“Umur Masing-Masing 17 Tahun…” – Pasangan Cinta Monyet Dijabkabulkan Selepas 11 Tahun

Share

Ramai anggap bahawa “cinta monyet” tidak akan kekal lama dan hanya membazirkan masa. Namun, berbeza pula kisah pasangan ini yang mengakhiri cinta monyet mereka di jejang pelamin selepas 11 tahun “couple”.

Seorang pengguna Instagram yang bernama Shamime telah mengongsikan sebuah video kompilasi yang menunjukkan kronologi kisah cintanya bersama suami, Affique. Video tersebut berjaya menangkap perhatian wargamaya yang lain serta reaksi yang sangat positif terhadap pasangan itu.

“Saya kerja dekat Sushi King, suami kerja dekat Burger King yang terletak

bersebelahan. Dia tegur masa saya nak balik kerja dan bermula daripada situ kami berkawan. Masa tu umur kami masing-masing 17 tahun. Saya bekerja sambilan nak cari duit lebih untuk bayar lesen kereta. Selepas berkawan sebulan, dia ajak couple. Kami selalu luangkan masa bersama ketika waktu rehat, makan sama-sama” ujar wanita itu.

 

Cabaran pertama mereka bermula apabila masing-masing meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi dan terpaksa menjalani cinta jarak jauh atau “long distance relationship” (LDR). 

“Saya masuk Kolej Matrikulasi dekat Kuala Pilah dan suami sambung belajar dekat Institut Teknologi Penerbangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT). Cabarannya, kami selalu gaduh sebab takut masing-masing curang.

Sebab study group mesti bercampur lelaki perempuan, ada aktiviti dan macam-macam lagi, tambahan pula kami jarang jumpa. Selepas tamat matrikulasi, saya sambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda dekat Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pekan selama empat tahun setengah, jadi memang jarang jumpa” ujarnya.

Bagaimanapun, sekatan untuk kerap bertemu bukanlah alasan untuk dia dan pasangannya mengambil kesempatan di atas kesetiaan masing-masing.

Dengan memanfaatkan teknologi untuk berkomunikasi setiap hari, dia dan pasangannya saling meletakkan kepercayaan antara satu sama lain.

“Kami jarang bergaduh mengenai isu orang ketiga sebab setiap perkara seperti pergi ke mana, jumpa siapa, buat apa semua kami sentiasa update each other. Kalau bergaduh, call dan pujuk sampai hati pasangan lembut.

Sepanjang hubungan ini juga, kami memang terus jumpa keluarga kerana restu mereka sangat penting,” katanya.

Selepas 11 tahun bercinta, pasangan ini mengikat tali pertunangan dan kemudian ikatan pernikahan pada 16 Jun 2020 dalam satu majlis ringkas disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.

Semoga bahan bacaan kali ini berjaya memberi inspirasi kepada para pembaca semua.

Terima Kasih

Sumber: @nurulshamime di Instagram