Bagi keluarga yang mempunyai anak autisme, tidak perlu bersedih dan merasa malu untuk berdepan dengan masyarakat sekeliling. Sebaliknya anda seharusnya berbangga dengan anugerah Allah SWT ini kerana anak istimewa hanya dianugerahkan kepada ibu bapa yang istimewa.
Itu yang dikongsikan oleh bapa bernama Mohd Nizam Zambri ini. Menurut Nizam, anaknya, Aqiel Haqqu dilahirkan normal seperti kanak-kanak lain dan tiada apa-apa masalah ketika dilahirkan. Sehinggalah pada usia 3 tahun setengah, Haqqu disahkan menghidap Mild Autism.
“Setiap anak mempunyai kelebihan atau keistimewaan masing-masing. Kami tidak menganggap kekurangan pada Haqqu sebagai penghalang untuk dia menjadi manusia hebat dikalangan mereka yang normal diluar sana. Sekiranya kita asyik menumpukan kepada kekurangan, maka kita tidak akan sedar adanya kelebihan dalam diri mereka.
“Sebab itulah sebagai ibu bapa perlu mengenal pasti kelebihan anak anda dan berusaha mengasah bakat yang mereka ada. Pada masa yang sama, elakkan daripada membuat perbandingan antara anak anda dengan kanak-kanak normal yang lain.
“Anda tahu apa yang terbaik dan sesuai untuk anak anda dan ia tidak semestinya sama dengan orang lain. Berbalik kepada Haqqu, aktiviti hiking adalah antara senaman/therapy terbaik sekaligus kami sekeluarga membawa dia menikmati alam dan juga keindahan dengan lebih dekat yg dicipta oleh penciptaNYA. Melalui pembacaan, aktiviti ini juga dapat mendisplinkan diri beliau iaitu mengikut segala arahan yg harus dipatuhi ketika mendaki.
Menurut Nizam, anaknya itu telah berjaya menawan 3 gunung sekaligus di Indonesia iaitu Gunung Merbabu (15 Ogos 2018), Gunung Andong (17 Ogos 2018) dan Gunung Prau (18 Ogos 2018).
Dengan suhu paling sejuk 4 celcius ketika catatan di Gunung Merbabu Haqqu berjaya mengharungi keadaan paling tidak selesa yang pernah dia alami setakat ini.
Malah Haqqu antara pendaki cilik yang ditegur dikalangan pendaki2 Indonesia ketika ontrek. Sebelum Haqqu dapat menghabiskan pendakian 3 gunung ini (MERBABU, ANDONG, PRAU) sedikit persiapan/latihan telah pun dilakukan di Malaysia hampir kira kira setahun. Alhamdulillah dia berjaya menawan beberapa gunung dan juga bukit.
HARI 1 – 15 Ogos 2018 (Gunung Merbabu)
“Ketibaan kami di basecamp Gunung Merbabu, disambut dengan keadaan cuaca yg cukup baik. Haqqu ketika itu teruja untuk memulakan perjalanan mendaki. Kelebihan anak autism ini, mereka tidak akan mengenal erti penat ketika waktu berjalan.
“Malah saya dan isteri telah pun ketinggalan jauh dibelakang Haqqu ketika itu. Mujur ada guide yang mengiringi beliau ketika keadaan memerlukan beliau memanjat serta ketika berehat. Setelah hampir 4-5 jam pendakian kami selamat tiba di Merbabu dengan keadaan cuaca sejuk!
“Ketika inilah keadaan yang kurang selesa menyebabkan Haqqu sukar untuk tidur sehingga awal pagi esok. Alhamdulillah kami selamat turun dari Gunung Merbabu dan seterusnya turun ke basecamp untuk persedian pendakian berikut di Gunung Andong,”ujar Nizam.
HARI 3 – 17 Ogos 2018 (Gunung Andong)
Setelah mendapat cukup rehat dan persediaan dibuat, mereka berangkat ke basecamp Gunung Andong pada jam 4 pagi. Setelah selesai segala dokumentasi, Haqqu dengan iringan salah seorang guide telah laju ke hadapan meninggalkan mereka berdua.
“Trek bertangga sepanjang perjalanan ke Gunung Andong ini mengakibatkan kepenatan buat Haqqu dan sesekali kami mendengar suara kepenatan beliau. Jam 8 pagi kami semua selamat sampai ke puncak Gunung Andong dengan ribuan pendaki-pendaki tempatan Indonesia ketika itu.
Sememangnya ini sudah dijangka keadaan sesak pada ketika itu kerana Indonesia menyambut hari kemerdekaannya. Pengalaman bersama2 lebih 3 ribu orang warga Indonesia menyambut hari kebangsaan mereka, 17 Ogos 2018 di puncak Andong sememangnya sesuatu yang menarik yang akan kami kenang! Haqqu juga menjadi tumpuan disini kerana beliau antara segelintir pendaki muda (Malaysia).
HARI 4 – 18 Ogos 2018 (Gunung Prau)
Pendakian bermula pada jam 8 pagi dengan keadaan cuaca baik dari bandar Dieng. Gunung ini antara lokasi pilihan bagi pendaki2 tempatan. Seperti biasa Haqqu akan diiringi oleh guide yang sememangnya sudah cukup akrab sepanjang kami di Indonesia. Dengan keadaan cuaca kadangkala suhu dingin dan cerah, Haqqu sekali lagi berjaya menghabiskan pendakian untuk sampai ke gunung ketiga dan terakhir untuk trip ini.
“Seperti di Gunung Merbabu, keadaan cuaca sejuk melampau pada waktu malam telah mengakibatkan ketidak selesa kepada kami semua. Mujur dengan sedikit persediaan awal sebelum pendakian, kami dan khususnya Haqqu dapat tidur dengan nyenyak pada waktu malam!
“Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat serta guide ontrip ketika menjaga beliau semasa naik dan turun gunung-gunung disana walaupun bahasa yang Haqqu gunakan kadangkala pening nak paham.
“Nasihat saya , jangan malu untuk bawa anak2 istimewa ini beriadah dan seterusnya menyaksikan keindahan dan kebesaranNya. Cuma kecekalan dan ketabahan untuk membawa anak2 ini adalah suatu cabaran yg luar biasa buat kami,”ulas Nizam lagi.
FB: MOHD NIZAM ZAMBARI