Ustazah Asma’ Harun Kongsi ‘Doa Pengasih’, Agar Kita Cinta Mencintai Kerana Allah

Share

Amalan berdoa adalah amat dituntut dalam agama Islam. Selesai sahaja kita menunaikan solat, eloklah untuk kiat berhenti sebentar dan menadahkan tangan untuk berdoa kepada Allah SWT. Antara amalan doa yang boleh diamalkan adalah mempermudahkan urusan seharian, doa untuk ibu bapa dan juga ‘doa pengasih’.

Sebut sahaja doa pengasih mungkin ramai yang memberi tanggapan yang salah. Sebenarnya amalan doa pengasih ini bagus untuk kita menambahkan rasa kasih dan sayang dalam hati sendiri untuk orang lain dan juga orang tertentu terhadap diri kita. Jadi, berikut merupakan cara amalan doa pengasih yang betul dikongsi oleh Ustazah Asma’ Harun.

AMALKAN “DOA PENGASIH” INI AGAR KITA MENCINTAI DAN DICINTAI KERANA ALLAH

Pagi ini kita sama-sama belajar tentang sebuah doa yang sangat indah, diajarkan oleh alim ulama untuk menambahkan rasa cinta dan sayang terhadap ahli keluarga sama ada ibu bapa kepada anak-anak, suami isteri, anak terhadap ibu bapa, sesama kawan, dan lain-lain.

Doa ini mudah dan ringkas, insyaAllah kita boleh hafal dan amalkan setiap hari selepas solat atau bila-bila waktu ketika berdoa. Iaitu:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمَ. اللَّهُمَّ صَلَّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. يَا رَحِيمُ يَا وَدُود، اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي/اجْعَلْنَا مَحْبُوبًا فِي قُلُوبِ __ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Wahai yang Maha Penyayang dan yang Maha Mencintai, jadikan saya/ jadikan kami disayangi di dalam hati __ (nama/panggilan) dengan rahmat-Mu wahai yang paling Maha Penyayang.”

 

Pada tempat kosong tersebut, sahabat semua boleh pilih untuk sebutkan nama atau panggilan yang diingini, contohnya:

1. Suami/isteri.

2. Ibu Bapa.

3. Anak.

4. Saudara-mara.

5. Kawan.

6. Guru-guru.

7. Orang-orang soleh.

Jangan risau, jika tidak mampu sebutkan dalam bahasa Arab maka boleh diucapkan dalam bahasa Melayu, Allah Maha Mengetahui segalanya. Paling penting kita gembira dan ikhlas dalam berdoa.

MasyaAllah, selain amalkan untuk diri, sama-sama kita ajarkan juga doa ini kepada ahli keluarga agar selalu membacanya. Bayangkan, suasana seluruh ahli keluarga mengaminkan doa ini ketika dibacakan selepas solat berjemaah bersama, diakhiri dengan bersalaman dan berpelukan sesama insan tersayang. InsyaAllah ia merupakan ikhtiar bagi kita membina keluarga bahagia, keluarga Syurga.

Semoga kita dapat beramal dan menjadi insan yang sentiasa berkasih sayang dan mendapat cinta yang Maha Penyayang.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun