buat semua peminat. Bergembiralah di hari raya, enjoy dan luangkan masa dengan keluarga dan kawan. Jangan ada rasa sedih.
Mar turut menzahirkan harapan agar video-video masakan tradisional serta kehidupan kampung bersama ibunya akan terus mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dan membuka mata ramai bangsa lain untuk mengenali keaslian khazanah budaya kita.
[TIPS]
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club