Peperiksaan UPSR bakal menjelang tiba. Pastinya bukan anak-anak sahaja yang kecut perut, ibu bapa pun turut terkesan sama. Rasa tak senang duduk, resah gelisah dan bimbang sama ada anak boleh menjawab dengan baik atau tidak. Sebenarnya, duduk sahaja tanpa berbuat sesuatu adalah langkah yang tidak bijak.
Apa mak ayah boleh buat ketika anak-anak sedang menduduki peperiksaan, atau berada di dalam dewan peperiksaan? Ini yang diajarkan oleh Ustaz Don Daniyal.
Berpuasa Sunat
Antara doa yang paling mustajab dan dimakbulkan oleh Allah ialah doa mak ayah. Doa orang yang berpuasa juga amat mudah dimakbulkan oleh Allah. Jadi tiba hari anak menduduki peperiksaan, mak ayah berpuasalah sambil doakan anak-anak agar dapat jawab semua soalan. Doa sentiasa!
Solat Taubat dan Hajat
Lakukan solat sunat taubat dan solat hajat memohon agar anak tenang serta dapat jawab semua soalan peperiksaan dengan cemerlang. Seminggu sebelum periksa lagi mak ayah dah boleh mula lakukan. Jika boleh ajarlah anak sekali turut serta.
Baca Quran
Ketika anak berada di dewan peperiksaan, pagi itu mak ayah bacalah Quran sepanjang masa dan niatkan pahala bacaan kepada anak yang sedang menjawab soalan. Mohon dia sentiasa terang hati dan tenang ketika menjawab. Berdoalah mohon pada Allah agar anak dapat menjawab dengan lancar.
Lakukan Solat Dhuha
Mak ayah juga boleh lakukan solat dhuha sambil berdoa sentiasa untuk anak yang bergelut menjawab soalan. Kalau bekerja pun, mak ayah boleh ambil masa sekejap dan lakukanlah di pejabat. Doakan untuk kejayaan anak-anak.
Bersedekah
Bersedekah mampu meluaskan rezeki. Begitu juga dengan rezeki anak-anak pagi itu, ketika menjawab soalan. Bersedekah ke masjid atau pada sesiapa sahaja dan niatkan pahala buat anak kita. Insyaallah Allah bukakan rezeki anak kita untuk mudah menjawab ketika itu. Insyaallah!
Berterusan Zikir dan Doa
Tak kira di mana pun mak dan ayah berada waktu itu, sentiasalah berzikir di mulut dan tidak putus-putus doa pada anak-anak yang menjawab soalan. Walaupun ketika bekerja atau menungguh anak di luar sekolah, teruskan berzikir sebanyak-banyaknya. Mak ayah boleh membaca Al Fatihah 7 kali, Selawat Nabi 7 kali, Subhanaallah 44 kali, alhamdulillah 44 kali, Allahuakhbar 44 kali, Ya Hayyu Ya Qayyum 21 kali dan teruskan disambung dengan doa untuk anak.
Hantar Gelombang Positif
Sentiasa membayangkan muka anak dan sentiasa berfikir positif dan yakin anak kita dapat menjawab dengan lancar dan tenang. Kuatkan hati dan sentiasa positif. Insyaallah anak kita juga positif dan mampu menjawab dengan baik.
Tawakal Pada Allah
Setelah segala usaha kita dan anak kita buat sepanjang tahun sebagai usaha untuk menghadapi peperiksaan ini, inilah masanya kita bertawakal dan menyerahkan segalanya kepada Allah, kerana Dialah yang maha mengetahui. Apa yang penting kita telah pun berusaha dengan belajar dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa berdoa padaNya. Selebihnya biar Allah yang menentukannya.
Teruslah melakukan kesemua perkara di atas dan teruslah memberi kata-kata semangat dan positif buat anak kita. Insyallah semuanya dipermudahkan Allah SWT.Yakin dan percayalah bahawa Allah ada untuk membantu kita dan anak.