Alangkah bersyukurnya bila membayangkan suatu hari nanti bila usia kita mencecah 60 tahun ke atas, masih kekal sihat, bertenaga untuk tunai ibadah dengan sempurna dan tidak lelah melayan cucu-cucu. Bahagianya saat itu!
Pun begitu, sekadar berangan dan mengharap sahaja tanpa berbuat sesuatu tentunya hal ini tidak mudah terjadi. Apatah lagi berkenaan kesihatan, apa yang kita makan hari ini tidak dinafikan akan memberi kesan pada tahap kesihatan kita di masa akan datang.
Buat follower Keluarga, sila guna kod promo KELGSP5 untuk pembelian British Polo Yuna Handbag Set dengan harga lebih murah hanya di GO SHOP
Umpamanya melalui perkongsian Mardzi Abu Bakar ini, gemar makan ulam-ulaman dan makanan yang direbus menjadi antara petua yang diamalkan olehnya untuk kekal sihat meskipun kini telah berusia 109 tahun.
Wanita hebat ini dilahirkan pada 1913 dan diiktiraf sebagai wanita tertua di Kedah dalam sambutan Hari Kanak-Kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah baru-baru ini.
Menurut ibu kepada lapan orang anak ini, dia tidak mempunyai petua istimewa kecuali menjaga pemakanan dan mengelak makanan yang berminyak.
“Selain ulam-ulaman saya suka makan asam pedas dan kerabu, makanan berminyak saya kurang makan apatah lagi makanan yang diproses.
“Yang penting sebagai seorang Islam kita perlu menjaga solat fardhu dan banyakkan berzikir dan solat sunat, itu yang lebih baik bagi menunjukkan rasa syukur dengan nikmat yang diberikan Allah,” katanya ketika ditemui selepas menerima sijil penghargaan dan wang saguhati pada majlis berkenaan yang disampaikan oleh Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Memetik sumber daripada Harian Metro, nenek kepada 30 cucu dan 11 cicit ini berkata dia rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memilih beliau untuk menerima pengiktirafan itu.
“Alhamdulillah sehingga sekarang saya tidak mempunyai penyakit kecuali masalah tulang kerana faktor usia…dulu zaman muda saya banyak membanting tenaga di sawah bersama arwah suami untuk membesarkan anak-anak.
“Kehidupan pada zaman dulu amat susah apatah lagi saya pernah melalui kehidupan pada zaman penjajahan Jepun. Sebab itu saya selalu nasihatkan anak-anak supaya belajar jika mahu mengubah kehidupan,” katanya yang ditemani anak bongsunya Mohammad Asri Marzuki, 50.
Dua anak Mardzi meninggal dunia ketika kecil, bagaimanapun enam orang anaknya berjaya termasuk menjadi pegawai kerajaan serta mempunyai perniagaan sendiri.
Sementara itu, Mohammad Asri berkata ibunya masih dapat berjalan di rumah dengan menggunakan tongkat.
“Ibu saya selalu amalkan solat sunat dhuha selain dia juga tidak suka bercerita hal orang lain, dia selalu pesan supaya kami usaha sendiri jika hendakkan sesuatu, jangan ambil hak orang lain tanpa izin.
“Mak saya kata perkara-perkara seperti ini akan membuatkan hati menjadi tenang,” katanya
Sumber : Harian Metro
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club