Usap Lembut Kepala Pasangan Ketika Tidur, Ramai Lupa Nak Buat, Cara Bahagiakan Rumahtangga Paling Mudah.

Share

Setiap pasangan suami isteri sudah tentu ingikan hubungan yang mesra, penuh kasih sayang dan saling melengkapi amat penting agar rumah tangga kekal bahagia dan harmoni.

Namun nak bahagia ni kena tahu caranya. Setiap orang ada caranya tersendiri. Begitu juga yang dilakukan oleh saudara Akhtar Syamir atau juga dikenali sebagai BroOhsem yang memilih waktu lewat malam untuk mengusap lembut ubun-ubun isterinya. Selanjutnya ikuti perkongsian beliau.

Akhtar Syamir bersama isterinya

USAP LEMBUT UBUN KEPALA

Dalam jam 3 pagi semalam saya tersedar dari tidur. Ubun-ubun kepala saya diusap-usap lembut. Waktu malam yang gelap dengan hanya lampu malap dari luar rumah yang berjaya masuk disebalik tingkap, ditambah dengan suasana yang sunyi sepi dan sejuk mendatangkan rasa yang sangat selesa.
Isteri saya yang tidur di sebelah sedang membuat apa yang saya biasa lakukan kepadanya. Baru hari ini saya tersedar. Sedangkan dia memang selalu buat kat saya sebelum ini.
Perasaannya sangat tenang dan rasa selamat serta bahagia. Orang yang kita paling sayang di sebelah sedang menjaga kita dan memberi keselesaan walaupun di waktu kita tidur.
Selalunya bila saya buat kat dia, dia akan tersengih seronok walaupun tidak 100% sedar. Semalam, saya pula yang tersengih sendirian.


Belaian waktu tidur ini kami lakukan selalunya bukan untuk dia sedar, bukan untuk dia terjaga. Tapi untuk bercakap dengan diri sendiri. Menghargai pasangan dan meluahkan rasa cinta tanpa dia sedar.

Walaupun kami sentiasa berkomunikasi dengan baik, tetapi apabila meluahkan dalam hati dengan mengusap pasangan sewaktu dia tidur adalah satu moment yang istimewa. Ia membuatkan kira rasa terharu kerana adanya dia di waktu susah dan senang. Adanya dia yang sentiasa menggembirakan dan melengkapi kehidupan.
“Cantiknya isteri aku ni. Kesian dia penat. Bertuahnya aku kerana dapat hidup bersama dia. Susahnya hidup kalau takde dia. Amannya dapat tengok dia tidur lena. Semoga aku dapat sentiasa menggembirakan dia. Tidurlah sayang.”

Itu yang saya selalu katakan dalam hati apabila membelai dia sewaktu dia sedang tidur dengan mata saya sendiri terpejam. Mungkin itulah juga yang dia fikirkan sewaktu dia buat benda yang sama kepada saya.


Bertutur secara berhadapan itu sangat bagus. Kami sentiasa meluahkan perasaan dan isi hati sesama kami. Tetapi perasaannya tidak sama.
Cubalah. Mungkin apa yang korang bisikkan dalam hati itu akan sampai dalam mimpi pasangan.
Semoga kita semua sentiasa berbahagia dan saling sayang menyayangi.

Sumber: Akhtar Syamir