Jika sebelum ini solat terawih kita akan lakukan di masjid. Hanya mengikut imam setiap hari. Kini berbeza semasa dalam tempoh PKP.
Ingin tahu penjelasan lanjut mengenai ibadah terawah di rumah. Ustaz Nur Mohamad Hadi jelaskan mengenai hal ini menerusi perkongsiannya di facebook miliknya.
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang dilipat gandakan rahmat kepada sekalian alam. Bagi mereka yang ingin kembali kepada Allah maka pada bulan ini dibuka seluas-luasnya pintu rahmat dan ditutup serapat-rapatnya pintu neraka.
Ramai dikalangan kita yang ternanti-nanti akan kehadiran bulan yang penuh dengan keberkatan dan kasih sayang untuk melakukan dan merancakkan lagi pelbagai ibadah. Antara kebiasaan yang dilakukan oleh masyarakat kita apabila tibanya Ramadhan ialah menunaikan Solat Terawih secara berjemaah sama ada di masjid atau di surau.
Solat Terawih ialah ibadah solat sunat yang dilakukan pada waktu malam di Bulan Ramadhan. Bermula waktunya selepas solat isya’ dan berakhir dengan masuknya waktu subuh. Dinamakan Terawih kerana orang yang melakukannya akan berehat selepas empat rakaat iaitu dua rakaat dua rakaat.
Bagi mereka yang mendirikan Solat Terawih maka ganjaran yang cukup besar disediakan Allah seperti mana di dalam sebuah hadis sabda Rasulullah :
Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.” [HR Muslim 759]
Menjadi persoalan yang amat penting ialah bagaimana cara untuk melakukannya dan apakah hukum meninggalkan bacaan zikir selepas dua rakaat atau empat rakaat solat terawih jika kita tidak mengetahuinya.
Maka disini DR HD akan menjelaskan secara mudah mengenai Solat Terawih yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dirumah.
PERTAMA : Kita perlu mengetahui dengan jelas hukum menunaikan Solat Terawih. Solat terawih hukumnya sunat mu’akad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut.
KEDUA : Solat Terawih boleh dilaksanakan secara berjemaah atau bersendirian. Berjemaah adalah lebih afdal. Namun jika menghadapi kesempitan untuk melaksanakannya secara berjemaah maka dibolehkan melaksanakannya secara bersendirian.
KETIGA : Solat terawih boleh dilaksanakan dalam jumlah lapan atau dua puluh rakaat diikuti dengan solat sunat witir. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat terawih sebanyak 20 rakaat tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat. Terpulang kepada masing-masing untuk menunaikan ibadah ini mengikut kemampuan dan keikhlasan diri sendiri terhadap Pencipta.
KEEMPAT : Solat terawih dilakukan dengan 2 rakaat 2 rakaat sehingga 8 rakaat atau 20 rakaat. Ini berdasarkan hadis nabi Sabda Rasulullah : Solat malam ialah dua rakaat, dua rakaat.[HR Bukhari 936]
KELIMA : Niat bagi solat Sunat Terawih dihati sewaktu takbiratul Ihram dengan niatnya berbunyi seperti ini: Sahaja aku solat sunat tarawih 2 rakaat imam/makmum kerana Allah.
KEENAM : Bacaan pada setiap rakaat. Pada setiap rakaat wajib membaca Surah Al-Fatihah ini kerana tanpa membaca Surah Al-Fatihah maka kita telah meninggalkan rukun dan bagi mereka yang meninggalkan rukun maka solatnya tidak sah. Selepas membaca Surah Al-Fatihah kita boleh membaca apa sahaja surah hafalan yang mudah bagi kita sama ada yang pendek mahupun panjang.
KETUJUH : Ketika selesai daripada mengerjakan 2 rakaat Solat Terawih yang pertama maka bolehlah berzikir seperti kebiasaan bagi mereka yang mampu ataupun bagi mereka yang tidak mampu dek kerana tidak menghafal atau tidak mengetahui bacaannya maka boleh sahaja berdoa atau berzikir dengan apa yang mereka tahu. Ini kerana bacaan-bacaan zikir itu bukan lah satu kewajiban yang harus dilakukan dan ianya tidak memberi sebarang kesan terhadap ibadah terawih yang kita lakukan.
KELAPAN : Selepas selesai mengerjakan Solat Sunah Terawih sama ada 8 rakaat atau 20 rakaat maka kita bolehlah pilih sama ada mahu terus melakukan Solat Sunat Witir atau dilakukan pada 2/3 malam nanti. Lafaz niat Solat Witir dihati ialah : Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat imam/makmum kerana Allah.
Dengan penjelasan di atas seharusnya tidak ada lagi alasan yang boleh kita berikan untuk tidak mengerjakan Solat Sunat Terawih di rumah. Beruntunglah bagi mereka yang mencari redha Allah di mana pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan ditutup serapat-rapatnya pintu neraka. Bulan Ramadhan merupakan bulan kita melipat gandakan amalan kebajikan kita serta melatih diri untuk sentiasa mentaati perintah Allah.
Jika diluar Ramadhan kita selalu menyalahkan syaitan dek kerana sentiasa menghasut manusia untuk melakukan kejahatan tetapi di Bulan Ramadhan ini Allah merantai syaitan-syaitan seperti mana sabda Rasulullah : Apabila datang Bulan Ramadhan maka akan dibuka pintu-pintu syurga, akan ditutup pintu-pintu neraka dan akan diikat syaitan-syaitan. [HR Muslim 1793]
Jadi jika di Bulan Ramadhan rutin maksiat kita masih berjalan seperti biasa dan masih lagi jauh dari Allah maka persoalan yang patut dikemuka dan difikirkan ialah : Siapa syaitan yang sebenarnya?.
Sumber: Nur Mohammad Hadi