Bila anak suka sangat memukul orang hatta kita sebagai ibu bapa pun dipukulnya untuk meluahkan rasa dan emosi diri.
Jika ini kerap berlaku, itu bermakna kita perlu buat sesuatu.Diharapkan perkongsian daripada Faizatul Iman ini dapat membantu.
Hari ni saya belajar tentang tips bagaimana nak urus jika anak memukul kawan atau kita.
Kadang-kadang anak mula memukul selepas berumur setahun ke atas. Anak pada usia ini memang selalu berbuat begitu. Cara bijak yang kita boleh amalkan.
Ambil kaki atau tangannya dan terangkan kegunaannya yang betul. “Izzah, Allah gives you hand to eat, to draw, to hold thing and to sayang sayang, usap usap ummi macam ni, to hug. Bestkan.”
Ambil tangannya dan gosokkan pada bahagian kawan/kita yang disakiti tadi. “Allah gives hands to sayang-sayang, kesian ummi pain Izzah pukul. Meh kita gosok dan tiup kat kaki Ummi ni. Baca doa dan blow sihatkanlah kaki Ummi Allah”
Ajar anak minta maaf pada kawan. “Jom, minta maaf dekat kawan ye. Ikut ummi. Izzah minta maaf. Izzah tak sengaja.”“I’m sorry/ saya minta maaf” Kita juga minta maaf pada penjaga anak yang disakiti anak kita.
Ambil tangan anak kita dan gosok pada dirinya dan nyatakan, “Izzah anak baik, anak solehah good girl. Allah sayang”
Ulang dengan penuh sabar bila insiden terjadi lagi.
Fasa anak memukul sewaktu berumur 2 tahun tiada kena-mengena dengan akhlak.
Pada usia ini anak agak memikirkan dirinya sahaja. Mereka belum pandai bergaul lagi. Skil interpersonal mereka belum lagi develop. Ini sebahagian dari proses membesar.
Jadi sangat penting kita ajar dan tunjukkan fungsi yang betul untuk tangan, mulut dan kakinya.
Walaupun ianya proses membesar sebagai ibu bapa yang bijak dan soleh solehah, kita mestilah mahu menggunakan masa ini untuk mengajar anak betul betul tentang akhlak dan adab yang baik. Dengan memberi penerangan membantu develop pemikiran anak lebih cepat.
Begitulah,
FAIZATUL IMAN BINTI MAKPOL, Jom install adab dan akhlak yang baik dalam diri anak.
Pastikan Tanaman Terjaga Dengan Baik, Bahan Yang Satu Ni Wajib Ada Jika Nak Selamatkan Tanaman!
Tanaman dan pokok yang kita tanam dan jaga sekian lama ibarat menatang minyak yang penuh adalah satu tanggungjawab besar buat kita. Kalau nak balik kampung, satu yang menjadi kerisauan pada kita selain rumah pastinya tanaman yang mekar subur di belakang rumah.
Bimbang jika tanaman kering dan layu jika pulang lama ke kampung. Itu kisahnya jika pokok tidak disiram. Masalah ulat dan beberapa gangguan lain menjadi bermacam perkara yang merisaukan kita.
Tapi tahu tak ada cara mudah nak jaga tanaman kita. Hanya gunakan CUKA sahaja untuk menjaga tanaman kita. Cuka yang bersifat asid membantu tanaman menjadi lebih baik.
Berikut merupakan kelebihan cuka buat tanaman kita yang dikongsikan oleh Mimie Chinta Chaira di grup Rose Club For Home Gardener. Menarik untuk kita tahu.
3 KEGUNAAN AJAIB CUKA MASAKAN DI KEBUN YANG PERLU ANDA CUBA
Cuka masakan mempunyai keajaiban seperti bahan dapur lain antaranya baking soda, garam dan sebagainya. Ramai yang sudah tahu mengenai penggunaan cuka masakan di kebun atau laman. Namun mungkin ada satu atau dua dari sepuluh perkara yang dinyatakan ini anda sudah lupa. Jom recall balik pengunaan cuka masakan di kebun.
Membunuh Rumpai
Dari anda membazirkan duit untuk membeli racun kimia untuk memusnahkan rumpai yang tumbuh di laman, lebih baik gunakan cuka. Murah, mudah dan kalau tak habis tak perlu risau, boleh simpan kerana nanti anda boleh gunakan dalam masakan. Lagi pun, cuka tak berbau busuk seperti bahan atau racun kimia kan?
Cara penggunaannya:
1. Tuangkan cuka terus pada rumpai yang hendak dimusnahkan.
2. Tahap asid yang terkandung dalam cuka tu akan merosakkan tumbesaran rumpai tanpa merosakkan stuktur tanah.
Cegah Semut Di Laman
Semut tak suka akan bau cuka sebab baunya yang kuat. Jadi buatkan satu semburan khas untuk halau semut. Sediakan bancuhan ini.
Cara penggunaannya:
1. Sediakan bancuhan 1 bahagian cuka bersama satu bahagian air.
2. Semburkan pada laluan semut atau lebih mudah siram kan bancuhan tersebut di markas semut.
3. Semut tak mati, tapi dia akan menghindari dari bermastautin di laman atau kebun anda. Kaedah ini juga, sesuai untuk kegunaan di dalam kediaman untuk mencegah semut.
Baja Untuk Tanaman
Ada sebahagian tanaman yang memerlukan tahap alkali yang tinggi untuk pertumbuhan dan hasil optimum seperti gardenia dan begonia. Anda boleh gunakan cuka sebagai baja untuk tanaman jenis ini. Sediakan bancuhan semburannya.
Cara penggunaannya:
1. Gunakan 1 gelen air bersama 1 cawan cuka.
2. Semburkan pada tanaman yang telah dikenalpasti sekurang-kurangnya 2 minggu sekali.
3. Hasilnya begonia anda akan berbunga lebat.
Kredit: Mimie Chinta Chaira
Covid-19 Catat Kematian Ke-6, Ibu & Anak Korban Terbaru Di Sarawak
Baru sahaja pihak kementerian Kesihatan menerusi Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham, memaklumkan bahawa 2 kes kematian telah dicatatkan pada tempoh 24 jam sebelum ini akibat Covid-19, kini angka tersebut meningkat kepada 6 orang selepas dua kes lagi diumumkan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melaporkan dua lagi kematian akibat koronavirus baharu (Covid-19), menjadikan jumlah mangsa korban wabak itu seramai enam orang dalam negara.
Dalam kenyataannya, JPBNS menjelaskan dua korban itu membabitkan ibu dan anak perempuan dari satu keluarga yang sama, masing-masing berusia 79 dan 40 tahun.
Katanya, mangsa pertama keluarga itu meninggal dunia pada 2 pagi Rabu lalu (18 Mac), manakala mangsa kedua meninggal pada 1 tengah hari, hari ini.
“Seorang lagi ahli keluarga ini masih dalam rawatan di Hospital Umum Sarawak di Kuching dan memerlukan bantuan pernafasan mekanikal.
“Pelaporan kes kematian pertama akibat Covid-19 dari keluarga ini lambat diterima dari hospital swasta merawat kes kerana menunggu keputusan ujian makmal yang dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.
Sarawak hari ini mencatatkan pertambahan 10 lagi kes baharu Positif Covid-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 68 kes sejak pertama dilaporkan pada 13 Mac.
Dua kes baharu dirawat di Hospital Umum Sarawak, lima kes di Hospital Sibu, dua di Hospital Bintulu, manakala seorang meninggal dunia di Kuching semasa keputusan ujian pengesahan diperoleh.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menyeru semua fasiliti kesihatan dan perubatan swasta agar melaporkan semua kes disyaki dan disahkan Covid-19 kepada Pejabat Kesihatan Bahagian yang berhampiran dengan kadar segera agar tindakan kawalan boleh dilakukan.
Sumber: Harian Metro & Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak
Ustazah Ini Kongsi Kisah Benar Isteri Diseksa Suami 30 Tahun. Dipijak Sehingga Gugur 3 kali, Ini Jawapannya Kenapa Baru Sekarang Nak Cerai!
SABAR itu bukan menyerah diri. Tapi SABAR itu adalah bertindak mengikut SYARIAT. SABAR itu bukan setakat diam, menahan lalu menangis sampai rasa ok. SABAR itu adalah keberanian membuat KEPUTUSAN dengan petunjuk ILMU”
Kisah wanita malang yang didera suami sendiri sejak 30 tahun lalu cukup menyedihkan. 3 kali keguguran akibat disepak terajang. Belum bab dimaki hamun, disumpah seranah dan pelbagai lagi.
Ikuti perkongsian oleh Ustazah Asma Binti Harun, Ex Perundingcara Rumahtangga dari pengalaman kisah benar yang berlaku pada 2011. Moga bermanfaat untuk semua!
RUMAHKU NERAKA KU.
BAHAGIA DIHUJUNG DERITA.
“Ustazah, saya datang untuk membuat permohonan CERAI FASAKH, saya tak boleh lagi teruskan hidup dengan suami, saya nak cari ketenangan di hujung-hujung usia begini”
Dari awal klien ini masuk wajahnya dilihat tenang tapi sarat dengan beban yang berat. Sambil meneliti fail, umur awal 50an, seorang guru, ada ijazah, usia perkahwinan cecah 30 tahun, anak 8 Orang.
“Adakah puan dah timbang dengan teliti kesan penceraian di usia begini, bagaimana penerimaan anak-anak, dan apakah alasan kuat puan, bukan mudah permohonan fasakh nak lulus kecuali ada alasan yang kukuh”. Pada perkiraan saya ketika itu, mungkin isu orang ke 3 baru muncul atau sekadar masalah komunikasi.
“Ustazah, sepanjang perkahwinan hidup saya sangat menderita, saya hadapi penderaan fizikal, mental, seksual dan emosi”. Nada sebak dan terketar-ketar seperti melepaskan tempikan suara hati yang sangat lama dipendam.
“Ustazah, 3 kali kandungan saya gugur kerana disepak terajang dan perut dipijak. Ustazah pernah baca kisah yang heboh satu malaysia, kes seorang isteri didera dan dipijak perut sehingga gugur kandungan?, saya hanya mengangguk. “Itu adalah cerita saya, kali pertama saya buat report dan entah bagaimana cerita itu tersebar, saya malu pada jiran, rakan sekerja, keluarga, semua tahu cerita saya. Kes itu tutup kerana saya diugut dengan suami. Suami pegawai pangkat tinggi, dia seorang yang dikenali. Selepas itu 2 kali lagi kandungan gugur kerana didera dipijak perut ketika usia kandungan dah cecah 3-4 bulan, tapi sebab saya trauma, tidak ada aduan kepada mana-mana pihak”.
“Sepanjang perkahwinan, sepak terajang, maki hamun sumpah seranah, rambut ditarik diheret kepala ke bawah menuruni tangga, tidur diluar rumah tanpa tudung dari malam sampai pagi, pernah dijirus dengan minyak lalu di ugut dengan api untuk dibakar, dan sering dipaksa dalam hubungan seksual”
Kali ini saya pula yang terketar-ketar untuk bertanya. Darah menyirap dan badan rasa berhaba. Ini bukan manusia.
“Kenapa puan bertahan begitu lama dalam perkahwinan yang sangat dahsyat seperti ini?”
“Saya bertahan kerana ANAK-ANAK dan kerana satu HARAPAN satu hari suami akan BERUBAH”
“Puan, maaf saya tanya, adakah berbaloi puan bertahan demi anak-anak?”
“Tidak ustazah, sebahagian anak saya mengalami tekanan jiwa sehingga perlukan rawatan psikiatri. Sebahagian lagi mengikut perangai ayahnya, turut maki hamun saya. Saya rasa berdosa pada anak, saya tak pernah salahkan anak, mereka membesar dengan melihat ibunya didera hampir setiap hari, mereka membesar dengan ketakutan” air mata diseka tanpa henti. Sayu sekali bila disebut tentang anak.
“Puan, 30 tahun bukan tempoh yang sekejap, bagaimana puan laluinya”
“Ustazah, orang terdekat juga tidak tahu, jiwa saya merana namun sedaya upaya senyum, sakit lebam pada badan disembunyikan. Dua perkara yang saya pegang teguh bila jatuh terduduk, saya sembamkan wajah ke bumi, SOLAT dan ALQURAN adalah teman rapat saya, hanya itu sumber tenang, bahagia dan kekuatan saya…”
Benarlah, manusia akan benar-benar merasakan Allah itu ada, ketika tiada manusia disisinya. Tapi iya sangat sakit namun sangat manis, iaitu saat jatuh cinta padaNya, saat Allah benar-benar cukup baginya.
Dua tangannya dikepal diletakkan dimulut, mata berkaca lidahnya terketar, saya tahu dia ingin menyatakan sesuatu yang bermain dalam fikirannya, namun dia sendiri takut untuk meluahkan.
“Ustazah, kenapa Allah tak makbulkan doa permintaan saya, bukankah doa orang yang dizalimi maqbul?, adakah anak-anak saya jadi begitu salah saya?, saya hanya minta dengan Allah supaya suami berubah, dia sayang saya sedikit pun jadi, akan hilanglah segalanya derita saya. Sia-sia saya menunggu dengan harapan satu hari suami akan berubah, SIA-SIA… akhirnya saya dsisini untuk tuntut CERAI.. memang SIA-SIA!”
Allah… inilah soalan yang akan menyimpulkan pertemuan ini, inilah saatnya setiap kali klien bertanya soalan begini, saya akan berbisik dalam hati memohon pertolongan Allah, mengharapkan Ilham daripadaNya, agar lidah saya boleh menuturkan sesuatu yang jernih dan sejuk. Ibarat air dingin dikala kehausan dibawah terik matahari. Ini persoalan berkaitan AQIDAH. Isu keyakinan dan sangkaan kita pada ALLAH.
“Puan.. 30 tahun puan menanti dengan sabar, akhirnya suami tetap tidak berubah, apakah sebenarnya puan dapat?, dia diam. “30 tahun bukan SIA-SIA, ALLAH tak pernah silap, dan ALLAH maha melihat, mendengar dan memakbulkan. Sebenarnya, dalam tempoh ini puan telah menghimpun PAHALA SABAR selama 30 tahun!, dan jika balasanNya SYURGA ALLAH, apakah puan rasa?
Dengan terketar-ketar dia bertanya, “SYURGA ALLAH?, Betulkah ustazah? Sambil tangannya genggam kuat tangan saya.
“Puan, ini bukan janji atau kata-kata saya, tapi janji Allah. Allah berfirman:
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas” (Az-Zumar 39 : 10)
سَلامٌ عَلَيكُم بِما صَبَرتُم ۚ فَنِعمَ عُقبَى الدّارِ
“..sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (Memberi hormat dengan berkata): “Selamat sejahtera ke atas kamu, disebabkan KESABARAN kamu (di dunia dahulu). Maka amatlah baiknya tempat kesudahan itu”. (Ar-Ra’d : 24)
“Puan, ini janji Allah kepada mereka yang diuji, lalu sabar dan redha dan tetap teguh bersangka baik dengan Allah, akan menerima Salam yang istimewa daripada Allah dan para Malaikatnya, bukan dsini, tapi di SYURGA ALLAH”
Dia meleraikan tangannya, lalu tanganya disatukan sambil wajah tunduk ke bawah “ya Allah, aku redha ya ALLAH.. jika benar SyurgaMu, Aku redha.. aku maafkan suami dan anak-anakku keranaMu ya ALLAH, terimalah pahala SABAR ku ini, aku ingin SYURGA MU….”
Allahu Allah.. Kami sama-sama menangis dan aminkan doa. Dihadapan saya seorang wanita yang bukan diuji 30 hri atau 30 bulan, tapi 30 tahun. Allah hanya ingin mendengar perkataan REDHA daripada hambaNya, lalu Dia akan memberikan keredhaanNya. SyurgaNya.
Bila SYURGA ALLAH dilihat dengan mata hati. Segala berat perit derita boleh ringan ibarat debu. Sapu dan biar berlalu. Memang bukan mudah, tapi boleh.
………
Kemudian, saya membantunya untuk meneruskan permohonan Cerai Fasakh, daripada report polis dan report Dr. yang dia simpan, saya yakin permohonan fasakh ini akan berjalan lancar. Beliau menyatakan, penceraian ini adalah untuk dia mendapat KETENANGAN, “saya ingin beribadat dengan tenang dan menjadi Ibu yang tenang buat anak-anak, moga belum terlambat”.
Tiada istilah terlambat untuk kebaikan selagi belum tiba kematian.
SABAR itu bukan menyerah diri. Tapi SABAR itu adalah bertindak mengikut SYARIAT.
SABAR itu bukan setakat diam, menahan lalu menangis sampai rasa ok. SABAR itu adalah keberanian membuat KEPUTUSAN dengan petunjuk ILMU”