Ustazah Ini Ceritakan Detik Cemas Diserang Perompak. Begini Caranya Bila Hadapi Situasi Genting Ini, Memang Mendebarkan!

Share

Sesungguhnya setiap yang berlaku ada rahmat disebaliknya. Anggaplah setiap ujian yang dihadapi dalam kehidupan dan cabaran adalah ujian buat kita. Sebagaimana yang dihadapi oleh seorang ustazah ini yang berdepan detik mencemaskan apabila keretanya diserang dan dikejar oleh perompak ketika menuju ke tempat ceramah.
Mujur gerak hati untuk mengunci semua pintu kereta menyelamatkannya daripada menjadi mangsa rompakan.

Beliau yang masih trauma dengan kejadian pada sabtu malam lalu, turut berkongsi tip apabila menghadapi saat-saat kecemasan ini. Ikuti perkongsian Ustazah Asma Harun  yang menceritakan kisah benar yang dialaminya sendiri ketika diserang dan dikejar perompak. Moga perkongsian ini menjadi iktibar buat kita supaya berhati-hati dalam apa jua keadaan.


DISERANG DAN DIKEJAR PEROMPAK

Malam tadi, ia benar-benar berlaku ke atas saya, tidak pernah terfikir dan terbayang.

لا حول ولا قوة الا بالله

Tiada Daya dan Upaya. Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah sebaik-baik pelindung.

Lokasi kuliyah daripada rumah tak jauh, dalam 5km shj. lebih kurang jam 8.20mlm, dan memang ketika memandu malam tadi beberapa kali saya tekan lock semua pintu, lebih daripada biasa, Allah dah beri rasa tu.

Melalui satu selekoh biasa, sekilas pandang ada perasan sebuah motor dan pemandu di atasnya tepi jalan. Mungkin dari situ saya diekori. Sampai penghujung jalan saya perlu menunggu sebuah kereta dihadapan untuk membelok ke kanan. Jalan ni memang sibuk dan memakan masa untuk dapat membelok.

Allahu Akbar. Seorang lelaki badan tegap bertopi keledar gelap berdiri disebelah pintu penumpang sebelah kiri menarik-narik pintu. Dia turun daripada motor. Saya tak nampak samada seorang atau berdua. Tiba-tiba ada kereta di belakang dan dia cepat-cepat kembali ke motornya.

Ketika itu hanya rasa takut dan kaku. Mengambil masa yang lama untuk membelok ke kanan walaupun ada ruang. Akhirnya pedal minyak ditekan perlahan menuju lokasi dalam keadaan rasa yakin tidak diekori. Saya parking belakang sekali pada deretan kereta. Saya tak perasan suasana sunyi di situ. Itu satu kesilapan besar apabila kita dah menjadi target. Sepatutnya saya ke kawasan ramai orang atau ke balai polis berdekatan.

Saya kaku dan membatu, cuba tenangkan diri. Syukurnya saya tidak terus keluar. Tiba-tiba, ya Allah.. Saya nampak kelibat yang sama daripada belakang menerusi cermin depan sedang menuju ke arah kereta. Saya terus menekan hon sekuat hati, namun dia dengan laju datang dan menghempas kuat batang besi yang agak besar pada tingkap sebelah kiri.

Ketika itu, dengan sisa tenang dan kekuatan yang ada saya reverse, untuk mengambil ruang agar tidak melanggar kereta depan yang saya parking agak rapat. Terus minyak ditekan laju dan masuk mengejut ke kawasan kuliyah.

Syukur saya tidak melanggar sesiapa. Pandangan masa tu memang kabur. Gelap rasa semuanya. Rasa nak pitam dan adrenaline memang tahap maksimum. Ramai yang keluar untuk melihat apa yang berlaku kerana mendengar kuatnya dentuman pukulan ke arah cermin kereta. Allahu Akbar, cermin tu sedikitpun tidak pecah atau retak.

Allah.. Allah.. Allah.. Itu sahaja kalimah yang mampu keluar. Allah ya Hafiz ya Muhaimin. Dialah sebaik-baik yang menjaga dan memelihara kita. Kita sangat lemah dan tidak berdaya sedikitpun.

Sebenarnya sangat jarang saya keluar malam seorang diri, biasanya suami akan hantar dan jemput daripada lokasi kuliyah/ceramah. Namun malam tadi suami di Terengganu, balik emergency dan saya tetap perlu hadir jemputan yang dah lama diatur. Saya percaya ramai wanita perlu melalui keadaan seperti ini lagi2 yang tinggal berjauhan dengan suami. Moga Allah sentiasa melindungi kalian.

Nasihat dan beberapa tips

1. Wanita yang memandu seorang diri memang menjadi sasaran utama penjenayah, jangan sesekali rasa selesa kerana sudah biasa. Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Samada siang atau malam. Contohnya suri rumah yang hantar anak-anak ke sekolah, kerana anda mungkin akan pulang seorang diri, tak mustahil ada yang memerhati dan mengekori sehingga anda turun daripada kereta untuk diserang hendap.

2. Sebaik sahaja masuk kereta terus lock semua pintu. Walaupun jalan biasa atau lokasi yang dituju sangat dekat. Lock sahaja, ia percuma. Tapi mampu menyelamatkan nyawa dan harta.

3. Elakkan meletakkan handbag atau seumpamanya di tempat yang mudah dilihat terutamanya seat sebelah, namun handphone pastikan diletakkn di tempat yang mudah dicapai.

4. Jika diserang seperti saya di atas, bunyikan hon sekuatnya agak membantu, walaupun penyerang tidak lari tapi sekurangnya dia mula panic kerana kita menunjukkan tindakbalas. Memang selama ni saya set dalam kepala jika berlaku situasi begini saya akan tekan hon sekuatnya.

5. Ketenangan dan sedikit keberanian sangat penting. Ketakutan melampau, kelam kabut dan panic akan memberi kemenangan awal kepada penyerang. Saya mungkin sahaja tekan minyak dan melanggar kuat kereta depan, atau hanya menjerit ketakutan. Disinilah saya sedar betapa penting kita memberi bayangan awal kepada fikiran kita, jika berlaku begini akan buat begini. Dan saya memang kuat buat khayalan.

6. Jika anda dilanggar daripada mana-mana arah, jangan terlalu cepat turun daripada kereta untuk melihat kerosakan. Lagi pula jika tempat tersebut agak sunyi. Pelanggaran tersebut mungkin dirancang.

7. Bila sampai di lokasi atau di rumah jangan terus turun daripada kereta, contohnya untuk membuka pintu pagar dll. Pastikan semuanya selamat dan tiada sesiapa yang mengekori.

8. Ini sangat penting dan yang paling utama. Hakikatnya Allah ya Hafiz ya Muhaimin Yang Maha Menjaga dan Maha Mengawasi kita setiap saat. Bukan kecanggihan kereta atau keberanian kita bertindak. Maka jangan sesekali lupa untuk memulakan perjalanan dengan doa,

سُبْحَانَ الَّذِيْ سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِيْنَ. وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُوْنَ

Maksudnya, “Segala Puji dan Maha Suci bagi Allah, yang memudahkan (kenderaan) ini untuk kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. Dan sesungguhnya kami akan kepada Tuhan kamilah kami akan kembali (di hari Kiamat).

Surah Az-Zukhruf, Ayat 13-14

Tambahkan dengan zikir.. يا حافظ يا مهيمن 
Ya Allah Yang Maha Menjaga dan Maha Mengawasi, jaga dan awasilah perjalananku daripada awal hingga pulang kembali dalam kesejahteraanmu ya Salaam.

Ingat dan berharaplah kepada Allah سبحانه وتعالى semoga perjalanan kita selamat.

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ‌ۗ وَمَن يُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ يَہۡدِ قَلۡبَهُ ۥ‌ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Taghabun 64: Ayat ke-11)

Saya masih lagi terasa kesan trauma hingga saat ini. Tadi ada bawa kereta di siang hari. Bila ada motor yang nak melalui atau berhenti ketika di lampu isyarat. Debaran tu memang tak boleh dikawal.

Catatan pengalaman, 
Silakan share sebagai pengajaran dan panduan,

Asma’ binti Harun. 
27 Januari 2019

Kejadian berlaku 26 Jan 2019 jam 8.25mlm.